Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS

Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Selangor belum bersedia untuk hukum hudud kerana banyak perancangan terperinci diperlukan dan umat Islam sendiri perlu memahami mengapa hukum itu mahu dibawakan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Disember, 2014.

Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, kata Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, lapor Selangorkini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, berbeza dengan Kelantan, pelaksanaan hudud di Selangor memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Katanya, pemahaman dalam perkara berkaitan termasuk penerangan dan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan supaya ianya difahami sepenuhnya dan tidak disalah ertikan.

“Di Selangor, saya kira kita masih lagi belum bersedia kerana yang penting untuk melaksanakannya ialah memahami sepenuhnya berhubung perkara ini.
“Pendidikan kepada masyarakat bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Mereka perlu faham kenapa kita (PAS) hendak bawa syariat Islam ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Selangor sebagaimana dilaporkan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ia dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk di peringkat negeri dan Persekutuan sudah lapan kali bermesyuarat, lima di peringkat negeri dan tiga di peringkat pusat.

Cadangan Kelantan ini sekali lagi menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan ini 'bermasalah'.

Bagi DAP, hudud akan menghalang PR untuk ke Putrajaya. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menjawab, tanpa hudud pada Pilihan Raya ke-13 (PRU13), ia juga tidak membawa Pakatan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad yakin tidak berbangkit soal PR berpecah ekoran isu hudud ini.

"Saya tidak nampak begitu (pecah), ia tidak selari dalam beberapa isu sahaja tetapi kena lihat persamaaan antara parti itu dan banyak benda-benda yang boleh dibincangkan untuk kefahaman," katanya.

Antaranya, hudud ini hendak dilaksanakan kepada orang Islam sahaja tetapi persepsinya seolah-olah orang bukan Islam juga terkesan dengannya.

"Hudud ini pun lebih kepada pengajaran bukan hukuman, kena lihat aspek ini," kata beliau kepada wartawan.

Beliau juga menjelaskan, "Dalam PAS, hudud inilah satu perjuangan parti Islam itu. Saya yakin, semua umat Islam tidak menolak hudud, cuma perlukan agenda untuk memberikan kefahaman mengenainya."

"Jika rakyat tidak sedia, agenda untuk menjelaskan undang-undang perlu dibuat," kata beliau. – 19 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-belum-sedia-laksana-hudud-kata-exco-agama-pas#sthash.pbSLlqWV.dpuf
0 Komentar untuk " Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ