Agama: Nikmat diberi percuma tidak dihargai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Nikmat diberi percuma tidak dihargai

Tahun baru wajar disambut penuh kesyukuran kerana Allah SWT telah memanjangkan usia kita hingga dapat melihat fajar 2015. Program Pesona D'Zahra yang bersiaran setiap Isnin, jam 10.15 pagi bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin membicarakan topik 'Mensyukuri Nikmat'.

Orang yang telah meninggal dunia memohon kepada Allah SWT untuk dikembalikan hidup mereka, peliknya ada orang hidup yang minta segera dimatikan hanya kerana masalah melanda hidup mereka atau disebabkan pergaduhan suami isteri.

Allah SWT telah menjelaskan kepada kita terlalu sedikit dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur. Ini mungkin kerana kita tidak menyedari apa yang diperoleh selama ini adalah suatu nikmat. Apa saja yang memberi kesedapan kepada manusia adalah nikmat.

Contohnya, kita mampu mendengar IKIMfm, memandu kereta dengan penghawa dingin, berjalan dengan baik, melihat keindahan dunia, semua itu nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Ada ketikanya kita tidak menyedari sesuatu nikmat itu sehingga nikmat itu hilang atau ditarik daripada kita.

Ada sesetengah orang yang sakit lutut mula merasa kehilangan nikmat itu apabila tidak lagi mampu berdiri lama, manakala orang yang menghidap penyakit buasir hilang nikmat untuk membuang air besar secara mencangkung.

Rupa-rupanya membuang air besar secara mencangkung itu juga suatu nikmat yang mungkin kebanyakan kita leka dan tidak menyedarinya. Ia hanya akan disedari apabila kita tidak lagi diberi nikmat itu. Semoga Allah SWT selamatkan kita dan menjauhi daripada penyakit itu.

Lima bentuk nikmat

Nikmat ini ada lima bentuk dan dengan mengetahui bentuk nikmat akan lebih mudah bagi kita untuk bersyukur. Pertama, nikmat asas seperti udara yang disedut. Bayangkan jika setiap udara yang disedut itu perlu dibayar setiap bulan, sudah pasti kita tidak mampu membayarnya.

Nikmat ikan yang menjadi hidangan penduduk dunia yang melebihi enam bilion, namun bekalan ikan masih tetap mencukupi. Besarnya nikmat Allah SWT apabila ikan yang dimakan hari-hari oleh seluruh penduduk dunia ini tidak pernah pupus.

Sedangkan badak sumbu, harimau, gajah yang tidak dimakan oleh manusia semakin hari semakin pupus. Sepatutnya benda yang kita tidak makanlah yang tidak pupus, manakala benda yang kita makan itu pupus, tetapi sebaliknya Allah Yang Maha Kaya mengetahui keperluan manusia menjadikan ikan di lautan tetap mencukupi untuk keperluan manusia.

Begitu juga dengan nikmat oksigen yang kita sedut setiap hari. Kita mengetahui melalui pembelajaran sains sejak di bangku sekolah rendah bahawa pokok membekalkan oksigen untuk kegunaan manusia, manakala manusia membekalkan karbon dioksida.

Cuba kita renungi di negara padang pasir seperti Arab Saudi. Bagi kaum Muslimin yang ke Makkah dan Madinah untuk mengerjakan haji atau umrah tentu menyedari negara itu tidak memiliki pokok yang banyak seperti Malaysia, justeru dari manakah datangnya oksigen untuk berjuta-juta umat Islam di sana.

Tidak mampu bayar bil Allah

Begitu juga nikmat lain, tubuh badan, mata, hati, jantung yang Allah SWT berikan, andai dikenakan bayaran atas setiap nikmat itu, nescaya kita tidak mampu membayar 'bil' nikmat Allah SWT setiap bulan bahkan setiap hari.

Nikmat kedua yang Allah SWT kurniakan ialah 'nikmat akliah' iaitu nikmat akal atau kefahaman. Ada orang yang Allah SWT berikan kepadanya nikmat mampu memahami sesuatu, mampu merancang dan berfikir dengan baik.

Ada antara kita yang nikmat akliah ditarik balik sedikit demi sedikit seperti orang tua yang sudah nyanyuk atau orang gila.

Nikmat ketiga ialah 'nikmat badaniah' iaitu kesihatan tubuh badan. Tentu semua pernah ditimpa penyakit dan bayangkan perasaan kita ketika sakit, lebih-lebih lagi berdepan sakit gigi. Harapan kita supaya sakit itu cepat hilang.

Keempat ialah 'nikmat qalbiah' iaitu nikmat yang menyenangkan hati. Memiliki keluarga, kereta, rumah, adalah contoh nikmat yang menyenangkan hati kita. Banyak perkara yang kita suka dan kita peroleh menjadi nikmat kurniaan Allah SWT. Pasangan hidup juga adalah nikmat jodoh Allah SWT tentukan untuk kita.

Nikmat kelima ialah 'nikmat imaniah', nikmat paling tinggi diberikan kepada hamba-Nya. Mereka yang diberikan nikmat imam sahajalah yang benar-benar boleh merasakan ketenangan dan kedamaian hati. Rugi bagi mereka yang tidak merasakan iman adalah nikmat paling besar Allah SWT kurniakan kepadanya.

Andai kita memiliki keempat-empat nikmat sebelum ini, tetapi tidak dikurniakan nikmat iman, nikmat lain tidak memberi makna. Justeru bersyukur dengan nikmat iman yang diberikan kerana dengan iman kita akan memperoleh nikmat yang lain.

Pada masa sama, sentiasalah mensyukuri nikmat Allah SWT semoga dengan kesyukuran itu Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita. Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur supaya kehidupan kita lebih bermakna.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media IKIM

0 Komentar untuk " Agama: Nikmat diberi percuma tidak dihargai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ