Dera, cerai, peluk Islam, tuntut hak! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dera, cerai, peluk Islam, tuntut hak!

“TIADA paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas perbezaan antara yang benar dengan yang sesat.” (Terjemahan Surah al-Baqarah: 256)

Ini adalah terjemahan salah satu ayat power al-Quran. Ayat ini sebenarnya mencabar kita untuk bertanya, “Mengapa Tuhan tidak memaksa makhluknya untuk memeluk agama-Nya?”

Mengapa perlu paksa seseorang untuk menerima emas sebagai emas dan batu sebagai batu? Hanya bahlul sahaja yang nampak emas itu batu dan batu itu emas.

Demikian juga kebenaran. Sudah jelas dan lebih jelas dari perbezaan emas dan batu bahawa Islam dan hanya Islam agama yang benar. Hanya yang mempunyai kepentingan diri sahaja yang enggan nampak kebenaran Islam walaupun Islam adalah satu-satunya agama yang melontarkan ‘tahaddi’ (cabaran):

“Dan jika kamu meragui (al-Quran) yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad), maka buatlah satu surah yang sama dengannya dan ajaklah penolong-penolong mu selain ALLAH SWT jika kamu orang yang benar.” (Terjemahan Surah al-Baqarah: 23)

Islam mencabar sesiapa jua untuk membawa cendekiawannya bagi membawa satu agama, ideologi, metodologi pemikiran yang lebih hebat atau sekurang-kurangnya sama level dengan al-Quran. Kalau kitab suci kamu hebat, bandingkan dengan al-Quran. Kalau buku Das Kapital, karangan Karl Marx lebih hebat, mari bawa sini! Inilah tahaddi (cabaran) al-Quran kepada yang meraguinya.

Tanggungjawab menyahut tahaddi ini diletakkan atas bahu umat Islam, lalu menjadikannya ‘khairu ummah’ (umat terbaik), ‘ukhrijat lin-naas’ (yang diutuskan untuk manusia semuanya, bukan sekadar untuk satu bangsa sahaja). Khairu Ummah ini bersifat bokia (tidak takut) pada tahaddi yang datang dari pelbagai lawan.

Tetapi cara umat Islam Malaysia menangani isu-isu semasa secara umumnya memberi gambaran bahawa ia berakhlak fobia, bukan bokia.

Baru-baru ini, Menteri Besar Negeri Sembilan mencadangkan agar seorang mualaf menyelesaikan perceraiannya dengan pasangannya yang bukan Muslim dulu sebelum mendaftar keIslamannya.

Terjadi kes seorang suami memeluk Islam tetapi isterinya enggan. Maka timbul persoalan hak penjagaan anak.

Timbul persoalan kalau suami itu berakhlak ganas, mendera isteri dan tiba-tiba memeluk Islam demi seolah-olah untuk mendapat hak penjagaan anak, apakah Islam mahu anak-anak muda dididik oleh ayah mafia tetapi beragama Islam atau ibu yang penyayang tetapi bukan Muslimah?

Seorang sahabat saya yang naif membangkang saya, “Akidah Islam akan mendidik ayah yang berkenaan bertukar menjadi orang yang baik! Hak jaga anak letak saja pada ayahnya!”

Saya jawab, “cuba tengok umat Islam di Malaysia berapa kes sumbang mahram dan mat rempit! Sentuh anjing fobia murtad dan Kristian guna kalimah ALLAH SWT fobia keliru? Masyarakat nampak akidah Islam membina akhlak fobia dan dayus!”

Kalau yakin Islam itu jelas benar, anak yang dididik oleh ibu yang bukan Muslim akhirnya akan kembali kepada kebenaran juga! Tak perlu paksa. Lagipun, ayah juga diberi hak lawatan oleh mahkamah sivil.

Kalau ayah berakhlak mulia, bekas isteri dan keluarganya yang bukan Muslim sudah tentu akan meraikan lagi kekerapan lawatan ayahnya! Ibu yang penyayang tidak akan menghalang ayah yang mulia untuk menyayangi anaknya.

Ini akan membuka peluang untuk dakwah kepada bekas isterinya dan keluarga isterinya sekali! Tunjukkan role model bagaimana akidah Islam mengubah akhlak mafia ke akhlak Nabi!

Tetapi sejauh manakah umat Islam di Malaysia mampu membawa wacana tajdid berdasarkan akhlak? Atau kita hanya mampu membawa wacana yang mengandaikan hanya perubahan legalisme akan menyelesaikan semua masalah kemanusiaan. Laksanakan legalisme hudud, nescaya tak ada lagi yang merompak. Naikkan taraf mahkamah syariah, settle semua problem!

 “Cerai dulu sebelum daftarkan keislaman” adalah langkah desperate apabila umat dah tak mampu menyahut tahaddi (cabaran) yang diseru oleh al-Quran. Yang paling saya takuti ialah satu hari umat Islam sendiri tidak lagi yakin bahawa al-Quran mampu bersaing dengan wacana lawan.

Lalu semangat bokia pada cabaran lawan pula lenyap, dan fobia semakin menjadi sehingga kita bergantung sepenuhnya pada kebijaksanaan peguam-peguam syarie untuk menjaga akidah kita sendiri dan anak-anak kita di mahkamah!

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Dera, cerai, peluk Islam, tuntut hak! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ