Agama: Pendakwah kena sabar hadapi ujian - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Pendakwah kena sabar hadapi ujian

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah membentangkan kisah Nabi Yunus yang kecewa dengan sikap kaumnya dengan mengambil tindakan melarikan diri dengan menaiki kapal sebelum mendapat undi terjun ke laut dan ditelan ikan nun.

Sebut sahaja mengenai ikan paus (ikan Nun), maka tergambar peristiwa kisah Nabi Yunus. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah pada Isnin minggu lalu di IKIMfm membentangkan kisah seorang nabi yang menjalankan dakwah kepada kaumnya melalui satu peristiwa yang unik.

Kebanyakan kisah mengenai nabi termasuk Nabi Soleh, Nabi Musa yang berhadapan dengan Firaun, cerita kaum Yasin, umum mengetahui mereka tidak beriman kepada nabi mereka. Uniknya, kaum Nabi Yunus satu-satunya kaum yang tidak diazab oleh Allah SWT dan Allah SWT telah mengampunkan dosa mereka.


Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia daripada menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)." (Surah Yunus, ayat 98)

Kita memahami ada satu kaum yang diiktiraf oleh Allah SWT untuk menerima keimanan dan diampunkan dosa apabila mereka kembali bertaubat.

Ibn Kathir berkata, tempat Nabi Yunus berdakwah kepada kaumnya itu adalah di Nainawa (utara Iraq). Selain itu, Allah SWT menyebut secara jelas jumlah mereka (pengikut) seramai 100,000.

Sheikh Syaarawi berkata, apabila disebut jumlah yang banyak itu, bukanlah jumlah yang ramai tetapi hanya sebuah 'kinayah' dengan jumlah yang besar.

Walau bagaimanapun, usaha Nabi Yunus untuk berdakwah kepada kaumnya gagal sehingga Nabi Yunus meninggalkan mereka kerana berasa amat marah kaumnya tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri." (Surah Anbiya, ayat 87)

Nabi Yunus telah membuat keputusan meninggalkan kaumnya dan lari menaiki sebuah kapal yang penuh sarat dengan penumpang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah daripada rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat." (Surah as-Soffat, ayat 139-140)

Peristiwa itu menceritakan bagaimana berlaku kejadian tidak diduga apabila kapal yang sarat itu tiba-tiba terumbang-ambing serta didatangkan guruh kuat seolah-olah Allah SWT sendiri tidak mengizinkan kapal itu untuk bergerak.

Mereka yang berada di atas kapal membuat keputusan untuk membuang barang-barang terlebih dahulu. Selepas barang dibuang, keadaan kapal masih lagi tidak aman malah terus berada dalam keadaan terumbang-ambing seperti ingin pecah.

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk melakukan penyingkiran melalui undian. Mereka telah menyenaraikan semua nama penumpang dan membuat cabutan undi. Dalam undian itu, nama pertama yang dicabut ialah Nabi Yunus.

Undian kedua dan ketiga juga berlaku perkara yang sama. Akhirnya, dengan tawakal kepada Allah SWT, Nabi Yunus pun terjun ke dalam laut dan disambut oleh seekor ikan.

Difirmankan melalui Surah As-Soffat, ayat 141-142, yang bermaksud: "(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia daripada orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak."

Begitulah Allah SWT menegur Nabi Yunus yang meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Teguran Allah SWT kepada Nabi Yunus ini membuktikan bahawa kasih-sayang Allah SWT kepada hambanya untuk tidak melakukan apa sahaja tindakan tanpa arahan daripada-Nya.

Nabi Yunus yang dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan kaumnya yang padanya tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi akhirnya Allah SWT menjadikan mereka itu dengan bilangan ramai untuk beriman serta mentaati perintah-Nya.

Peristiwa ini juga memberikan gambaran supaya pendakwah tidak segera meninggalkan mad'u yang sedang dihadapi walaupun berdepan pelbagai ragam dan kerenah. Begitulah Allah SWT mengingatkan Baginda Nabi Muhammad untuk tidak meninggalkan bumi Makkah dan berhijrah ke Madinah selepas 13 tahun di sana.

Ketetapan terhadap perintah Allah SWT untuk bersabar menjadi pengajaran penting kepada pendakwah bagi menghadapinya. Jadilah pendakwah yang sabar di dalam apa juga keadaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah (berdakwahlah) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang baik (sopan dan lemah lembut)." (Surah an-Nahl, ayat 125)

* Penulis ialah Penyampai dan Penerbit rancangan radio IKIMfm

0 Komentar untuk " Agama: Pendakwah kena sabar hadapi ujian "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ