#KITAKANISLAM bantu pulih masjid terjejas banjir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

#KITAKANISLAM bantu pulih masjid terjejas banjir

SHAH ALAM – [VIDEO] Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) melancarkan program #KITAKANISLAM Buat Kerana ALLAH, bagi membantu mengimarahkan kembali masjid dan surau sebagai ubat rohani kepada mangsa yang terjejas banjir di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata, program itu berkonsepkan Cuci-Pulih-Iqra yang akan bermula esok.

“Setakat ini, kita berjaya menghimpunkan 150 sukarelawan, mereka akan dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk membersihkan masjid dan surau yang telah dikenal pasti di jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Kuala Krai.

“Selepas itu, kita akan teruskan dengan program pemulihan masjid untuk mengembalikan semula suasana masjid yang selesa dan tenang bermula 23 Januari ini.

"Ia akan disusuli dengan program yang dinamakan Iqra bagi menyeru masyarakat setempat untuk bersama-sama menghayati al-Quran,” katanya.

Menurutnya, program itu turut melibatkan Komuniti Cuci Masjid dari Johor, klinik perubatan Islam, imam-imam serta usahawan dari Kelantan.

Beliau berkata, sehingga kini, ramai yang telah turun menyalurkan bantuan berupa makanan dan pakaian kepada mangsa banjir selain WUI percaya proses pemulihan di Kelantan dapat digerakkan dengan lebih agresif sekiranya diiringi dengan bantuan pemulihan secara spiritual.

“Kita turut berduka dengan apa yang terjadi, apatah lagi banyak masjid dan surau rosak teruk akibat bencana alam itu dan inilah masa terbaik kita turun ke Kelantan bersama-sama masyarakat setempat mengimarahkan kembali rumah ALLAH.

“Apatah lagi pada saat angin penyatuan dan semboyan perpaduan yang semakin nyaring dibunyikan rakyat Kelantan, masjid seharusnya menjadi pusat penyatuan terbaik masyarakat setempat tanpa sebarang agenda politik,” katanya.

Menurut Marhaini, masjid bukan sahaja pusat terbaik untuk menghimpunkan masyarakat tetapi juga titik permulaan bagi mengembalikan semangat mereka yang telah ditimpa musibah.

“Oleh itu, kami rasa adalah penting untuk masjid dipulihkan dengan segera kerana di situlah ubat dan makanan rohani dapat diserap dengan lebih berkesan,” katanya.
WUI adalah yayasan yang berorientasikan 100 peratus dakwah untuk ummah melalui aktiviti utama iaitu memperkasakan ummah dengan ilmu dan amal berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Sehubungan itu, WUI menyasarkan 3,000 pusat bacaan al-Quran dinamakan Rumah Ngaji dapat diwujudkan dalam proses pembangunan semula Kelantan.
Program Rumah Ngaji telah dijalankan WUI sejak setahun lalu, bagi memberikan kelas mengaji serta melatih guru-guru mengaji secara percuma.

“Objektif kita adalah menjadikan Rumah Ngaji sebagai pusat pertemuan dan guru-guru mengaji ini sebagai ejen perubahan dalam masyarakat,” kata Marhaini.
Karangkraf sumbang al-Quran bernilai RM1 juta

Sementara itu, bagi menjayakan program tersebut, syarikat penerbitan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) telah menyumbang al-Quran bernilai RM1 juta untuk diagihkan di 582 masjid dan 2,000 surau di Kelantan.

Selain itu, Marhaini berkata, WUI dan Karangkraf juga telah berjaya mengumpul sumbangan wang tunai sebanyak RM200,000 bagi tujuan operasi pemulihan.

“Wang tunai itu hasil sumbangan orang ramai yang prihatin tentang pentingnya masjid dan surau dihidupkan dalam masyarakat. Sementara itu, al-Quran berjumlah RM1 juta itu disumbangkan oleh pemilik-pemilik Karangkraf.

“Ini yang kita sebutkan sebagai #KITAKANISLAM buat kerana ALLAH. Misi kita adalah membawa al-Quran sebagai landasan kehidupan. Kita mahu masyarakat Islam boleh membaca al-Quran, memahami, menghayati nilai-nilai mulia yang ada di dalamnya seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan serta masyarakat,” katanya.

Tambah Marhaini lagi, pihaknya percaya sekiranya segala nilai yang ada di dalam al-Quran diamalkan setiap masyarakat sudah pasti proses pemulihan dan pembangunan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan sistematik.

Menurutnya lagi, program Rumah Ngaji akan terus digerakkan sepanjang 2015 dan pada peringkat awal WUI menumpukan di lapan jajahan yang terjejas akibat banjir terlebih dahulu.

Pihaknya turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama WUI menghulurkan bantuan bagi menjayakan program ini.

“Banyak masjid dan surau yang telah rosak, mereka yang ada kepakaran dalam pertukangan, pendawaian dan mengecat dialu-alukan untuk turut bersama kami.

“Kita juga berharap ada pihak yang sudi menyumbangkan keperluan seperti rak al-Quran, karpet, sejadah, alat pandang dan dengar serta rehal untuk proses baik pulih masjid-masjid ini,” katanya.

Bagi sesiapa yang mahu menyumbang secara tunai, sumbangan boleh dibuat melalui akaun Warisan Ummah Ikhlas Foundation (Maybank Islamic) 564276-516031 atau hubungi Nor Azam Aris  ditalian 019-3887242 atau Zuhri Yuhyi 014-9788807.

Selain Rumah Ngaji, WUI juga aktif dengan program lain seperti Dataran Ilmu yang membawa penceramah-penceramah terkenal dari luar negara serta program Wakaf dan Lupus al-Quran.

0 Komentar untuk " #KITAKANISLAM bantu pulih masjid terjejas banjir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ