Pulau Pinang sesak, tetapi penduduk tetap mahu guna kenderaan sendiri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pulau Pinang sesak, tetapi penduduk tetap mahu guna kenderaan sendiri


Mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang yang masih tidak memuaskan menjadi faktor utama penduduknya memilih menggunakan kenderaan sendiri walaupun menyedari keadaan trafik yang sesak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Disember, 2014.
Jumlah kereta melebihi populasi di Pulau Pinang dan walaupun kesesakan lalu lintas umpama mimpi ngeri, warga Pulau Pinang tidak akan meninggalkan kenderaan mereka dan memilih menggunakan pengangkutan awam kerana ia sangat leceh.

“Bukan kerana bas awam tidak bagus. Ia bagus tetapi ia terlalu lambat. Lebih cepat guna motosikal saya,” kata Amir Mustaffa, pemilik kedai baju di Komtar.

Ahli perniagaan berusia 60-an itu, yang tinggal di bandar Sungai Pinang berkata dia lebih suka menunggang motosikal untuk menguruskan tugasan hariannya.

“Awak naik bas, perlu keluar rumah awal. Awak memandu kereta, tersangkut dalam kesesakan.
“Ini bandar kecil. Pergi dari satu tempat ke tempat lain lebih mudah dengan motosikal,” katanya.

Terdapat lebih 2 juta kenderaan berdaftar di negeri ini tetapi populasi penduduknya hanya 1.6 juta, kata Chow Kon Yeow, ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab dalam pengurusan lalu lintas.

Hanya 6% daripada populasi Pulau Pinang menggunakan bas awam – jumlah yang masih rendah walaupun jumlah pengguna jalan raya meningkat setiap tahun.

“Agak mencabar apabila orang ramai sudah biasa dengan rasa selesa mempunyai kereta sendiri. Kekurangan sistem yang berkesan menjadi faktor utama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Apa yang penduduk tempatan seperti Amir mahukan ialah sistem keretapi moden, sebagai tambahan kepada penambahbaikan kekerapan bas dan semua laluan mempunyai bas awam yang cekap.

“Ada tempat mempunyai rangkaian bas lebih baik berbanding tempat lain. Lebih mudah naik bas jika anda mahu ke tempat seperti Air Itam,” katanya.

Pelajar Aqra Hanis Ab Gani, 16, menaiki bas dari rumahnya di Bukit Jambul ke George Town jika mahu beli-belah dengan rakannya.

Dia tiada pilihan kerana mereka terlalu muda untuk memandu. Mereka juga tidak ada lesen motosikal.

“Saya tidak selalu menaiki bas. Ibu bapa saya hantar dan jemput saya dari sekolah. Bila keluar sekeluarga, kami guna kereta.

“Hanya jika keluar dengan rakan, saya akan menaiki bas. Saya rasa ia agak menyusahkan kerana perhentian bas jauh dari rumah saya,” katanya.

Ditanya jika dia masih mahu menaiki bas awam jika sudah memperoleh lesen memandu, Aqra berkata mungkin tidak.

Khoo, wanita berusia 30-an yang menjalankan perniagaan peralatan telefon bimbit di Komtar berkata suami menghantarnya dengan kereta ke tempat kerja kerana terpaksa bangun awal jika menaiki bas.

“Lebih mudah kerana jika saya naik bas, saya terpaksa keluar rumah sekurang-kurangnya sejam lebih awal,” katanya.

Bas awam di Pulau Pinang dikendalikan Rapid Penang sejak 31 Julai 2007. Ia dimiliki Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

Pada masa ini, Rapid Penang mempunyai 261 bas merangkumi 46 laluan di pulau dan tanah besar setiap hari. Bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta, ia juga menjalankan dua perkhidmatan bas pengantara di pulau.

Perkhidmatan bas pengantara percuma Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Rapid Penang CAT (kawasan pusat transit) yang dilancarkan pada Januari 2009 meliputi kawasan dari terminal feri di Weld Quay ke Jalan Penang.

Perkhidmatan itu juga meliputi jalan antara Bandar Warisan Dunia Unesco George Town dan zon penampan.

Baru-baru ini, perkhidmatan bas pengantara yang serupa dilanjutkan hingga ke Pulau Tikus. Ditaja sepenuhnya oleh pusat beli-belah terkemuka Plaza Gurney dan Gurney Paragon, perkhidmatan percuma bas pengantara Rapid Penang menawarkan pengangkutan antara dua outlet beli-belah itu dan kawasan sekitar Pulau Tikus, dengan matlamat untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Rapid Penang juga mengadakan Rapid Best (Transit Bas Pengantara Ekspres Jambatan), perkhidmatan percuma yang mensasarkan untuk mengurangkan jumlah kenderaan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang ke Zon Bebas Industri di Bayan Lepas di pulau.

Ketua Komunikasi Kumpulan Rapid Penang Rafidah Abdul Karim berkata purata penumpang setiap hari di seluruh negeri meningkat daripada 79,000 ke 85,000 penumpang sejak 2013, dan syarikat itu mengadakan kempen mempromosikan penggunaan pengangkutan awam, seperti menawarkan tambang istimewa.

Walaupun jumlah meningkat dan operasi bas berjalan dengan jayanya, Rafidah berkata Rapid Penang masih berdepan cabaran dan masalah.

“Pulau Pinang sangat sesak dan tidak ada laluan khas untuk bas. Secara semulajadi, ia menyukarkan untuk bas beroperasi, walaupun kenderaan baru digunakan,” katnaya, menambah keperluan laluan khas bas sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

Rafidah berkata adalah penting untuk mempunyai pengangkutan awam kos rendah di Pulau Pinang, negeri yang terkenal dengan industri pembuatan dan pelancongan.

“Kita ada banyak firma pembuatan antarabangsa dan kilang yang menggunakan khidmat pekerja asing, yang bergantung kepada pengangkutan berpatutan.

“Untuk negeri yang menekankan pelancongan, amat penting untuk kita memberikan pengalaman menggunakan bas awam yang baik. Bas awam memberikan pelancong kaedah yang baik dan murah untuk menjelajah negeri ini,” katanya.

Chow berkata kerajaan negeri mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem keretapi transit sebagai sebahagian daripada pelan induk pengangkutan Pulau Pinang.

“Ia tertakluk kepada kemungkinan untuk dilaksanakan,” katanya.

Pada Ogos, kerajaan negeri membuka tender terbuka untuk pelan induk pengangkutan bernilai RM27 bilion yang akan mengintegrasikan jaringan darat dan laut.

Pelan itu termasuk sistem pengangkutan gerak cepat (MRT) yang akan menyambung kedua-dua pulau dan tanah besar.

Dilaporkan kerajaan negeri berharap kerja pembinaan itu dapat dimulakan tahun depan dan siap pada 2030.

Buat masa ini, kerajaan negeri menyerahkan sistem bas kepada Rapid Penang, yang mengendalikan lebih 80% laluan bas dan penumpang di Pulau Pinang, kata Chow.

“Syarikat itu ada sumber. Jadi pendekatan kita ialah membantu syarikat itu dalam memastikan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Kita akan tolong dan sokong Rapid Penang dalam beberapa kaedah seperti menyediakan kawasan untuk depoh bas atau terminal, selain melihat cara yang membolehkan syarikat bas memperbaiki perkhidmatan dan penumpang.

“Buat masa ini, rungutan di kalangan orang awam ialah mengenai kekerapan bas, yang saya fikir boleh diperbaiki,” katanya.

Kerajaan negeri Pulau Pinang membayar RM50,000 sebulan kepada Rapid Penang menerusi MPPP untuk menjalankan perkhidmatan bas pengantara percuma CAT di zon warisan, dan kira-kira RM1.5 juta untuk perkhidmatan BEST.

“Kita juga ada perkhidmatan bas percuma dari Kepala Batas dan Sunway Carnival di tanah besar ke Komtar oleh syarikat lain, Plusliner. Perkhidmatan itu, yang tidak menelan belanja terlalu banyak, yang kebanyakannya memberi manfaat kepada kakitangan awam bekerja di Komtar,” katanya.

Mengenai laluan khas bas yang diminta Rapid Penang, Chow berkata cadangan itu sudah dibincangkan tetapi belum ada keputusan mengenainya lagi.

Beliau berkata laluan bas mungkin boleh disediakan di beberapa jalan seperti laluan utama, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan. – 24 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pulau-pinang-sesak-tetapi-penduduk-tetap-mahu-guna-kenderaan-sendiri#sthash.TCUqoIp3.dpuf.TCUqoIp3.dpuf
0 Komentar untuk " Pulau Pinang sesak, tetapi penduduk tetap mahu guna kenderaan sendiri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ