Wakaf instrumen pembangunan sosioekonomi ummah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wakaf instrumen pembangunan sosioekonomi ummah

BUDAYA berwakaf memang wujud dalam masyarakat Islam di Tanah Melayu sebelum dijajah British lagi. Culture of giving itu sudah wujud dan segar bersandarkan kepada ketakwaan kepada ALLAH SWT. Bentuk aset yang diwakafkan pada masa itu seperti tanah, madrasah/pondok, surau/masjid, tanah perkuburan. Pada zaman sekarang keperluan sudah berbeza dan peluang berwakaf dari segi instrumen juga lebih luas.

Wakaf berpotensi dimajukan sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah kerana ciri yang ada pada kedinamikannya. Wakaf berfungsi secara dinamik berdasarkan ciri-ciri unik wakaf itu sendiri, ini kerana wakaf perlu bersifat kekal, dalam keadaan yang lain ia boleh bertambah dan secara tidak langsung memangkin pelaburan yang produktif. Atas ciri-ciri ini, mengalir manfaat yang berupaya memberi kebajikan kepada mawquf alaih.

Terdapat tiga inti pati faktor kejayaan kritikal terpenting dikenal pasti, antaranya perundangan, pengurusan efisien dan profesional dan modal.

Perundangan

Menurut peruntukan di bawah undang-undang Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri (Main) adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri masing-masing. Sebagai contoh, Seksyen 32 Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 menyatakan mana-mana peruntukan berlawanan yang terkandung dalam mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh mana-mana wakaf, yang Mains hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf. Main memainkan peranan penting dalam pengurusan harta wakaf. Malah, mereka berhak untuk menguruskan harta wakaf berdasarkan syariah dan peruntukan undang-undang Islam. Seksyen 4 (2) (e) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) menjelaskan apa-apa dalam KTN akan melaksanakan undang-undang yang berkaitan dengan wakaf membenarkannya untuk ditadbir oleh undang-undang Islam. Oleh itu, perundangan ini menyediakan platform kepada Main peruntukan pelan pembangunan yang sistematik untuk manfaat ummah.

Efisien dan profesional

Tadbir urus yang baik, pengurusan yang efisien dan profesional adalah faktor kejayaan kritikal yang paling utama. Oleh itu, untuk memastikan budaya wakaf kekal relevan, usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh institusi wakaf untuk menggalakkan pembangunan pembiayaan wakaf dalam meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat.

Modal

Contohnya kerajaan memperuntukkan menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah program Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9) peruntukan sebanyak RM 256 juta dan tambahan dalam RMK10 sebanyak RM 20 juta khusus membangunkan tanah wakaf sumbangan masyarakat awam melalui Main adalah suatu lonjakan kesepaduan antara masyarakat awam dan pihak pemerintah.

Tidak terkecuali Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dengan kerjasama Mains melalui Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan mengambil inisiatif memperuntukkan modal sebanyak RM 3.5 juta untuk membangunkan klinik pakar kesihatan (RM2 juta) dan klinik hemodialisis (RM1.5 juta).

 Kita berkeyakinan institusi wakaf boleh memajukan sosioekonomi ummah terutamanya kumpulan sasaran. Institusi wakaf berperanan bukan secara berasingan tetapi sebagai pelengkap kepada dasar dan program Kerajaan, institusi zakat serta usaha NGO dan badan-badan amal. Bagi merealisasikan outcome ini modal sosial/wakaf yang substantif dari segi saiznya diperlukan.

Dalam hal ini kesedaran yang meluas masyarakat bukan sahaja dalam kalangan yang berada dan golongan korporat. Di sanalah wujudnya keperluan untuk mempergiatkan lagi usaha dakwah dan dakwah bil hal.


Prof Datuk Dr Mohammad Alias, Dr Fuadah Johari & Prof Madya Dr Asma Abdul Rahman dari Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW)

0 Komentar untuk " Wakaf instrumen pembangunan sosioekonomi ummah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ