Polis dikritik sebab video artis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Polis dikritik sebab video artis

*TERNYATA usaha pemulihan pasca banjir jauh lebih susah daripada gerakan memindahkan mangsa ketika banjir besar melanda Kelantan. Banjir sudah kering, tetapi kesan ke atas lebih 100,000 mangsa yang terlibat masih amat hebat.

Sebenarnya kesengsaraan yang dialami lebih teruk dari tsunami yang melanda Aceh sedekad lalu. Di Aceh jumlah kematian beratus ribu orang, rumah musnah, bangunan musnah. Rumah tiada, penghuni pun tidak pulang-pulang.

Berbeza dengan yang terjadi di Serambi Makkah, yang terkorban hanya sekitar 20 orang, yang lain-lain selamat. Malang dan sayu, apabila mereka pulang setelah banjir surut, rumah mereka tiada. Orang ada, rumah tiada.

Bayangkan rumah tempat tinggal sejak berpuluh tahun dulu, kini tinggal tapak dan tiang. Mereka menyambung hidup dalam keadaan serba tidak selesa dalam khemah. Duit tiada, pekerjaan pun tiada. Bagaimana pakaian sekolah anak? Makanan harian?

Berapa lama boleh tidur dalam khemah?

Tetapi, dalam serba kesengsaraan, ada dua kebaikan. Pertama, kerajaan akan dirikan rumah - dalam masa terdekat - untuk mereka yang rumah musnah sama sekali.

Kedua, dalam kesusahan ini seluruh rakyat, tanpa mengira parti politik, sama-sama berganding bahu membina kehidupan baharu. Lupakan politik, bina negeri. Pendek kata, setiap musibah pasti ada hikmah.


*SAYA bersetuju dengan tulisan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dalam Twitternya: “Ada di kalangan kita yg (yang) suka mengaibkan org (orang) lain: saingan politik, remaja, penyanyi...”

Beliau mengulas video satu setengah minit, memaparkan seorang penyanyi terkenal sekitar era 90-an yang dipaksa menyanyi dengan keadaan tangan bergari ketika dalam tahanan polis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikritik hebat pengguna laman sosial ekoran video yang menjadi viral itu. Kata seorang lagi pengguna Twitter: “Bukan sahaja Islam, semua agama tidak membenarkan kita mengaibkan orang lain.”

Polis Selangor telah mengenal pasti anggota polis yang terlibat dan bertanggungjawab dalam kes ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penyanyi tersebut mungkin bersalah. Tetapi lebih bersalah lagi – dan patut dihukum – ialah polis yang gatal tangan merakam dan menyebarkan video tersebut. Dia orang tidak ada kerja lain ke?


*LAMAN sosial kita kini menjadi medan fitnah. Selain kes video penyanyi berkenaan, ada beribu-ribu lagi viral di laman-laman sosial dan blog yang mendedahkan aib seseorang.

Ada video seks, ada video kes buli pelajar. Ada juga kisah skandal suami isteri. Ada kisah rasuah profil tinggi. Ada kisah artis berintim-intim dengan tokoh sekian-sekian.

Pendek kata kecanggihan teknologi ICT dan keterbukaan siber telah menimbulkan masalah besar. Fitnah kini boleh tersebar begitu pantas, dan sampai kepada beribu, mungkin berjuta orang, dalam sekelip mata.

Teringat saya era prasiber berpuluh tahun dulu. Fitnah dibuat melalui apa yang dipanggil surat layang. Untuk disebarkan kepada orang lain, surat layang itu perlu difotostat berulang kali, hingga tulisan menjadi kelam dan sukar dibaca.

Surat itu perlu diedarkan menerusi pos, kena beli sampul surat, terpaksa beratur di pejabat pos untuk membeli setem. Seminggu selepas proses yang leceh itu barulah surat layang itu sampai kepada orang lain.

Hari ini semua fitnah berada di hujung jari. Dengan hanya menekan butang telefon bimbit, fitnah – sama ada tulisan, gambar hatta video – boleh disebarkan dengan mudah.

Maka tidak menghairankan kehidupan sekarang menjadi kucar-kacir 24 jam sebab setiap saat kita menerima – dan turut menyebarkan – fitnah.


*AKHIR kalam, pihak berkuasa Singapura mendenda seorang perokok sebanyak S$19,800 (RM53,600), gara-gara membuang puntung rokok dari tingkap apartmen miliknya.

Seperti yang dilaporkan media, jurucakap Agensi Alam Sekitar Kebangsaan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu didenda sebanyak S$600 (RM1,627) untuk 33 puntung rokok pertama yang ditemui. Dia turut dikehendaki melakukan kerja-kerja komuniti selama empat hari.

Lelaki berusia 38 tahun yang kesalahannya itu dirakam melalui kamera keselamatan turut diarahkan untuk membersihkan kawasan awam selama lima jam, sambil memakai baju tertulis ‘Arahan Kerja Pemulihan’.

Di tempat kita, jangankan buang puntung rokok, buang kulit durian pun tidak ada tindakan. Selain kulit durian penghuni flat di tempat kita juga membuang sabut kelapa, seluar dalam buruk, pembungkus makanan, dan macam-macam sampah-sarap. Itulah beza otak kita dengan otak Singapura!


TOK PERAK

0 Komentar untuk " Polis dikritik sebab video artis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ