Putrajaya mesti tunjuk harga rujukan RON95, RON97, diesel tiap minggu, kata PKR - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Putrajaya mesti tunjuk harga rujukan RON95, RON97, diesel tiap minggu, kata PKR

Putrajaya perlu menyiarkan harga rujukan bahan api secara terperinci setiap minggu, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Disember, 2014.

PKR hari ini mendesak Putrajaya menyiarkan setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di pasaran dunia yang diambil kira dalam menentukan harga pasaran Malaysia bagi bahan api tersebut.

Ini termasuk harga terbitan MOPS (Means of Platts Singapore) serta kos lain yang berkaitan.

Katanya, hanya dengan ketelusan sebegitu, Barisan Nasional (BN) boleh mengenepikan pandangan serong rakyat yang ia mengambil keuntungan dengan menetapkan harga minyak yang lebih tinggi kepada rakyat walaupun harga pasaran dunia jatuh menjunam.

Setiausaha Agong PKR Rafizi Ramli berkata harga rujukan minyak mentah Brent hujung minggu lepas mencecah AS$68 setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2% daripada harga sebelum kejatuhan pasaran minyak mentah (sekitar AS$105 setong).
Manakala, harga purata minyak mentah Brent sepanjang November tahun ini ialah sekitar AS$76 setong, iaitu penurunan 27.6% daripada harga sebelum kejatuhan pasaran minyak.

"Harga rujukan minyak mentah Brent ini menentukan harga rujukan RON95, RON97 dan diesel yang didagangkan di Singapura dan digunakan sebagai asas menentukan harga petrol dan diesel di negara ini.

"Oleh itu, jika harga rujukan minyak mentah Brent jatuh di antara 27% hingga 35%, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza daripada itu," katanya dalam satu kenyataan.

Mulai tengah malam tadi, harga runcit RON97 diturunkan 9 sen kepada RM2.46 seliter, harga runcit RON95 turun 4 sen seliter kepada RM2.26 seliter manakala minyak diesel dinaikkan kepada 3 sen menjadi RM2.23 seliter.

Rafizi berkata, dengar kadar baru ditetapkan Putrajaya itu, harga RON95 turun 1.7%, RON97 turun 3.5% manakala diesel naik 1%.

"Rakyat tertanya-tanya kenapa ada jurang yang begitu besar di antara harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan BN di Malaysia walaupun kononnya harga itu ditetapkan mengikut harga pasaran dunia," katanya.

Beliau mendakwa keadaan itu berpunca daripada kaedah penentuan harga yang tidak telus, juga tindakan kerajaan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak.

"Bagi setiap liter RON95 contohnya, BN menjamin keuntungan dan kos dibayar-balik (cost reimbursement) kepada syarikat minyak sebanyak 30 sen," katanya.

Naib presiden PKR itu berkata, PKR juga menubuhkan pasukan sendiri bagi memantau harga pasaran ketiga-tiga bahan api tersebut dan memastikan harga pasaran di negara ini selari dengan harga pasaran dunia.

"PKR akan mendedahkan secara terperinci harga pasaran rujukan MOPS serta kos-kos lain yang dijamin kerajaan persekutuan pada setiap minggu bagi membolehkan rakyat mendapatkan harga minyak terbaik," katanya.

Rafizi berkata, perbezaan harga yang ketara – penurunan 2% di Malaysia berbanding kejatuhan 28% hingga 35% – juga menimbulkan tanda tanya sama ada BN akan mengenakan cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang berlaku sepanjang bulan lepas.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada 31 Oktober yang secara jelas menyebut jika harga minyak mentah dunia jatuh di bawah AS$75 setong, harga RON95 sepatutnya sekitar RM1.72 seliter.

Ahmad berkata, dalam keadaan begitu, kerajaan persekutuan boleh membuat keputusan mengenakan cukai petrol bagi mengekalkan harga yang lebih tinggi.

Rafizi berkata, pada ketika ini, harga minyak mentah dunia sudah pun berada pada paras AS$68 setong, malah, harga rujukan purata minyak mentah bulan lepas dianggarkan sekitar AS$76 setong.

"Mengikut kenyataan Ahmad sendiri sebulan yang lepas, harga RON95 yang lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya ialah RM1.72 seliter, bukannya RM2.26 seperti diumumkan semalam," katanya.

Oleh itu, Rafizi berkata beliau akan terus berkempen supaya harga minyak diturunkan sementara menunggu mengadakan demonstrasi seperti yang dijadualkan pada 31 Disember ini. – 1 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/putrajaya-mesti-tunjuk-harga-rujukan-ron95-ron97-diesel-tiap-minggu-kata-pk#sthash.YiHWYAqL.dpuf
0 Komentar untuk " Putrajaya mesti tunjuk harga rujukan RON95, RON97, diesel tiap minggu, kata PKR "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ