Legasi Bak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Legasi Bak

BAK. Satu nama besar dan terkenal dalam industri fesyen negara. Hasil kerja tangannya disenangi pelanggan yang terdiri daripada  golongan bangsawan hingga biasa.

Bak Tailoring Sdn Bhd (Bak) bermula di Jalan Bunus, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang diusahakan oleh Bahtiar Afandi Omar.

Pengarah Eksekutif II, Sharief Sohaimi yang kini menerajui Bak berkata, pada peringkat permulaan, Bak hanya menjahit pakaian korporat.

“Bahtiar adalah bapa saudara saya. Namun, pada 1980, Bahtiar keluar dari Bak kerana permintaan terhadap tempahan kemeja menurun.

“Pada ketika itu, kemeja dan pakaian korporat siap memasuki pasaran dan memberikan kesan kepada perniagaan Bak,” katanya.

Sharief berkata, pada 1980, bapanya, Sohaimi Omar, 19 (ketika itu) baru pulang dari United Kingdom mengambil keputusan meneruskan perniagaan Bak.

“Bapa belajar mengenai rekaan dan fesyen di sana dan meneruskan menjual kemeja dan pakaian korporat. Perniagaan tersebut tidak memerlukan modal besar,” katanya.

Modal permulaan RM40,000

Sharief berkata, Bak dibangunkan semula dengan menggunakan modal RM40,000 sahaja yang dipinjam daripada emak saudaranya, Sukmawati Omar.

“Pada ketika itu, perniagaan kemeja tidak mendapat tempat. Pada 1985, Bak memecahkan tradisinya menerima tempahan baju Melayu dewasa secara kecil- kecilan.

“Kekurangan modal menyebabkan dia mempelbagaikan pakaian dengan memperkenalkan baju kanak- kanak dan kain samping,” katanya.

Pada ketika itu, perniagaan baju Melayu kanak- kanak mendapat sambutan luar biasa.

Sharief berkata, Bak mencipta sejarahnya tersendiri apabila beroperasi selama 24 jam pada bulan Ramadan sekitar 1990-an.

“Pada ketika itu, Bak beroperasi di pasar Jalan Tunku Abdul Rahman sederet dengan kedai gunting rambut dan kedai tudung. Bak hanya menerima pelanggan daripada pekerja pejabat dari kawasan berhampiran dan ‘walk in’ sahaja,” katanya.

Menurutnya, pada musim perayaan, Bak banyak menerima tempahan dan perniagaan semakin maju.

“Alhamdulillah, Bak memasuki Wisma Yakin, Kuala Lumpur, pada tahun 2007 dan ia dilihat seiring dengan perniagaan kelas atasan seperti Omar Ali, Maroz dan Den Wahab,” katanya.

Sharief berkata, pada 2009, Bak menubuhkan dua syarikat iaitu Bak Tailoring Sdn Bhd untuk peruncitan dan Bak Hemme Sdn Bhd (pengeluaran) serta mempunyai kilang sendiri.

“Kilang Bak terletak di Gombak. Jika di luar negara di Bandung dan Surabaya; Indonesia. Kami melaburkan kira- kira RM3.5 juta untuk ketiga- tiga kilang tersebut.

“Kilang di Gombak masih dalam pembinaan dan dijangka siap Ogos tahun ini. Kini Bak mempunyai hampir 200 pekerja dalam dan luar negara,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, Bak mempunyai lapan cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

Sharief berkata, Bak tidak merancang  menambah cawangan baharu dalam masa terdekat kerana fokus untuk memberikan lebih promosi jenama tersebut.

“Jualan Bak paling hit adalah di Hulu Klang, Selangor dan berjaya mengatasi jualan di cawangan lain. Lokasi adalah fokus utama kami kerana outlet di kawasan perumahan memberikan kelebihan kepada kami,” katanya.

Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan akan menutup Bak di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Kurang tukang jahit Melayu

Sharief berkata, setiap perniagaan mempunyai cabaran tertentu dan usahawan perlu bijak menghadapinya.

“Cabaran yang dihadapi Bak ialah untuk mencari pekerja yang sesuai. Kebanyakan tukang jahit adalah berbangsa Cina, India dan dari luar negara seperti Bangladesh. Kami kekurangan tukang jahit Melayu.

“Kami juga mengambil pekerja yang ada kelulusan dalam bidang fesyen dari beberapa kolej dalam negara. Saya merancang  membuka akademi jahitan sendiri supaya pelajar dapat terus bekerja dengan Bak setelah tamat belajar,” katanya.

Selain itu, katanya, dia sering menghadapi kekangan modal untuk membeli kain daripada pembekal.

“Kami menerima banyak tempahan tetapi menghadapi masalah bekalan kain. Atas keyakinan yang tinggi terhadap kewibawaan bapa, pembekal memberikan sahaja kain dengan memberikan kelonggaran kepada kami membuat pembayaran beberapa kali.

“Alhamdulillah, dengan kemudahan pembiayaan geran daripada sebuah bank, kami tidak menghadapi masalah kewangan lagi. Kami dapat membeli kain dengan membayar secara tunai dan ia memberikan kejutan kepada pembekal,” katanya menceritakan asam garam perniagaannya itu.

Menyambung ceritanya Sharief berkata, Bak mengambil kain dari pembekal India, Indonesia, Malaysia, Singapura, Pakistan dan sedikit dari China kerana menghadapi masalah sukar berkomunikasi.

Sharief berkata, pernah terjadi sebelum raya sekitar tahun 1990 an, kain yang dibeli habis sebelum bulan Ramadan.

“Ayah saya mengambil inisiatif menggunakan jenis kain yang tidak sesuai untuk dijadikan baju Melayu kerana keras. Tapi Alhamdulillah, penggunaan kain tersebut menjadi fenomena pada perayaan tahun itu,” ujarnya.

Satu lagi cabaran katanya, ada ketika, pekerja sendiri mencuri pakaian mereka.

“Kesannya kami menerima kemarahan pelanggan kerana baju hilang. Kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya memberikan pakaian baharu selepas musim perayaan,” katanya.

Jual di atas talian

Bak juga berkecimpung dalam perniagaan atas talian sejak beberapa tahun lalu seiring dengan perkembangan teknologi dan trend  pembelian pada masa ini.

Sharief berkata, selain mempunyai laman web rasmi, Bak juga memperkukuhkan perniagaannya dalam laman sosial seperti di Instagram dan Facebook.

Menurutnya, Bak sedar, pelanggan mereka bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di dalam dan luar negara.

“Perniagaan online diselia oleh isteri saya, Nur Afiqah Mohammad Aidid. Perniagaan online menyumbang lima peratus sahaja dan memberikan keistimewaan kepada pelanggannya yang berpeluang memiliki produk eksklusif Bak Tailor yang tiada di butik,” katanya.

Tambahnya, melalui online, Bak dapat menembusi beberapa negara kerana pelanggan terdiri daripada masyarakat Melayu dari Singapura, Brunei, Australia dan Amerika Syarikat.

“Bak menyediakan baju Melayu moden, samping dan butang baju Melayu pada harga RM170 sahaja. Laman web Bak dipantau 24 jam sehari,” katanya.

Sharief berkata, Bak juga akan dipromosikan dengan lebih teratur pada masa akan datang.

“Setakat ini, kami hanya menaja pakaian kumpulan Hyper Act sahaja dan beberapa selebriti.

Perancangan masa depan

Sharief berkata, Bak adalah perniagaan keluarga  yang sudah sebati dengan hidupnya.

“Saya tidak pandai dan nakal pada zaman sekolah. Saya bercita-cita mahu menjadi tukang jahit tapi bapa saya tidak benarkan kerana dia mahu saya menjadi jurutera.

“Saya mahu menjadi tukang jahit kerana melihat bapa saya. Walau bekerja tukang jahit tetapi boleh berjaya. Ibu saya juga tukang jahit tapi mengambil tempahan pakaian wanita di rumah sahaja,” katanya.

Sharief menyambung bicara dengan berkata, kedua- dua orang tuanya itu berjaya dan Sharief mahu meneruskan wawasan kedua ibu bapanya itu.

“Setakat ini, pendapatan Bak disumbangkan sebanyak 80 peratus daripada jualan butik, 15 peratus  adalah tender pakaian kerajaan dan swasta serta selebihnya adalah online.

“Saya mahu membuat perancangan yang teliti dan mahu menjadikan Bak satu legasi perniagaan kepada keluarga kerana kami dibesarkan daripada perniagaan ini,” katanya.

Sharief berkata, Bak akan terlibat dalam menyediakan pakej perkahwinan.

“ Dengan tekad Bak akan terus menghasilkan pakaian tradisional berkonsepkan Islamik lelaki dan perempuan selain meneruskan legasi Bak  yang mula menjahit pakaian perempuan sejak 2007," akhiri usahawan itu.

0 Komentar untuk " Legasi Bak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ