Fikrah Islami, fikrah manusiawi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fikrah Islami, fikrah manusiawi

Fikrah Islami dibentuk oleh tasawur (pandangan semesta) yang mempunyai asas falsafah dan pemikiran yang memandu manusia dalam mengambil sikap dan melakukan tindakan. Dalam tradisi Islam, fikrah Islami ini penting supaya asas berfikir berlandaskan Quran dan Sunnah terbina.

Fikrah manusiawi tidak dibentuk oleh fikrah sehala. Ia perlu dibangunkan secara seimbang kerana sifat jadinya manusia dan alam ini sedemikian. ALLAH jadikan manusia berpasang-pasang dan berbangsa supaya berlaku proses kekenalan (litaarrafu). Proses ini membolehkan interaksi terjadi dan pemahaman terhadap kelainan berlaku. Fikrah manusiawi menghargai ilmu, sains dan teknologi serta kekuatan etika untuk mempedoman kegunaan ilmu, peralatan sains dan teknologi supaya terelak daripada faktor merosakkan dan memudaratkan.

Fikrah Islami tidak menentang kemajuan dan pembangunan. Tetapi fikrah Islami membangun kerangka maju dengan memberi fokus kepada pembangunan rijal (manusia) seutuhnya supaya manusia dapat mengurus kehidupan dan sistem dengan baik.

Fikrah Islami amat menentang kecenderungan menjadikan hedonisme sebagai budaya hidup dan hidup lepas bebas tanpa pedoman agama. Pedoman agama yang berasaskan syariat mampu memandu pola kehidupan manusia ke arah yang lebih makruf dan terpedoman.

Fikrah Islami tidak menolak kepentingan teknologi sebagai alat bukannya matlamat. Matlamat kegunaan teknologi terhubung setakat mana ia mampu membangun akal-budi insan. Ia harus dipandu oleh etika dan nilai. Pengklonan tanpa etika umpamanya boleh disalahgunakan dan bercanggah dengan syariah.

Fikrah Islami tidak menentang kekayaan dan pemilikan harta. Kekayaan dan harta perlu diperoleh secara sah dan tidak melanggar faktor syarak. Bagi yang kaya dan berharta ada tanggungjawab menyantuni yang miskin. Amanah ini memberi kesan yang lebih manusiawi.

ALLAH mencipta ikan untuk sumber rezeki manusia. Apabila dibeli di pasar dan dibawa balik ke rumah untuk dimasak tidak seluruh ikan itu menjadi rezeki manusia. Pada ikan ada rezeki anjing dan kucing bila sisik, perut, ekornya dibuang. Tulang-temulangnya apabila diasingkan menjadi rezeki lipas, lalat dan semut. Bayangkan kebesaran ALLAH dalam mencipta sesuatu bukan saja untuk manusia tetapi juga untuk makhluk yang lain.

Bagi manusia yang berakal rahmat dan nikmat ALLAH yang diperolehnya bukan untuk manfaat dirinya saja. Dalam kalangan manusia terdapat golongan yang fakir dan miskin, golongan kurang upaya dan tidak mampu, golongan yatim, orang-orang yang susah dan memerlukan bantuan. Golongan yang kaya, berada dan bernasib baik perlu tampil membantu secara zakat, waqaf, sedekah dan lain-lain. Inilah fikrah Islami yang amat baik sekiranya berlaku dalam masyarakat.

Fikrah Islami sekiranya difahami benar-benar dan diamalkan dengan sungguh-sungguh ia bakal melahirkan generasi Islam yang maju, bersikap positif terhadap perubahan, memiliki asas ilmu dan penguasaan teknologi yang tinggi, natijah amalnya menjadi saksi kepada umat manusia. Pekerti teladannya diikuti sebagai sumber adab dan tamadun.

Pada hakikatnya manusia amat memerlukan faktor-faktor manusiawi menjadi pedoman. Islam tidak saja memberi pedoman terhadap jalur kehidupan yang seimbang tetapi menawarkan kepada umat manusia asas-asas binaan hidup zahir batin. Secara manusiawinya manusia memerlukan kedamaian, kesejahteraan dan kebaikan kepada diri dan melakukan hal yang sama terhadap orang lain.

Asas taawun atau kerjasama atas asas persaudaraan ini boleh memupuk rasa kasih sayang yang tinggi sesama manusia mengatasi rasa benci dan dendam yang sering terjadi. Tanpa fikrah Islami jiwa tidak akan tenteram kerana fikrah Islami memberi sandaran kepada ALLAH sebagai Pencipta dan Pengurus Atas Segala.

0 Komentar untuk " Fikrah Islami, fikrah manusiawi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ