Penubuhan KPPM lestarikan pondok - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penubuhan KPPM lestarikan pondok

ALHAMDULILLAH , setelah beberapa siri perbincangan dan persetujuan Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), maka tertubuhlah sebuah koperasi baharu bertujuan menjadikan yayasan ini lebih lestari dari segi pendapatan dan meningkatkan keupayaan untuk membantu ahli.

Penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) diharap dapat menjana pulangan yang baik dan munasabah kepada yayasan agar lebih mampu melaksana tanggungjawab dan memenuhi aspirasi warga pondok. Ini juga mungkin julung-julung kali sebuah koperasi untuk warga pondok ditubuhkan.

Sebagai memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Lembaga Penaja KPPM akan mengadakan mesyuarat agung pertama pada 28 Februari di Sri Pondok, Jalan Johor Selatan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur iaitu ibu pejabat YPPM.

Selain menyediakan perlembagaan koperasi, mesyuarat agung ini bertujuan memberi penerangan kepada ahli mengenai tujuan dan matlamat penubuhan, arah tuju dan aktiviti yang bakal diceburi, serta menetapkan yuran, nilai saham dan beberapa perkara berkaitan.  

Mesyuarat agung yang akan turut dihadiri dan dipantau oleh pegawai SKM juga bakal memilih ahli untuk menjadi Ahli Lembaga Koperasi, yang seterusnya akan membuat pemilihan jawatan bagi meneruskan kegiatan koperasi.

Secara peribadi, saya melihat perkembangan ini sebagai sangat positif kerana ia membuka ruang lebih luas untuk YPPM menjana pendapatan dengan mencebur dalam kegiatan komersil yang boleh memberi keuntungan, yang turut dinikmati oleh ahli dalam bentuk dividen.

Antara bidang komersil yang dipertimbangkan ialah pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pelancongan. Keahlian terbuka kepada warga pondok seluruh Malaysia.

Insya-ALLAH, perkembangan seterusnya akan saya uar-uarkan melalui ruangan ini dari semasa ke semasa. Warga pondok dialu-alukan untuk menjadi ahli KPPM kerana ini satu langkah yang baik. Kita sedia maklum tidak semua pondok mempunyai sumber pendapatan yang tetap.

Bagi pondok yang menerima banyak bantuan sama ada zakat, sedekah atau sumber lain mungkin tidak menghadapi banyak masalah. Namun, banyak pondok di negara kita yang memerlukan bantuan untuk meneruskan aktiviti seharian. Percaya atau tidak, ada pondok terutama di kawasan pedalaman yang masih tidak ada bekalan elektrik atau air paip.

Dalam usaha mentransformasikan sistem pengajian pondok di Malaysia, YPPM terima hakikat bahawa tidak semua pondok yang menyokong. Ada pengurusan pondok dan guru agama yang memandang sinis atau serong terhadap usaha YPPM, malah menyebar pelbagai maklumat yang tidak betul.

YPPM faham bahawa tugas dan tanggungjawab yang dipikul mungkin mengambil masa yang lama untuk direalisasikan, namun bertegas dan komited untuk membawa pembaharuan yang positif dan perubahan meyakinkan bertujuan memartabatkan institusi ini dan memastikan kelangsungannya.

Sementara itu, YPPM juga sedang menimbang pencalonan daripada kalangan guru pondok untuk dipilih bagi menunaikan haji tahun ini. Pemilihan ini adalah di bawah Program Khas Haji YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Penaung YPPM.

Program khas ini sudah berjalan sejak lima tahun lalu tapi ini kali kedua pihak YPPM diminta membuat pencalonan. Tahun lalu, YPPM telah memilih tujuh guru pondok untuk menyertai program ini.

Calon-calon yang bakal dipilih perlu memenuhi syarat dan kriteria tertentu yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas, yang berkuasa membatal atau menolak pencalonan yang tidak memenuhi syarat.

Saya mengalu-alukan guru-guru pondok yang berminat untuk mengikuti program ini untuk menghubungi YYPM di talian 03-22016711, atau melayari www.yppm.org.my atau www.facebook.com/YayasanPembangunanPondokMalaysia.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Penubuhan KPPM lestarikan pondok "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ