Pengurusan banjir MKN setaraf antarabangsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengurusan banjir MKN setaraf antarabangsa

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendefinisikan bencana sebagai suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, membabitkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif (Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana - Semakan 2012).

Banjir adalah bencana alam. Ia adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT. Bagi orang beriman apa jua bentuk ujian yang didatangkan Allah SWT akan menjadikan mereka lebih tabah serta bertakwa. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud, "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta".



Antara jalan raya yang dilimpahi air berikutan berlakunya banjir di sekitar Kota Bharu. - Foto Khairull Azry Bidin

Namun, kita sebagai manusia tidak patut menyerah bulat-bulat kepada takdir. Kita wajar melakukan segala tindakan yang patut bagi berhadapan dengan sebarang bentuk bencana atau ujian yang menimpa kita. Dalam konteks bencana yang lebih besar skalanya seperti banjir yang sedang menimpa di beberapa negeri sekarang ini, maka pengurusan bencana akan diuruskan oleh kerajaan melalui pelbagai agensi pengurusan bencana.

Pengurusan profesional MKN
MKN menjadi agensi penyelarasan penting bagi memastikan operasi menyelamat dan pemindahan dilakukan sepantas mungkin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Misi utama adalah untuk menyelamatkan nyawa, selain memastikan bekalan dan keperluan di pusat pemindahan adalah mencukupi. Sebagai agensi utama dan penting dalam pengurusan bencana, MKN melaksanakannya secara profesional.
Sistem pengurusan bencana negara yang diurus oleh MKN adalah setaraf dengan sistem antarabangsa yang meliputi aktiviti sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana.

Sukarelawan Biro kebajikan UMNO bersama mangsa banjir mengangkat barangan bantuan yang diagihkan di SK Cempaka, Kota Bharu. - Foto Owee Ah Chun
Berikutan negara mengalami musim banjir pada setiap tahun maka MKN akan menggunakan hasil post-mortem pengurusan banjir saban tahun itu untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti supaya jentera pengurusan banjir pada masa depan akan lebih berkesan. Hakikatnya, persiapan MKN dalam menguruskan bencana banjir dilakukan awal pada saban tahun. Maknanya MKN bersama agensi kerajaan tertentu mengambil langkah persiapan sebelum berlakunya bencana banjir.
Sudah menjadi jadual utama MKN bahawa sebaik sahaja negara menghampiri Monsun Timur Laut (musim tengkujuh) maka agensi itu akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) sebagai langkah persediaan awal. MKN akan mengarahkan semua agensi terbabit serta aset pengurusan banjir diletakkan dalam keadaan siap siapa. MKN negeri juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri masing-masing bagi menyelaraskan persediaan di peringkat negeri dan daerah.

Mangsa banjir beratur mengambil makanan ditempat yang disediakan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Pusat Latihan UiTM Kampung Gajah. - Foto L Manimaran
Operasi banjir di kawasan terjejas
Justeru, agensi tertentu serta anggota penyelamat sama pada peringkat pusat mahu pun negeri berada dalam keadaan bersedia bagi operasi menyelamat, memindah dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir. Anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta beberapa agensi yang lain di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk memberikan bantuan. Aset kerajaan yang boleh dikerahkan untuk operasi banjir di seluruh negara ditempatkan mengikut zon.
Ia bergantung pada sejauh mana seriusnya bencana itu menimpa seperti keadaan banjir yang sedang melanda di Pantai Timur, terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Amat jelas sekali MKN dan agensi terbabit mengambil tindakan untuk menggerakkan kekuatan dan aset di negeri-negeri yang tidak dilanda banjir bagi meningkatkan keupayaan operasi banjir di kawasan yang terjejas banjir. Sejurus air mula naik di negeri terbabit, agensi penyelamat melakukan operasi pemindahan.

Anggota Unit Udara Bomba dengan Helikopter 9M-BOC Agusta AW139 menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang terperangkap di atas Bukit di Manek Urai. - Foto Fathil Asri
Walaupun kerajaan dengan segala kekuatan yang ada boleh merancang, namun keadaan banjir yang sangat luar biasa terutama di Kelantan adalah satu cabaran yang cukup besar. Benarlah kata-kata hikmah bahawa manusia merancang, namun Allah SWT yang menentukan segala-galanya.
Keadaan cuaca ekstrem dan ditambahkan dengan fenomena air pasang besar menyebabkan air naik mendadak sekali membawa bencana banjir yang cukup luar biasa, terutama di Kelantan.
Keadaan yang luar biasa ini menyebabkan kerja pemindahan memerlukan masa berikutan jumlah mangsa serta faktor lain yang tidak dapat dielakkan termasuklah kes keengganan mangsa untuk berpindah walaupun sudah dipujuk dan diarahkan berpindah menyebabkan ramai yang terkandas berikutan air naik terlalu pantas serta berarus deras.
Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir melebihi jangkaan awal menyebabkan sedikit kesesakan dan ketidakselesaan berlaku di pusat-pusat pemindahan.
Pihak berkuasa juga turut mengalami cabaran dari segi logistik bagi menghantar bekalan berikutan keadaan cuaca yang buruk serta jalan raya ditenggelami air. Namun, ia tidak mematahkan semangat agensi terbabit serta anggota penyelamat dan kini keadaan menjadi lebih stabil dan bertambah baik. Bantuan yang dihulurkan oleh badan-badan sukarelawan dari pelbagai pihak amat membantu.

Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia menghantar bekalan makanan keseluruh daerah yang terjejas dengan banjir di Negeri Kelantan, di Kem 21 RAMD Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri
Contohi semangat kerjasama masyarakat Jepun
Cuma kelemahan rakyat kita ialah masih gagal mengetepikan perbezaan fahaman politik dan ideologi untuk sama-sama berganding bahu menangani krisis yang dihadapi. Ia berbeza dengan masyarakat Jepun di mana semua lapisan masyarakatnya berganding bahu menghadapi apa jua bencana. Malah, organisasi sukarelawan tempatan memainkan peranan mereka sebelum ketibaan pihak berkuasa.
Sikap tidak 'menuding jari' masyarakat Jepun dalam berhadapan keadaan kritikan bencana membolehkan kerajaan dan rakyatnya bersatu dan bekerjasama secara padu dalam kerja-kerja menyelamat mangsa bencana.
Selain itu, tahap kesedaran rakyat Jepun serta disiplin mereka dalam menghadapi bencana adalah sesuatu yang mengagumkan. Sebaliknya, rakyat kita lebih gemar berpolitik daripada memberikan kerjasama. Ada yang hanya tahu mengkritik melalui media sosial tanpa memahami situasi dan fakta sebenar yang berlaku.
* Penulis ialah Penganalisis Media di bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.
0 Komentar untuk " Pengurusan banjir MKN setaraf antarabangsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ