Tubuh jawatankuasa khas pondok - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tubuh jawatankuasa khas pondok

BEBERAPA keputusan penting terhasil daripada perbincangan antara Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 November lalu. Terpenting ialah usaha mentransformasikan dan memodenkan institusi pengajian pondok agar lebih maju, berketerampilan dan berkesan sebagai sistem pendidikan Islam.

Ini termasuklah memperkemas kurikulum, memperkenalkan teknologi komunikasi dan maklumat, serta memantapkan pengurusan dan pentadbiran pondok. Manakala usaha mengarus perdanakan sistem pondok mungkin membabitkan prasarana dan kemudahan moden sejajar dengan perkembangan semasa, jiwa, roh dan semangat pondok tetap dipertahankan.

Menurut Muhyiddin, perubahan ketara perlu berlaku berkaitan empat aspek kritikal jika usaha meningkatkan taraf institusi pengajian pondok boleh menjadi realiti. Pertama, pengisian atau kurikulum yang standard, agar tahap dan mutu pembelajaran dapat dinilai. Ia juga mempertimbangkan subjek soft skills, termasuk keusahawanan, bahasa Inggeris dan Mandarin.

Kedua, mutu tenaga pengajar di pondok. Kementerian Pendidikan berkeupayaan memberi latihan bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran guru pondok. Ketiga, persijilan dan masa depan lulusan pondok. Ini membuka peluang lebih baik kepada mereka yang berpendidikan pondok untuk mencebur diri dalam pelbagai bidang.

Keempat, perubahan sikap kalangan ulama, mudir, pengasas atau pemilik pondok yang harus berfikiran lebih terbuka dan berwawasan demi kelangsungan pondok mereka sendiri. Pondok tidak lagi wujud dalam era dinosaur, tapi dalam era ICT.

Jika ada yang masih sangsi, lihat saja perkembangan pondok di selatan Thailand dan pesantren di Indonesia.

Bagi menjayakan hasrat ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran yang ada.

Muhyiddin mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas, di mana YPPM akan diminta menghantar wakil, untuk berbincang kaedah serta memperincikan langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat.

Langkah awal disarankan ialah YPPM memulakan kajian ke atas profil dan status pondok di Malaysia, meliputi sejarah dan latar belakang, kurikulum dan sistem pengajian, tenaga pengajar dan pelajar, kemudahan asas dan infrastruktur, serta tahap penggunaan ICT. Beliau mencadangkan laporan komprehensif disiapkan dan diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh enam bulan.

Peruntukan RM25 juta untuk pondok yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015 juga dibangkitkan dalam perbincangan. Menurut Muhyiddin, peruntukan ini adalah lanjutan daripada peruntukan RM100 juta kepada pembangunan sekolah agama rakyat yang diumumkan dalam bajet tahun sebelumnya.

Yang jelas, peruntukan akan diagihkan kepada sekolah pondok yang berdaftar sahaja dan mengikuti kurikulum yang diluluskan kerajaan. Mekanisme agihan dan kriteria pondok yang bakal menerima bantuan akan ditentu dan diumumkan kelak.

Justeru, YPPM bercadang mengadakan kempen sepanjang tahun agar lebih banyak pondok berdaftar dengan Majlis Agama Negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan. Umum mengetahui banyak pondok yang tidak berdaftar, mungkin kerana pengasasnya tidak berasa ada keperluan berbuat demikian, atau bimbang pihak majlis agama akan ambil alih atau campur tangan dalam soal pengurusan dan pentadbirannya, atau kerana pondok yang dibina adalah bersifat sementara.

Apa pun, YPPM berharap kempen yang bakal dijalankan dapat meyakinkan pihak pengurusan pondok, iaitu tidak ada hasrat mana-mana pihak untuk ambil alih atau campur tangan, malah pendaftaran hanyalah untuk melengkapkan rekod seterusnya memudahkan penyaluran sebarang bantuan atau peruntukan dari pelbagai pihak.

Selain itu, YPPM ada mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan agar memperluaskan takrif pendidikan Islam meliputi ilmu aqli dan naqli, justeru fakulti pengajian Islam di beberapa universiti dalam negara kita tidak hanya fokus kepada falsafah dan teologi, malah boleh memperkenalkan hybrid studies. Contohnya, memperkukuhkan ilmu usuluddin dengan teori atau pemikiran sains.

Kini universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin, sudah ada kursus yang mencantumkan Islam dengan perubatan, ekonomi dan perniagaan, serta undang-undang.

YPPM berpendapat jika perspektif Islam boleh diperluaskan ke fakulti lain, pendidikan Islam di negara kita akan jadi lebih mantap dan memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan kemajuan negara.

*Penulis ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

0 Komentar untuk " Tubuh jawatankuasa khas pondok "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ