Kerajaan perpaduan bangunkan semula Kelantan, bukan hanya banjir, kata pemilik Karangkraf - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kerajaan perpaduan bangunkan semula Kelantan, bukan hanya banjir, kata pemilik Karangkraf

Kejadian banjir yang melanda Kelantan menyebabkan negeri itu mundur 40 tahun ke belakang dan tiba masanya Umno dan PAS bersatu membinanya semula. – Gambar fail AFP, 2 Januari, 2015.

 Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Umno-PAS Kelantan bukan sahaja bagi mengatasi isu banjir tetapi membangunkan semula negeri itu yang mundur 80 tahun ke belakang berbanding negeri lain, kata Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Pemilik Kumpulan Karangkraf itu berkata, bencana banjir menyebabkan negeri itu mundur lagi 40 tahun ke belakang, dan tiba masanya Umno dan PAS bersatu membina semula Kelantan.

"Saya bukan bercerita banjir tapi bina semula Kelantan. Kita perlukan idea yang bernas. Kelantan dah mundur, kini dimundurkan lagi akibat banjir," katanya pada sidang media di Kompleks Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Beliau mendakwa, Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan yang ditubuhkan kerajaan pusat gagal melaksanakan tanggungjawab ekoran masalah birokrasi.
"Jawatankuasa dah tubuh tapi pelaksanaanya tak menjadi kerana sangkut dengan birokrasi," katanya.

Katanya, disebabkan cadangan itu beliau dijadikan "kambing hitam" ahli politik menyerang dan menuduhnya sebagai alat politik pihak berkepentingan.

Katanya, kenyataan dalam akhbar Sinar Harian pada 31 Disember lalu merupakan luahan seorang rakyat yang muak dengan pemimpin Kelantan kerana sering bertelagah tentang politik sejak berpuluh tahun lalu tanpa mengambil berat kepentingan sebenar rakyat.

"Sayang niat yang baik itu dipolitikkan. Saya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk perhatian.

"Saranan tu adalah ikhlas, sekarang (kenyataan) cuba dipusingkan oleh ahli poltik yang bankrap idea seolah-olah saya cuba nak lariskan akhbar Sinar Harian," katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa semalam membidas cadangan Husamuddin dan mendakwa kenyataan itu cuma untuk melariskann jualan akhbar.

Bekas exco Kelantan itu berkata, banjir tidak seharusnya dijadikan alasan kepada penggabungan dua parti itu.

"Kalau saya mati, nak bergabung-bergabunglah, bukan tidak boleh bergabung, tapi nak bergabung ini biarlah ahli selesa, PAS, Umno selesa," katanya di program Malam Amal, Kelantan Pasca Banjir, "The Untold Story" anjuran Yayasan Darul Hijrah di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mengulas saranan Husam yang menggesa royalti minyak Petronas sebanyak RM3 bilion digunakan untuk memulihkan semula Kelantan, Husammuddin berkata jumlah itu tidak mencukupi.

"Sekurang-kurangnya perlukan RM5 bilion. Jangan punahkan usaha perdamaian ini dengan politik retorik. Umno kena lupakan cita-cita untuk ambil alih Kelantan," katanya.

Katanya, walaupun ideanya itu kelihatan radikal tetapi itu luahan sebenar rakyat Kelantan yang mahukan perubahan.

"Kalau tak buat apa-apa saya bimbang rakyat memberontak," katanya.

Hussamuddin dalam wawancara eksklusif itu turut mencadangkan kerusi timbalan menteri besar dan tiga kerusi exco diberikan kepada Umno dengan memegang portfolio yang berkait dengan Putrajaya bagi memudahkan bantuan sampai terus kepada Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam responsnya berkata, Putrajaya tidak menolak cadangan untuk mengadakan kerajaan campuran dengan kerajaan Kelantan di peringkat negeri bagi memastikan usaha baik pulih negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir dapat dilakukan sepenuhnya.

Namun Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan campuran kerana buat masa ini kerajaan pusat memang bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan PAS terutama dalam soal mengerah agensi berkaitan untuk membantu mangsa banjir.

"Saya rasa tidak perlu sampai menubuhkan kerajaan campuran sebab itu soal politik. Kita boleh ada penyelarasan biasa ... sebab walaupun PAS ialah kerajaan negeri, apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) datang, Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yaakob) juga ada.

"Ini bukan masa bincang soal perpaduan, sebaliknya untuk sampaikan bantuan (kepada mangsa banjir). Dan bantuan tetap disampaikan dengan kedudukan sedia ada," katanya. – 2 Januari, 2015

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerajaan-perpaduan-bangunkan-semula-kelantan-bukan-hanya-banjir-kata-pemili#sthash.qi43euOh.dpuf
0 Komentar untuk " Kerajaan perpaduan bangunkan semula Kelantan, bukan hanya banjir, kata pemilik Karangkraf "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ