Memulangkan Asean kepada rakyat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memulangkan Asean kepada rakyat

KITA telah sebulan memasuki 2015, iaitu tahun Malaysia menjadi Pengerusi Asean. 2015 ialah juga tahun Komuniti Asean menjadi realiti. Komuniti ini berdasarkan tiga tiang seri: politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya. Menurut Asean, 80 peratus daripada inisiatif-inisiatifnya telah pun dilaksanakan.

Tetapi, kalau kita bertanya kepada rakyat – orang biasa – bukan pegawai-pegawai, maka, jawapannya tentulah lain langsung. Sebab itulah, sebagai Pengerusi Asean, Datuk Seri Najib menyatakan yang beliau komited untuk menjadikan Asean berorientasi rakyat dan tidak elitis lagi.

Inilah latar belakang mengapa Konsultasi Serantau Persidangan Masyarakat Sivil Asean/Forum Rakyat Asean 2015 (ACSC/APF 2015) pada 23-24 Januari lalu meluluskan resolusi bertajuk “Mengembalikan Komuniti Asean kepada Rakyat”. Inilah juga latar belakang mengapa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) menyertai ACSC/APF 2015.

ACSC/APF (bermula pada 2005 ketika Malaysia Pengerusi Asean) ialah forum CSO Asean yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Asean setiap tahun. Forum ini membincangkan pelbagai isu. Perwakilan ACSC/APF diberikan satu sesi untuk bertemu (dan menyampaikan resolusinya) dengan ketua-ketua kerajaan semasa sidang kemuncaknya. Tahun ini, ACSC/APF 2015 akan diadakan di Kuala Lumpur pada 22-25 April, iaitu sempena sidang kemuncak pada 26-27 April.

Selepas sedekad penganjurannya, dan setelah mengkaji kaedah pertemuan dengan ketua-ketua kerajaan pada masa lalu, dan hakikat yang kerajaan tidak mengambil kira resolusi-resolusi ACSC/APF yang lepas, maka, untuk kali ini, penganjurnya mengambil pendekatan baru.

Pertama, CSO telah lebih awal berhubung dengan kerajaan masing-masing. Kedua, resolusi ACSC/APF dikeluarkan lebih awal (minggu lalu). Dan ketiga, resolusi memfokus kepada isu-isu prioriti sahaja.

Resolusi ACSC/APF 2015 bermula dengan kritik: rakyat dukacita kerana cadangan-cadangannya sejak 2005 tidak dilaksanakan kerajaan-kerajaan; terdapat rakyat masih sengsara di bawah rejim autokratik; dan wujudnya keganasan, kurangnya kebebasan dan hak asasi manusia, rasuah, governans lemah, ketidakadilan dan ekstremisme agama.

Kegagalan Asean untuk menangani isu-isu rakyat dengan bermakna ialah kerana ia mempunyai tafsiran restriktif terhadap kedaulatan negara dan dasar tidak campur tangan; terlalu menjaga kepentingan korporat; dan rakyat masih tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan.

ACSC/APF 2015 membuat cadangan-cadangan spesifik berikut;

Memastikan Pembangunan Adil: membangunkan Komuniti Asean yang berasaskan nilai-nilai yang menegakkan kerjasama dan sumbangan aktif yang memastikan keadilan perkongsian dari pelbagai aspek; menubuhkan mekanisme kebertanggungjawaban dan mengiktiraf hak semua rakyat; mengelakkan pengaruh harta intelek antarabangsa yang mengekang akses dan maklumat; berpegang pada pendirian bersama tentang alam sekitar; mengiktiraf orang asal sebagai rakyat  yang memiliki hak yang sama; memastikan perjanjian dan perundingan perdagangan telus dan konsisten dengan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa; dan melindungi pekerja asing dan keluarganya.

Melindungi Proses Demokratik, Governans, dan Hak dan Kebebasan Fundamental: menubuhkan mekanisme untuk memastikan partipasi bermakna semua rakyat dalam semua proses; mereformasi Perlembagaan dan undang-undang; dan menghentikan pelanggaran hak asasi manusia dan serangan terhadap aktivisnya.

Keamanan dan Keselamatan: mempamerkan komitmen terhadap keselamatan secara komprehensif dan kolektif; menubuhkan Mekanisme Pengelakan dan Penyelesaian Konflik; mematuhi prinsip keamanan dan keselamatan Piagam PBB dan undang-undang/konvensyen antarabangsa; dan mengiktiraf sumbangan orang asal dan wanita dalam proses keamanan.

Menghentikan Diskriminasi dan Ketidaksaksamaan: mengguna pakai definisi diskriminasi dalam undang-undang/konvensyen antarabangsa; mengiktiraf kesaksamaan substantif dengan menjamin kesaksamaan untuk semua rakat; dan memansuhkan klausa-klausa yang melanggar hak-hak rakyat; dan menubuhkan mekanisme bagi menangani pelanggaran-pelanggaran.

Resolusi itu diakhiri dengan menyatakan bahawa rakyat akan terus bersatu dalam membangunkan rantau ini dengan menegakkan demokrasi, keamanan dan keselamatan, hak-hak asasi individual dan kolektif, dan pembangunan mampan, demi “Asean yang berorientasi-rakyat”.

*Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global dan aktif di twitter (@saifuddinabd)

0 Komentar untuk " Memulangkan Asean kepada rakyat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ