Sekat kebanjiran pendatang haram - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sekat kebanjiran pendatang haram

Isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukan sesuatu yang baru, sebaliknya ia adalah antara perkara yang sudah terlalu klise untuk diperdebatkan sama ada dalam kalangan ahli politik atau golongan akademik.

Namun, tiada sebarang rumusan atau dasar konkrit yang dapat ditemukan bagi menangani isu membabitkan PATI di negara ini.

Hakikatnya, kedatangan PATI ke negara ini dilihat lebih banyak menimbulkan kesan negatif berbanding positif kepada rakyat dan negara.


Kita tahu golongan ini berkelana ke Malaysia bukan sekadar 'membawa diri' semata-mata, bahkan membawa bersama kebiasaan, cara hidup, amalan atau budaya negatif negara asal mereka ke negara ini.

Antara budaya negatif yang dibawa masuk ialah gemar bergaduh, mabuk, seks bebas dan paling menakutkan ialah berbunuhan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian sesama mereka.

Sebagai contoh, baru-baru ini negara dikejutkan dengan kejadian sekumpulan warga Myanmar di Pulau Pinang yang membunuh kejam rakyat senegara dengan mengerat anggota tubuh mangsa dan membuangnya di merata tempat.

Konflik balas dendam

Ia terjadi disebabkan berlaku krisis atau konflik yang bermula dari negara asal menyebabkan warga asing dan PATI dari negara berkenaan nekad membalas dendam walaupun mereka berada di negara orang.

Soalnya, apakah yang menjadi penyebab mengapa isu PATI di negara ini terus gagal ditangani dengan berkesan dan sistematik oleh pihak yang bertanggungjawab.

Kebanjiran PATI di Malaysia pernah menarik perhatian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, yang menganggap ia berada pada tahap serius apabila dianggarkan lebih enam juta golongan itu bekerja di negara ini dalam pelbagai sektor.

Beliau mendedahkan, daripada jumlah yang dianggarkan itu, kira-kira 2.1 juta golongan itu adalah PATI yang bekerja secara haram tanpa dokumen sah.

"Antara punca mengapa fenomena ini berlaku ialah permintaan tinggi tenaga kerja dalam pelbagai sektor di negara ini khasnya perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan," katanya.

Soalnya, bagaimanakah hal ini boleh terjadi. Adakah wujud kelemahan dalam sistem penguatkuasaan negara kita atau PATI begitu berani melanggar undang-undang Malaysia.

Mengulas perkara ini, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek, berkata kebanjiran PATI dipengaruhi beberapa faktor, tetapi yang paling utama adalah disebabkan kelemahan penguatkuasaan oleh agensi bertanggungjawab.

Kelemahan dasar tertentu

Selain itu, masalah berkaitan PATI ini juga berpunca daripada kelemahan dasar tertentu kerajaan terhadap pekerja asing yang mana adakalanya tidak konsisten atau bersifat liberal mengikut keperluan semasa.

Kelemahan dari sudut penguatkuasaan berlaku apabila agensi bertanggungjawab menangani isu kebanjiran PATI bersifat territorial atau 'kau buat tugas kau, aku buat tugas aku' ketika menjalankan tugas penguatkuasaan..

Akibatnya, aktiviti penguatkuasaan berjalan secara tidak cekap, berlaku banyak kelemahan dan kelompangan tindakan, di samping tidak menakutkan PATI untuk terus berada di negara ini.

"Jika aktiviti penguatkuasaan pun agensi kerajaan yang ada tidak boleh bersatu, bagaimana masalah PATI dapat diselesaikan.

"Lihat sahaja contoh yang berlaku di Cameron Highlands. Apabila berlaku bencana banjir di situ, baru semua orang tahu tempat itu adalah adalah antara lubuk PATI terbesar.

"Apabila masalah ini timbul, agensi kerajaan terbabit mula menuding jari antara satu sama lain. Barulah selepas itu agensi penguatkuasa sibuk memburu dan menahan PATI," katanya pada Persidangan MPN bertajuk 'Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia', baru-baru ini.

Dalam hal ini, Abdul Halim menyarankan agar aktiviti penguatkuasaan mengesan dan menahan PATI perlu dilakukan secara bersepadu antara semua agensi kerajaan agar ia menjadi lebih berkesan dan pada masa sama menimbulkan rasa gerun golongan itu untuk tinggal lama di negara ini.

Selain kelemahan aspek penguatkuasaan, beliau juga berkata, faktor meningkatnya jumlah PATI di Malaysia adalah dasar mesra pelancong dan dasar pendidikan liberal untuk pelajar asing yang diamalkan kerajaan sejak beberapa dekad lalu.

Dasar mesra pelancong

Dasar mesra pelancong katanya, seperti memansuhkan peraturan visa ketibaan (VOA) kepada pelancong dari negara tertentu termasuk dari negara serantau dan dari negara Asia Barat atas tujuan menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negara ini menjadi pendorong utama ramai warga asing menjadi PATI.

"Kadang-kadang disebabkan kelekaan kita hendak mengejar sasaran jumlah kedatangan pelancong datang ke Malaysia, kita mungkin terlepas pandang masalah yang timbul selepas itu iaitu apabila pelancong terus menetap di sini atau tidak keluar dari negara kita menjadi PATI.

"Usaha kita untuk menjadi hab pendidikan tinggi utama juga menyumbang kepada peningkatan jumlah PATI di negara ini.

"Ada di antara mereka hanya menyamar menjadi pelajar universiti di tempat kita, sedangkan hakikatnya mereka menyalahgunakan pas pelajar untuk tinggal lebih masa di sini dengan mengambil peluang bekerja seperti menjadi GRO atau pelacur.

Justeru, Abdul Halim mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu dasar yang kekal dan ketat bagi menangani masalah kebanjiran PATI di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Aziz, berpendapat kebanjiran PATI lebih banyak menimbulkan masalah sosial dan budaya berbanding menyumbang sesuatu yang positif kepada negara.

Ganggu sistem sosial

Menurutnya, kehadiran PATI secara tidak langsung mengganggu sebahagian besar sistem sosial dan kehidupan rakyat di negara ini kerana mereka membawa budaya, cara hidup dan nilai yang berbeza dengan apa yang diamalkan di negara ini.

Namun katanya, kebanjiran PATI di negara ini lebih berpunca dari sikap rakyat dan pemerintah negara ini yang bersifat akomodatif atau mesra dengan mereka.

"Jika ada pihak menyatakan kehadiran PATI penting untuk pembangunan dan kemajuan negara, saya fikir PATI memberi impak negatif terhadap usaha kerajaan membina negara bangsa.

Urus secara sistematik

"Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan menguruskan PATI ini secara teratur dan sistematik seperti menerima kemasukan mereka mengikut sektor yang wujud di negara ini, bukan 'main lambak' saja," katanya.

Abdul Rahman turut berpendapat sudah sampai masa kerajaan mewujudkan pusat sehenti yang berfungsi sebagai tempat warga asing menjalani orientasi bagi memahami budaya, undang-undang dan apa juga sistem yang diamalkan di negara ini bagi mengatasi masalah yang sering ditimbulkan golongan berkenaan.

0 Komentar untuk " Sekat kebanjiran pendatang haram "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ