Tak perlu telefon pintar di sekolah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tak perlu telefon pintar di sekolah

PAHIT manis tidak dapat dipisahkan dengan persekolahan. Macam-macam kisah yang kita lalui, termasuk akibat kenakalan.

Kawan saya, Jo, sangat taksub dengan mata pelajaran Sains Kesihatan. Untuk menentukan dia dapat markah cemerlang, dia tulis fakta mengenai beberapa tajuk yang dia jangka menjadi antara soalan dalam peperiksaan SPM dalam tiga helai kertas.

Sehelai dilipat dan disembunyikan dalam kolar baju dan dua helai dalam lipatan tangan baju kanan dan kiri sebelum masuk dewan peperiksaan.

Alangkah melonjak kegembiraannya apabila dia dapati jangkaannya tepat sekali; semua fakta dan isu yang dibawa masuk ke dewan secara haram itu boleh digunakan untuk menjawab soalan mata pelajaran kegemarannya itu.

Tetapi keghairahannya tidak bertahan lama. Pengawas peperiksaan lebih cekap; maklumlah guru kan lebih dahulu makan garam!

Dia tanya kawan saya tiga soalan.

Pertama, “Macam mana awak mampu menjawab empat soalan dalam masa 15 minit sahaja?”

Kedua, “Kenapa kertas jawaban awak ada kesan lipat?” dan ketiga, “Saya beri 10 helai kertas kosong untuk jawapan, macam mana awak boleh ada 13 helai?”.

Kawan saya kantoi. Mukanya pucat lesi, tangan dan kakinya menggeletar, tetapi seperti kata Shidee, “Sayang semuanya sudah terlambat; tak guna engkau tangiskan lagi!”.

Tetapi tabik kepada guru pengawas itu, dalam keadaan begitu, dia masih bermurah hati benarkan rakan saya itu menduduki peperiksaan tersebut, cuma dia tidak boleh jawab soalan daripada fakta dan tajuk yang ada dalam kertas dia seludup masuk.

Pembaca budiman pun boleh ramal keputusannya; rakan saya dapat F untuk mata pelajaran kegemarannya itu. Kesian juga saya dan rakan-rakan lain tengok mukanya yang monyok, mendengar curahan perasaannya dan melihat titisan air matanya, tetapi dalam hati kami kata ‘padan muka’.

Ini berlaku lebih 40 tahun lalu dan satu daripada beberapa kes terpencil.

Ada pelajar yang cuba meniru dengan menulis formula dan points di tapak tangan, atas kayu pembaris, atas kertas kotak instrumen atau pemadam.

Hari ini, dalam era teknologi canggih, macam-macam boleh dilakukan. Kewujudan telefon bimbit, lengkap dengan kemudahan WhatsApp, internet dan sebagainya memberi laluan mudah untuk meniru atau menyalahgunakan.

Disebabkan itu dan kesan-kesan negatif yang lain, maaf jika saya terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan sebarang cadangan supaya pelajar dibenarkan membawa alat komunikasi ke sekolah.

Eloklah Kementerian Pendidikan terus bertegas dalam menangani isu penggunaan telefon bimbit - apa lagi telefon pintar - dan iPad oleh pelajar-pelajar di sekolah.

Lupakanlah sahaja dengan cadangan supaya kerajaan mengkaji semula larangan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Ia ada kebaikan, tetapi yang jelas, ia akan lebih membawa kepada arah keburukan.

Tepat sekali seperti apa yang dikatakan beberapa penganalisis dan wakil persatuan, iaitu di samping mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

Saya berani buat pertaruhan bahawa langkah membenarkan pelajar membawa telefon pintar lengkap dengan WhatsApp dan sebagainya hanya akan menjejaskan tumpuan pelajar kepada sesi pembelajaran, lebih-lebih lagi ketika berada di dalam kelas.

Itu belum dikaitkan dengan masalah lain seperti pertelingkahan, pergaduhan, kecurian, penyalahgunaan dan kewujudan jurang antara pelajar berkemampuan dan yang kurang berkemampuan.

Kita boleh bayangkan kesannya apabila telefon bimbit yang canggih itu digunakan untuk perkara yang ada kaitan dengan maksiat, sia-sia dan membuang masa.

Jadi, seperti kata orang, dari tidak ada pasal, jangan cari pasal. Tiada masalah, jangan cipta masalah.

Saya setuju sangat dengan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad, seperti yang disiarkan Sinar Harian semalam.

Katanya, lebih banyak yang tidak baik daripada baik dalam membenarkan pelajar guna telefon pintar di sekolah.

Jika mahu berhubung dengan keluarga jika ada kecemasan, sekolah akan benarkan pelajar guna telefon pejabat. Kenapa perlu dirumitkan perkara yang mudah?

0 Komentar untuk " Tak perlu telefon pintar di sekolah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ