Khutbah Jumaat: Terima suratan takdir penuh keinsafan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khutbah Jumaat: Terima suratan takdir penuh keinsafan

Umat Islam yang beriman wajib percaya Allah SWT menentukan segala-galanya. Sebagai hamba Allah SWT, kita hanya mampu merancang, tetapi segala perancangan kita ditentukan Allah SWT atau dengan kata lain takdir mengatasi tadbir, meyakininya termasuk salah satu Rukun Iman.

Yakinlah, bahawa sesuatu perkara yang telah berlaku, sedang berlaku, akan berlaku, semuanya adalah tertakluk di bawah takdir Allah SWT. Justeru, apa sahaja yang terjadi di alam semesta ini, semuanya berlaku dengan ilmu dan iradat Allah SWT yang telah direncanakan oleh-Nya sejak azali.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang mencipta segala sesuatu lalu menentukan keadaannya dengan ketentuan takdir yang sempurna." (Surah al-Furqan, ayat 2)

Lemah, kerdil di sisi Allah

Allah SWT menentukan segala-galanya di langit dan bumi, justeru sebagai orang beriman kita hendaklah menerima takdir Allah SWT dengan penuh keinsafan dan berasakan betapa lemah serta kerdilnya diri kita di sisi Allah SWT.

Oleh sebab itu, setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita ada terkandung ribuan hikmah yang sememangnya menguji tahap keimanan sebagai seorang hamba.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahkan patutkah orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu." (Surah al-Ankabut, ayat 3)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan dalam kitab tafsirnya: "Agar dibezakan orang yang benar dalam pengakuannya daripada orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi. Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah ijma' imam Ahlus Sunnah wal Jamaah."

Takdir mengatasi tadbir manusia

Mempercayai bahawa takdir Allah SWT mengatasi segala tadbir manusia adalah tidak sia-sia kerana ia mengandungi banyak hikmah dan manfaat antaranya dapat memperkukuhkan keimanan, ketakwaan serta menyedari segala yang terjadi itu telah ditentukan oleh Allah SWT.

Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi, bala dan ujian adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang Mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa ujian dengan reda dan bersabar.

Kedua, dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, tindakannya selalu tenang, tanpa terburu-buru atau bimbang kerana mereka sedar segala takdir ditentukan serta perjalanan hidup ini adalah hak mutlak Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan, dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan, ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang menyucuk kakinya (anggotanya) melainkan dihapuskan oleh Allah SWT dengan itu sebahagian daripada kesalahannya."

Ketiga, dapat menambahkan rasa keikhlasan menerima segala ketentuan Allah SWT. Perasaan ikhlas adalah lambang kesucian dan kebersihan hati seseorang. Nilai seperti ini penting bagi seseorang hamba Allah SWT dalam melaksanakan segala ibadah.

Meyakini segala suratan adalah hak Allah SWT dan segala ujian kehidupan yang tidak mengenal rupa, pangkat, keturunan serta ia boleh hadir pada bila-bila waktu dari jalan yang tidak disangka-sangka, baik dengan jalan nikmat (istidraj), mahupun dengan ditimpa musibah. Dengan itu, mereka yang menerima segala takdir dengan rasa ikhlas sajalah yang mampu mengatasinya.

Dorong bersyukur

Keempat, mendorong supaya selalu bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur adalah tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap segala yang diterima, perkara itu baik atau buruk. Mereka yang bersyukur jiwanya akan merasa tenang dan berhak menerima pujian Allah SWT.

Kelima, dapat mendorong semaksimum mungkin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Dengan mempercayai bahawa takdir Allah SWT mengatasi tadbir dapat mendorong seseorang itu berusaha untuk mencari kebahagiaan dunia dan akhirat.

Percayalah bahawa kita sebagai hamba Allah SWT hanya mampu merancang, namun yang menentukannya ialah Allah SWT.

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan islam Malaysia (JAKIM)

0 Komentar untuk " Khutbah Jumaat: Terima suratan takdir penuh keinsafan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ