Penting daftar pernikahan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penting daftar pernikahan

NIKAH sindiket tidak semestinya berlaku di luar negara sahaja. Pernikahan yang berlaku di luar khususnya di Thailand, ada surat nikah yang boleh digunakan untuk pengesahan.
Bagaimanapun, ada juga kes nikah sindiket yang berlaku di Malaysia didalangi oleh individu tertentu. Misalnya kes yang pernah dikendalikan sebelum ini ada pasangan yang bernikah di Gombak, Selangor tetapi surat nikahnya di Kedah.

Buat pengetahuan umum, berdasarkan kes yang dikendalikan oleh saya kebanyakan perkahwinan luar negara tidak didaftarkan kerana:

a)    Tidak mendapat kerjasama suami
b)    Isteri tidak tahu boleh daftar tanpa suami
c)    Isteri takut ugutan suami akan diceraikan jika daftar sebab jika daftar, isteri sedia ada akan dimaklumkan

Kepentingan daftar:

a)    Mengesahkan perkahwinan sah menurut syariat – ada kes yang pernah berlaku, selepas 12 tahun baru nak daftar, rupa-rupanya perkahwinan tidak sah dan dalam masa sama sudah mempunyai empat anak.
b)    Wujudkan identiti dan pengesahan status sebagai pasangan yang berkahwin di Malaysia. Jika tidak daftar, status bujang atau janda kekal.
c)    Memudahkan segala urusan berkaitan undang-undang jika perlu mendapatkan hak lanjutan daripada perkahwinan
d)    Memudahkan urusan mendaftarkan anak yang lahir hasil perkahwinan.
Oleh itu, bagi pasangan yang berhasrat untuk bernikah luar dari Malaysia secara senyap-senyap perlulah menganggap perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat tentang cinta tetapi adalah satu amanah yang datang bersama tanggungjawab.

Jangan ambil jalan mudah kerana yang mudah dahulu jarang senang di belakang hari. Paling ditakuti jika nikah tidak sah menurut syariat maka hubungan yang berlaku adalah syubhah. Anak yang lahir juga hasil hubungan syubhah.

Syubhah kerana pasangan berasakan perkahwinan wujud tetapi bila yakin perkahwinan tidak sah atau ragu-ragu perkahwinan sah atau tidak, maka hubungan yang berlaku adalah haram. Jika yakin tidak sah, maka hubungan menjadi zina.

Perkahwinan juga adalah detik bahagia. Sebaiknya dibuat dalam keadaan kegembiraan dikongsi bersama insan-insan tersayang. Buat wanita, jika benar lelaki tersebut sayangkan anda, dia akan jadikan anda permaisuri hidupnya dalam keadaan meriah dan dimaklumkan kepada orang ramai, bukan secara rahsia.

- Suzana Ghazali,
Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie

Elakkan perkahwinan yang mengundang masalah

Bercinta dan dicintai adalah naluri fitrah manusia. Pasangan bercinta sering mengimpikan sebuah perkahwinan sebagai lambang kejayaan cinta mereka. ALLAH SWT juga berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Perkahwinan juga adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkahwinan itu adalah sunnahku, maka untuk mereka yang tidak berkahwin bukanlah daripada golonganku (Riwayat Ibnu Majah).”

Perlu ditekankan juga bahawa perkahwinan adalah merupakan pintu gerbang ke arah pembinaan sesebuah kehidupan, bukan sahaja sebagai lambang kejayaan sesebuah cinta.

Justeru itu perkahwinan amat memerlukan satu tanggungjawab yang besar dalam memastikan kehidupan yang dibina berkekalan bahagianya hingga ke syurga.

Namun kebelakangan ini kita lihat terlalu banyak kes berlaku yang melibatkan perkahwinan di luar negara terutamanya di Thailand. Akibat terbeban dengan masalah persetujuan keluarga dan juga kepentingan untuk merahsiakan perkahwinan, maka ramai pasangan yang memilih jalan pintas untuk bernikah di luar negara.

Lebih malang lagi apabila kebanyakan pasangan ini bernikah di luar negara tanpa mendapat kebenaran daripada pejabat-pejabat agama di Malaysia.

Pernikahan sebegini sudah tentu mengundang seribu satu masalah yang perlu dihadapi oleh pasangan tersebut. Objektif perkahwinan yang seharusnya menjadi bahtera kehidupan yang bahagia, tiba-tiba kita sendiri yang mengundang ombak besar yang menghempas bahtera kehidupan kita.

* Faktor Perkahwinan di Thailand vs Hikmah Perkahwinan Menurut Islam

Jika dilihat antara faktor-faktor perkahwinan di luar negara adalah:

1. Tidak mendapat restu atau kebenaran wali atau keluarga

Tidakkah di dalam Islam menuntut kita menghormati ibu bapa dan mendapat keredaan ibu bapa? Firman ALLAH SWT dalam Surah al- An’aam, ayat 151 yang bermaksud: "Katakanlah: Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa”. Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’: 24).

2. Ingin merahsiakan perkahwinan

Di antara hikmah diadakan walimah adalah untuk diumumkan perkahwinan agar pasangan yang berkahwin itu terhindar daripada segala fitnah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Umumkanlah perkahwinan...” (Riwayat Ahmad dan Tarmizi). Jika pasangan memilih untuk merahsiakan perkahwinan, maka mereka dengan sendiri yang membuka peluang untuk difitnah.

3. Elakkan pikul tanggungjawab berpoligami

Ada di antara lelaki yang membawa pasangannya bernikah di luar negara adalah bagi mengelakkan dirinya memohon kebenaran berpoligami kerana ketidakupayaannya memberi nafkah dan sebagainya.

Sedangkan di dalam al-Quran jelas ALLAH SWT telah berfirman dalam Surah an-Nisaa’ yang bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja...”

* Kesan Pernikahan Yang Tidak Sah Kepada Keluarga dan Masyarakat

Tidak dinafikan kebanyakan pasangan yang membuat keputusan untuk bernikah di luar negara telah pun sedia maklum berkaitan masalah dan cabaran yang mereka bakal hadapi.

Kebanyakan mereka mengatakan telah bersedia untuk menghadapi cabaran atau permasalahan tersebut. Namun kebanyakan mereka juga hampir tenggelam di lautan ketika melayari bahtera kehidupan.

Akibatnya perkahwinan yang dahulunya dibina di atas dasar cinta dan sanggup susah bersama itu akhirnya runtuh juga kerana tidak lagi mampu menangkis cabaran-cabaran yang datang.

Apabila institusi kekeluargaan kita rapuh bagaimanakah kita mahu mewujudkan generasi cemerlang untuk kukuhkan tamadun negara kita?

Cinta sahaja tidak akan mampu mengekalkan hayat perkahwinan. Layarilah bahtera kehidupan dengan penuh cinta, percaya dan tanggungjawab yang didasari oleh iman dan takwa.

Wahai bakal isteri, pilihlah bakal suamimu yang mampu memimpinmu ke arah kebaikan. Wahai bakal suami, pilihlah isteri yang mahu mendengar nasihat dan tunjuk ajarmu. Mulakan kehidupan berumah tangga dengan perkara yang tenang dan harmoni dilandaskan iman yang tinggi. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan: 74).

- Siti Fatahiyah Mahamood
Pensyarah & perunding Motivasi
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara
Shah Alam


INFO

Apa itu sindiket nikah palsu?
Sindiket nikah palsu ialah sekumpulan orang yang menjalankan urusan pernikahan:

1) Yang tidak memenuhi tuntutan syarak berkaitan rukun nikah
2) Menguruskan dokumentasi yang tidak sah
3) Salah satu atau kedua-dua di atas


Kesan nikah sindiket

Kesan nikah sindiket adalah sangat besar kerana ia melibatkan kesahihan sesebuah pernikahan dan jika pernikahan itu tidak sah maka ia akan melahirkan anak tidak sah taraf.

Ini boleh mengakibatkan kecelaruan pada nasab umat Islam itu sendiri serta merosakkan sistem kekeluargaan sedia ada. Hak anak dan isteri juga akan terabai dan jika ia tidak didaftarkan maka keadaan akan lebih sukar dan sulit .

0 Komentar untuk " Penting daftar pernikahan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ