Musibah banjir satukan Pusat, negeri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Musibah banjir satukan Pusat, negeri

MELIHAT  senario pasca banjir, musibah yang melanda negeri Kelantan kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah. Maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencatatkan lebih 200,000 mangsa banjir yang berpindah ke pusat perpindahan seluruh Kelantan.

Jumlah pusat perpindahan mangsa banjir seluruh Kelantan juga melebihi 500 buah, termasuk 439 pusat yang didaftar atau digazetkan. Lebih menyedihkan keadaan pasca banjir di jajahan paling teruk terutamanya Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Tumpat dan Rantau Panjang tidak ubah seperti fenomena tsunami di Acheh dan banjir besar di Jepun.

Angka tidak rasmi setakat ini mencatatkan lebih 3,000 rumah musnah atau dihanyutkan air banjir.

Bagi penulis yang berkampung selama lebih 14 hari di Kelantan terlibat langsung dalam gerakan menyelamat, misi bantuan dan kerja penyelarasan di bilik gerakan dan lapangan tentunya berasa amat simpati yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Namun perkara yang penulis dapat kongsikan dengan pembaca, musibah kali ini hakikatnya menyaksikan buat pertama kalinya satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Pusat dan negeri dibentuk untuk melaksanakan gerak kerja menangani musibah banjir dengan lebih berkesan.

Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan merupakan jawatankuasa yang dibentuk ketika lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tatkala gelombang banjir kedua mula memuncak pada 26 Disember 2014. Persetujuan antara Muhyiddin yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob telah memungkinkan penubuhan jawatankuasa di peringkat negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Melalui jawatankuasa inilah seluruh aset agensi persekutuan terutamanya daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Pendidikan dapat digembleng secara bersama dengan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri pula mewakilkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyelaras semua infrastruktur dan agensi-agensi negeri bagi membantu gerakan menangani musibah banjir.

Sebuah bilik gerakan juga ditubuhkan dengan MKN menjadi sekretariatnya di Hotel Sutera Inn. Setiap jam 9 pagi semua pegawai tertinggi agensi ini bermesyuarat sejam untuk mengemas kini segala usaha menyelamat, penyaluran bantuan bekalan, kesihatan, dan baik pulih infrastruktur.

Fokus utama jawatankuasa pada peringkat awal gelombang kedua banjir adalah menyelamat dan memindahkan mangsa yang terperangkap.

Bantuan bekalan makanan dan perubatan dipastikan sampai kepada semua mangsa di sekolah mahupun di bukit-bukau seperti berlaku di Manek Urai, Dabong dan Kuala Krai.

Lebih 500 aduan diterima oleh bilik gerakan setiap hari melalui telefon, WhatsApp mahupun media sosial seperti Facebook. Semua aduan diambil serius bagi memastikan tidak ada seorang pun yang kebuluran, mahupun kehilangan nyawa lantaran kegagalan operasi menyelamat.

Pengalaman penulis yang terlibat langsung dalam jawatankuasa ini bagi membantu Mustapa, antara cabaran utama operasi ialah komunikasi. Ini kerana hampir semua jajahan terputus komunikasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak dapat menghubungi pegawai daerah untuk mendapatkan maklumat tepat.

Sebab itulah jika ada aduan mengatakan bekalan tidak sampai mahupun berhari-hari tidak makan tentunya menjadi keutamaan operasi. Malah peranan ATM harus mendapat pujian yang terbesar kerana seluruh anggota dan aset mereka dikerahkan terutamanya ke tempat yang tidak dapat dimasuki melalui jalan darat mahupun air.

Contohnya, ATM berjaya membawa bekalan kepada hampir 500 orang yang terperangkap di tingkat 4 Sekolah Menengah Manek Urai yang ketika itu air sudah mencecah ke tingkat 3.

Selain itu, ATM juga menempatkan anggotanya di semua kawasan yang terputus hubungan, termasuk yang ramai berada di bukit-bukau sekitar Manek Urai dan Kuala Krai supaya mangsa sentiasa positif dan berkeyakinan.

Di sesetengah tempat seperti di Pusat Pemindahan Sekolah Agama Lati Pasir Mas, anggota tentera sendiri yang mengurus dan memasak untuk lebih 7,000 mangsa di sana.

Demikianlah coretan ringkas betapa hebatnya gerakan menyelamat musibah banjir yang buat kali pertama dijalankan secara terselaras antara Pusat dan negeri. Mungkin inilah antara hikmah besar musibah banjir kali ini yang dapat menyatukan antara Kerajaan Persekutuan
dan negeri. Semoga kerjasama dan permuafakatan sebegini dapat diteruskan, bahkan diperhebat terutamanya pasca banjir untuk membina kembali kehidupan rakyat Kelantan yang terjejas.

0 Komentar untuk " Musibah banjir satukan Pusat, negeri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ