2014 tahun paling mencabar buat Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

2014 tahun paling mencabar buat Malaysia

SHAH ALAM – Tahun 2014 melaburkan tirainya, semalam, dan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia adalah tahun paling mencabar dalam karier beliau sebagai ahli politik dan pemimpin negara.

Menyingkap pelbagai peristiwa pahit termasuk nahas udara berkembar MH370 dan MH17, Najib berkata, 2014 juga antara tahun paling mencabar dalam sejarah Malaysia.

“Benar, tahun 2014 membawa kemakmuran kepada Malaysia, ekonomi kita tumbuh dengan kukuh. Tetapi ia juga tahun di mana kita bersatu dalam kesedihan.

“Dalam tempoh beberapa bulan, kita kehilangan 93 rakyat Malaysia, dan kita mendapati negara ini menjadi tumpuan dunia, bukan sekali tetapi dua kali. Kehilangan MH370 dan kehancuran MH17 adalah sebahagian daripada cerita kita sekarang,” katanya dalam mesej akhir tahun beliau yang disiarkan di blognya, NajibRazak.com, semalam.

Namun, beliau bangga dan berbesar hati dengan cara rakyat Malaysia bersatu sebagai sebuah negara semasa berdepan dua tragedi mengejutkan dunia itu.

“Dalam keadaan berhadapan dengan dua tragedi yang tidak dapat dibayangkan, kita menemui perpaduan.

“Saya yakin kita akan pulih daripada tragedi berkembar ini dengan lebih kuat dan lebih berazam. Kita telah diuji dengan malapetaka, tetapi semangat negara kekal kuat,” katanya.

Beliau turut menyentuh bencana banjir besar yang melanda utara dan Pantai Timur tanah air menjelang akhir 2014 yang disifatkannya sebagai cabaran baharu negara.

Najib berkata, walaupun Malaysia sudah biasa berdepan masalah banjir, beliau terkejut melihat tahap banjir yang berlaku sekarang ini.

“Tahap kemusnahan amat dahsyat, dengan begitu ramai orang melalui penderitaan yang hebat,” katanya.

Dalam mesejnya itu, beliau turut memberi jaminan keutamaan kerajaan adalah untuk memberikan bekalan dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap atau dipindahkan serta sokongan kewangan supaya mereka boleh mendapatkan semula hidup mereka.

Menurutnya, keutamaan kerajaan tahun ini ialah usaha pemulihan iaitu untuk membangunkan semula infrastruktur, perniagaan dan rumah yang musnah atau hilang semasa banjir itu.

“Kita mesti memastikan pembangunan yang dibuat adalah mesra alam supaya kita tidak menambahkan kemungkinan berlakunya banjir lebih kerap atau lebih buruk pada masa depan,” katanya.

Selain menyentuh isu tragedi yang dilalui negara, Najib turut mengingatkan Malaysia akan memainkan peranan besar di pentas antarabangsa tahun ini sebagai Pengerusi Asean dan pemegang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau juga menegaskan, kerusi di PBB itu bukan sekadar lencana diplomatik untuk dibanggakan tetapi ia memberi peluang kepada Malaysia untuk mengemukakan sokongan termasuk kepada Palestin dan memberi sumbangan sebenar kepada masalah keselamatan global.

Namun beliau berkata, di sebalik semua perhatian global itu, fokus utamanya adalah kepada rakyat dan beliau berharap Malaysia dapat membina masyarakat lebih selamat, makmur dan lebih saksama.

“Walaupun prestasi ekonomi Malaysia cemerlang, saya tahu rakyat tidak selalunya rasa mereka mendapat bahagian mereka daripada kejayaan negara.

“Jadi bersama-sama usaha untuk mengukuhkan ekonomi kita, dengan menaikkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan dan melonjakkan produktiviti, kita juga akan berusaha mengurangkan ketidaksamaan dengan mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin,” katanya.

0 Komentar untuk " 2014 tahun paling mencabar buat Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ