Pentingkan kematangan bukan usia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pentingkan kematangan bukan usia

BUKAN soal muda atau tua yang utama dalam mencari kepemimpinan terbaik, tetapi soal kematangan. Tidak guna muda jika tidak matang. Tambah serius, tua, kebudak-budakan. Tua atau muda, yang penting matang. Begitu juga soal pemimpin wanita.

Inilah perkara yang perlu difikirkan secara serius oleh Umno dalam mengetengahkan barisan kepemimpinan pada masa akan datang. Bukan usia atau jantina yang menjadi faktor penentu. Ini tidak, pantang didesak sedikit, mulalah melatah. Calon yang benar-benar berkualiti tidak juga diperoleh.

Lebih malangnya, calon tua yang sudah tidak nampak lagi ciri-ciri kepemimpinannya, hanya dek kerana dia banyak duit, maka dia tetap dikekalkan. Daripada orang tua yang sebegini, lebih baik orang muda yang belum matang lagi. Sekurang-kurangnya boleh juga dibimbing.

Saya masih berpegang kepada kata-kata, pemimpin yang umur lebih 40 tahun, tidak juga matang atau berubah, maka kayulah dia.

Nabi amat matang pada usia remaja, tetapi ALLAH tidak angkat menjadi Rasul sehinggalah Baginda berusia 40 tahun. Bukan bermakna saat remaja tidak penting. ALLAH mahu beri pengajaran.

Saat ini mereka mempunyai tenaga, kekuatan dan berkebolehan, seperti Panglima Muhammad Al-Fateh, usia di bawah 20 tahun, telah berjaya memimpin bala tentera yang besar dan menang dalam peperangan. Kenapa? Usia remaja tetapi pemikiran amat matang. Inilah pendewasaan.

Hari ini kita bukan hendak meremajakan parti, tetapi mendewasakan parti. Sekadar meremajakan, tidak sampai kepada matang. Pendek kata, kita mahukan orang muda berfikiran dewasa. Barulah matang. Hodoh sangat orang tua yang mahu kembali remaja atau muda, ketika kemampuan sudah tidak ada.

Nabi menasihatkan kita supaya menggunakan masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, begitulah seterusnya.

Kita mahu calon yang apabila diletakkan harta, wanita dan takhta di hadapan mata, mereka tidak gelap mata. Malah ketakutannya kepada ALLAH melebihi segala-galanya. Inilah calon pilihan rakyat.

Sebab itulah, pada hari ini, kita perlu fikirkan bersama, bagaimana mencari pemimpin seperti para khalifah dan sahabat terdahulu, Mahatma Gandhi, Gautama Buddha, Konfucius dan lain-lain. Tidak perlulah saya sebutkan mencontohi para anbiya kerana mereka sangat mulia.

Tidak terikut atau tercapainya kita untuk mencontohinya.

Orang yang matang bertindak mengikut akal fikiran, bukan hawa nafsu. Sentiasa memikirkan soal masa depan berbanding masa kini. Selalu mendahulukan rakyat berbanding diri sendiri. Sentiasa mengutamakan perkara asas daripada rasmi dan protokol. Mereka tidak hairan jika tidak ada gelaran dan pangkat Tun, Tan Sri, Datuk dan lain-lain. Ini tidak, pantang tidak dipanggil gelaran itu ketika disapa atau majlis rasmi, maka mengamuklah mereka. Lebih menjengkelkan lagi, si isteri yang menumpang gelaran suami turut naik tocang apabila tidak dipanggil Puan Seri, Datin dan sebagainya.

Bagi mereka yang memiliki kematangan emosional, lebih hebat lagi. Mereka ini lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan baik dan tidak mengalami kecelaruan psikologi. Mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai kekuatan dan kelemahan, sentiasa mahu memperbaiki diri, sebab kita manusia biasa.

Kematangan emosi menjadikan mereka dapat mengawal emosi sendiri. Tidak impulsif atau tidak mengikut hawa nafsu. Jiwanya lebih stabil untuk melawan godaan hedonistik dan kemewahan dunia. Emosi mereka stabil. Boleh mengawal amarah dan tidak ekstrem. Juga tidak terlalu bersikap defensif. Bersedia menerima kritikan atau lebih bersedia belajar daripada pengalaman.

Pendek kata, menurut Bass (1990) kematangan emosi juga menjadikan kita mudah bekerjasama dengan orang bawahan, rakan taulan dan orang atasan.

Justeru, dalam menentukan kepemimpinan hari ini. Carilah yang matang, bukan usia. Bukan apa, meninjau segelintir ucapan perwakilan, kadangkala kita tidak nampak kematangan tersebut. Sebab itu, janganlah meminta jawatan, jika kita tidak mampu untuk menguasai diri sendiri.

Ingatlah kata-kata Tsun Tzu, kenali diri sebelum kenali musuh, kita akan memenangi ribuan pertarungan. Ultra kiasu sentiasa memerhatikan kita. Menunggu masa untuk menjatuhkan. Satu kesilapan yang kita lakukan, akan dijadikan alat untuk menjatuhkan. Mereka sanggup melupakan seribu kebaikan yang kita buat. Inilah realiti politik hari ini. Justeru, carilah yang matang, bukan usia atau jantina.

* Penulis ialah pensyarah di Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, UniSZA

0 Komentar untuk " Pentingkan kematangan bukan usia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ