Permainan golf bukan suka-suka - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Permainan golf bukan suka-suka

SHAH ALAM - Percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS) yang turut diselitkan dengan sesi permainan golf bersama Presiden AS, Barack Obama mempunyai makna tersirat dalam konteks hubungan antarabangsa yang perlu difahami rakyat.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kedua-dua pemimpin itu dipercayai membincangkan banyak isu membabitkan Malaysia dan AS, menjadikan lawatan santai Najib ke negara itu bukan percutian semata-mata.

Menurutnya, AS dilihat mahu mengeratkan lagi kerjasama dengan Malaysia kerana negara ini banyak memegang kerusi penting peringkat Asean dan antarabangsa tahun depan.

“Malaysia bermula tahun depan akan jadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mempunyai peranan besar dalam membincangkan isu dan konflik antarabangsa.

“Malaysia juga akan menjadi Pengerusi Asean tahun depan. Peranan Malaysia (dalam pentas antarabangsa) penting kerana Asean mulai 2015 akan wujudkan Komuniti Ekonomi Asean melibatkan 10 negara Asia Tenggara dan pastinya ada banyak perubahan dasar serta pendekatan akan dilakukan di peringkat Asia Tenggara,” katanya, semalam.

Mohd Azzizuddin berkata, disebabkan peranan Malaysia itu, Obama dilihat mahu berbincang dengan Najib tentang sejauh mana AS boleh berperanan di Asia Tenggara khususnya berkaitan isu tuntutan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan oleh China.

“Tuntutan tersebut melibatkan Vietnam, Filipina, Malaysia dan beberapa negara lain. Jadi saya nampak AS mungkin nak minta Malaysia sebagai Pengerusi Asean memainkan peranan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Permainan golf antara kedua-dua pemimpin itu dilaporkan secara meluas oleh media AS kerana Obama sebelum ini jarang menggunakan masa luang beliau untuk membincangkan isu negara, sebaliknya beliau selalunya bermain golf bersama rakan lama atau pembantu Rumah Putih.

Namun ini bukanlah kali pertama pemimpin negara lain menyertai Obama untuk bermain golf semasa sedang bercuti.

Tahun lalu, Obama pernah bermain golf dengan Perdana Menteri New Zealand, John Key di Hawaii.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Obama dan Najib menggunakan peluang pada sesi permainan golf itu untuk membincangkan hubungan semakin baik antara AS dan Malaysia.

"(Obama) berkata beliau gembira untuk bekerja bersama Najib pada 2015, semasa tahun Malaysia menjadi Pengerusi Asean," menurut kenyataan itu seperti dilaporkan The Washington Post.

Sementara itu, Mohd Azzizuddin berkata, dalam konteks hubungan dua hala, Najib dan Obama mungkin berbincang mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang masih lagi tiada jalan penyelesaian.

“Kemungkinan kedua-dua pemimpin berbincang apa hala tuju terbaik agar semua pihak setuju dengan dasar AS dan Malaysia nanti. Memang nampak ke arah TPP.

“Tetapi banyak isu sebenarnya boleh dibincangkan, apa yang Malaysia tidak puas hati, dan apa Kongres (AS) juga tidak puas hati. Mungkin bincangkan bagaimana nak selesaikan masalah itu,” katanya.

Berhubung percutian Najib ke luar negara yang disifatkan ramai sebagai tidak kena pada masanya kerana banjir yang melanda negara, Mohd Azzizuddin berkata, bencana besar yang semakin buruk itu tidak diduga oleh sesiapa dan sebelum ini tidak memerlukan Najib berada di Malaysia.

“Namun apabila berlaku krisis seperti ini, pemimpin negara perlu segera pulang ke tanah air dan memendekkan percutian kerana persepsi rakyat kepada Najib tidak baik jika meneruskan percutian seperti dijadualkan," katanya.

0 Komentar untuk " Permainan golf bukan suka-suka "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ