Mengkritik gerakan Cina Muslim - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengkritik gerakan Cina Muslim

TUNKU Abdul Rahman adalah pelopor dakwah dan penjaga kebajikan saudara yang baru memeluk Islam. Beliaulah yang menubuhkan Perkim dan menerajuinya sehingga beliau kembali ke rahmatullah.

Beliau layak dikenali sebagai Bapa Malaysia kerana bukan sekadar memahami jiwa semua bangsa Malaysia malah jiwa insan yang kerap dilabel sebagai mualaf. Tunku adalah tokoh Melayu yang mampu mendapat penghormatan bukan sekadar daripada pihak arus perdana iaitu Melayu, Cina dan India, tetapi juga daripada pihak minoriti seperti pihak mualaf.

Tunku adalah contoh terbaik yang mampu menghalang majoriti membuli minoriti!

Insan mualaf ini adalah lain daripada yang lain kerana telah berjaya cross over. Apakah kesan cross over ini? Saya lebih condong mencipta istilah baharu iaitu Insan Cross Over daripada menggunakan istilah mualaf.

Dari satu segi, Insan Cross Over akan dilabel sebagai pengkhianat bangsa oleh mereka yang selama ini menyayanginya. “Mengapa kamu peluk agama yang lemah ini yang mengajar umatnya hidup bertongkat, dan tak mampu berdiri atas kakinya sendiri!” tengking ibu bapa yang  selama ini menjaga dan mendidiknya sehingga menjadi insan kiasu yang berjaya menubuhkan syarikat sendiri.

Insan Cross Over ini terpaksa diam, memendam rasa. Islam mengajar jangan mengucap ‘uff’ kepada ibu bapanya. Beliau hanya mampu berdoa agar ALLAH SWT meneguhkan imannya dan melembutkan hati keluarganya yang tersayang.

Dari satu segi yang lain, bangsa yang lahir sebagai Muslim pula menganggapnya selama-lamanya mualaf. “Ustaz, mengapa sejak saya peluk Islam, saya tidak lena tidur?” tanya seorang gadis yang merupakan Insan Cross Over berumur 20 tahun.

“Kamu masih mualaf. Ada tiga jin masuk ke badan kamu. Ustaz sedang berusaha jampi.” Gadis ini rasa pelik dan tanya, “mengapa sebelum saya peluk Islam, saya lena tidur dan jin tak rasuk tetapi bila peluk Islam, macam-macam jin rasuk saya?” Ustaz jawab, “kerana kamu masih mualaf! Mudah keliru. Jangan banyak tanya. Istighfar!”

Ringkasnya, Insan Cross Over dianggap sebagai pengkhianat bangsa dan sebagai mualaf yang mudah keliru dan haram bertanya secara kritis. Kedua-dua anggapan melihat Insan Cross Over sebagai rakyat kelas kedua, minoriti terkecil, suara yang tidak signifikan dalam pilihan raya.

Maka, tiada Cina Muslim mengetuai mana-mana parti politik cina atau parti politik Muslim atau mana-mana institusi Islam yang berautoriti, TV Islam, radio Islam. Mereka biasanya hanya kedengaran di sudut bicara berkenaan “mengapa saya peluk Islam?”, di kempen membina masjid Cina, majlis berbuka puasa atau menerima zakat dan kain telekung. Seorang insan yang telah cross over lebih 20 tahun masih lagi dianggap mualaf.

Tetapi yang lebih perlu diberi perhatian ialah sejauh manakah gerakan Cina Muslim sendiri serius melaburkan wang ringgit dan tenaga untuk mewujudkan golongan Insan Cross Over yang mampu menyaingi tokoh Melayu dan Cina bukan Muslim?

Saya lihat gerakan Cina masih terperangkap dalam paradigma kebendaan.  Prof Bennabi (pakar ilmu masyarakat) menyatakan umat yang paling rendah ketamadunannya ialah umat yang berfikir tentang benda, bukan tentang orang dan idea. Umat ini adalah seperti kanak-kanak yang obses mendapatkan patung kerana ia adalah benda yang boleh dipegang dan tidak mempunyai roh seperti orang.

Demikian juga mindset gerakan-gerakan Cina Muslim. Pelaburan dan tenaga di fokuskan lebih kepada menghasilkan benda seperti masjid dan terjemahan al-Quran ke bahasa Mandarin. Masjid dan terjemahan al-Quran adalah benda yang boleh dipegang dan tidak mempunyai roh. Saya tidak berkata pembinaan masjid dan terjemahan tidak penting.

Tetapi saya tertanya-tanya manakah yang lebih berjiwa, pelaburan pada pembinaan masjid atau pada pembinaan orang sehingga menjadi ulama? Pada terjemahan al-Quran atau pada kelahiran penterjemah-penterjemah al-Quran?

Di manakah imam Cina yang akan mengimami solat di masjid Cina? Di manakah penterjemah al-Quran yang fasih Arab dan Mandarin? Adakah cukup jika gerakan Cina Muslim Malaysia sekadar mengambil jalan singkat dengan mengimport golongan ulama Cina dari negara China untuk mengambil alih tugas rakyat Malaysia sebagai imam dan penterjemah?

Adakah Cina Muslim Malaysia reda sekadar dianggap mualaf atau parasit kepada bangsa yang kuat?


*Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Mengkritik gerakan Cina Muslim "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ