Danee bangkit dari kegagalan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Danee bangkit dari kegagalan

ORANGNYA hanya kecil molek dan mempunyai ketinggian sederhana. Wajahnya juga lembut dan tenang, mendamaikan hati sesiapa sahaja yang memandang.

Namun, siapa sangka wanita ini, Hamdani Hamzah, 36, yang mesra disapa Danee pernah melalui liku-liku keperitan ketika baru setahun memulakan perniagaan pusat rawatan resdung di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam, pada 2011.

Bagi Danee, Pengarah Urusan dRResd Health and Beauty (dRResd), 2011 merupakan tahun kesedihan buatnya dan suami, Shahir Al-Farid Arman, 36, kerana perniagaan mereka merudum.

“Ketika itu, kami tawarkan perkhidmatan rawatan resdung menggunakan produk syarikat lain menerusi kedai kami, Hijrah Shoppe. Kami juga menjadi stokis kepada beberapa syarikat yang gah dan membeli produk mereka dalam kuantiti banyak.

“Malangnya, entah di mana silapnya, perniagaan syarikat itu tiba-tiba jatuh, sekali gus menyebabkan stok barang yang kami ada tidak habis dijual.

“Habis modal kami yang dipinjam daripada keluarga dan kami juga terpaksa menanggung hutang,” katanya.

Berbekalkan sisa-sisa kewangan yang masih ada dalam jumlah yang terhad, Danee bersama suaminya bangkit meneruskan kesinambungan perniagaan mereka.

“Kami terpaksa ikat perut, agihkan duit itu untuk dalami ilmu perniagaan, cari mentor dalam bisnes dan kemas kini pemasaran media sosial.

“Pada masa sama, kami juga buat kajian dan penyelidikan (R&D) untuk keluarkan produk sendiri,” katanya.

Akhirnya, pada 2012, Danee berjaya mengeluarkan produk sendiri yang mempunyai kaitan dengan masalah resdung menerusi jenama dRResd.

Kini, dRResd mempunyai lebih 20 produk yang telah dihasilkan sejak 2012 antaranya kapsul resdung, pil nasobet, toner hidung, pewangi hidung, pencuci telinga, Naturopathy Sinus Remedy, sabun herba magika, bedak herba magika dan Naturopathy Detox Remedy.

Mulakan perniagaan secara bergerak

Menceritakan lanjut pembabitan awalnya dalam perniagaan rawatan resdung, Danee berkata, sebelum ini beliau pernah menjadi guru Matematik dan Sains serta mempunyai butik sendiri.

Bagaimanapun, Danee berhenti kerja sebagai guru dan tukang jahit kerana kecenderungannya lebih terarah kepada bidang perniagaan yang ketika itu diceburi oleh suaminya.

“Saya nekad berhenti sebagai guru dan bantu suami berniaga produk herba. Kami memilih menyediakan rawatan resdung kerana banyak produk ini yang ditawarkan di pasaran, tetapi tiada pusat rawatan berkaitan disediakan.

“Pada masa itu pula, banyak produk kesihatan dan kecantikan meletup, jadi kami gunakan peluang ini untuk menyediakan rawatan resdung menggunakan produk syarikat lain,” katanya.

Pada mulanya, Danee dan suaminya memulakan perniagaan secara bergerak di ekspo dan pasar raya dengan perkhidmatan rawatan resdung, di samping menjual produk-produk herba, tahun 2009.

“Setahun kemudian, kami berjaya menyewa kedai di Kompleks PKNS, Shah Alam. Ada pihak yang kurang yakin dengan kemampuan kami untuk membuka kedai rawatan resdung pada mulanya.

“Ini kerana, dua penyewa kedai itu sebelum ini gulung tikar kerana lokasinya yang tidak begitu strategik. Namun, berkat keyakinan dan usaha kami, sehingga kini kedai kami menerima kunjungan ramai orang,” katanya.

Daripada rawatan resdung, dRResd mula mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan terapi lain yang mempunyai kaitan dengan masalah resdung seperti bekam, naturopati dan homeopati.

Tidak terhenti di situ, Danee pernah mengambil risiko menawarkan latihan kepada bakal usahawan secara percuma demi untuk mengembangkan perniagaannya, pada 2013.

Nasibnya begitu baik apabila program itu menerima sambutan dan ramai yang berminat untuk menjadi ejen memasarkan produknya, sekali gus menyediakan rawatan seperti yang disediakan di dRResd Natural Therapy Centre.

“Kami bergerak di setiap negeri di Semenanjung Malaysia, beri seminar secara percuma dan bagi kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit resdung ini.

“Sehingga kini, dRResd sudah mempunyai 35 ejen dan stokis di seluruh Malaysia,” katanya.

0 Komentar untuk " Danee bangkit dari kegagalan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ