Kukuh eksport, pelancongan boleh stabil ringgit? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kukuh eksport, pelancongan boleh stabil ringgit?

UMUM mengetahui kejatuhan harga minyak global merupakan antara faktor kejatuhan ringgit Malaysia secara mendadak baru-baru ini.

Setakat semalam, kadar mata wang Malaysia masih lagi rendah didagangkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kadar AS$1 bersamaan RM3.51, iaitu kurang daripada RM3.495 pada 31 Disember 2014.

Menurut laporan akhbar Singapura dan Brunei, Malaysia mengalami kejatuhan mata wang yang teruk bagi tempoh 10 bulan bagi 2014 berbanding mata wang kedua-dua negara tersebut.

Situasi ini, dilihat sedikit sebanyak memberi kebimbangan kepada rakyat memandangkan kos sara hidup semakin meningkat serta boleh meningkatkan inflasi negara.

Kerajaan perlu mengambil langkah segera dalam menangani isu ini memandangkan ada yang berpendapat tragedi kejatuhan ekonomi 1997 hingga 1998 mungkin berulang.

Wartawan Sinar Harian  mendapatkan pandangan penganalisis dan ahli ekonomi bagi mendapatkan jawapan mengenai nila mata wang kita bagi 2015.


Dua sektor perlu diberi tumpuan pulihkan ringgit

Kerajaan digesa memberi tumpuan dalam meningkatkan eksport serta mempromosikan pelancongan negara dalam menstabilkan dan memulihkan nilai ringgit.

Ketua Ekonomi Alliance Banking Group, Manokaran Mottain berkata, mata wang ringgit dijangka kekal rendah bagi tempoh tiga bulan akan datang tahun ini.

“Oleh itu, kerajaan perlu memberi perhatian dan tumpuan dalam dua sektor tersebut iaitu eksport dan pelancongan yang dilihat mendapat manfaat daripada kelemahan ringgit.

“Langkah yang diambil oleh kerajaan sekarang dengan berbincang sesama kementerian bagi meningkatkan kebolehan eksport kita adalah bertepatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Manokaran, pelabur di Malaysia juga sedang menunggu dan melihat langkah yang bakal diambil oleh kerajaan melalui perbincangan tersebut.

“Kami berharap kerajaan boleh menangani dan mencari penyelesaian dengan mengambil kelebihan dari kejatuhan ringgit dengan mengukuhkan eksport dan juga pelancongan.

“Kerajaan juga perlu lebih agresif dalam mempromosikan pelancongan negara kita di negara-negara besar seperti China dan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Manokaran berkata, kejatuhan harga minyak global dan pengukuhan dolar AS merupakan antara faktor mendorong kepada kejatuhan ringgit Malaysia.

Menurutnya, nilai ringgit akan kekal rendah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berdasarkan ketidaktentuan ekonomi.

“Pengukuhan dolar AS memberi kesan terbalik kepada ringgit dengan menjadikannya lemah selain kejatuhan harga minyak global. Ini kerana suku dari pendapatan negara disumbangkan oleh sektor Minyak dan Gas (O&G).

“Bagi saya, kita akan melihat lebih banyak perkara dilalui bagi suku pertama tahun ini dan saya tidak melihat harga minyak dan nilai ringgit akan stabil,” katanya.


Malaysia mampu bertahan

Kejatuhan nilai mata wang ringgit yang dihadapi negara ketika ini dijangka tidak seburuk dialami Malaysia pada krisis kewangan Asia 1997.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, ia kerana, Malaysia pada hari ini mempunyai struktur ekonomi yang kuat dan pengendalian lebih kemas berbanding sebelum ini.

"Pada 1997/1998, kita tiada pengalaman, kekuatan dalaman juga tiada, jadi kita kalah apabila mata wang negara jatuh. Saham kita pun terlalu tinggi menyebabkan pelabur tidak berani pegang saham kita.

"Namun, kali ini, berdasarkan pengalaman lalu, kita boleh bertahan kerana ekonomi negara bertambah kuat, strukturnya sudah berubah, cara kita mengendalikan ekonomi juga sudah lain, sektor perbankan negara juga telah kukuh dan akta-akta berkaitan semua sudah diperbaiki," katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan kejatuhan nilai ringgit kerana Malaysia mempunyai Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan hal tersebut.

"Nilai ringgit akan turun naik, begitu juga dengan mata wang AS, keadaan itu tidak menentu. Setakat ini, AS$1 bersamaan RM3.51, kalau turun sehingga RM4, barulah kita boleh bimbangkan, namun saya yakin ia boleh ditangani kerajaan," katanya.

Menurutnya, Malaysia masih mampu bertahan dengan kejatuhan nilai ringgit yang dikaitkan dengan penurunan harga minyak dunia.

"Kita tidak banyak keluarkan minyak, hanya 800,000 tong sehari. Saya yakin, harga minyak pasti akan pulih dan tidak akan turun lebih rendah daripada AS$60 hingga AS$70 setong kerana ia juga akan merugikan pengusaha minyak di Amerika Syarikat. Kalau naik pun, ia tidak akan meningkat terlalu tinggi," katanya.

Amir berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April nanti akan menjadikan nilai ringgit bertambah kukuh.

"Ketika itu, jumlah defisit negara akan berkurangan dan punca kewangan kerajaan akan bertambah. Ia akan mengukuhkan lagi ekonomi kita berbanding kalau GST tidak dilaksanakan," katanya.

0 Komentar untuk " Kukuh eksport, pelancongan boleh stabil ringgit? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ