Penghakupayaan belia mesti tulen - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penghakupayaan belia mesti tulen

PARA advokator “penghakupayaan belia”, termasuk saya, teruja dengan ucapan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tentang 'peremajaan Umno' di Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.

Sejauh mana hasrat itu akan tercapai bergantung pada dukungan semua. Bukan mereka berdua sahaja. Bukan parti semata-mata. Tetapi juga bidang-bidang lain yang berkaitan belia, contohnya, semua agensi kerajaan (bukannya Kementerian Belia dan Sukan sahaja), seluruh pentadbiran universiti/sekolah (bukannya Bahagian Hal Ehwal Pelajar/Murid sahaja) dan sebagainya.

Politik dan bidang-bidang lain saling lengkap-melengkapi. Ia membentuk ekosistem untuk peremajaan benar-benar terlaksana. Peremajaan sukar dilaksanakan sekiranya ia dijadikan langkah/bidang politik semata-mata. Dan sekiranya dijadikan langkah/bidang politik semata-mata, kalaupun menjadi, tetapi, ia tidak akan mencapai manfaat sepenuhnya (yang sepatutnya dicapai).

Sebaliknya, ia berkemungkinan besar akan berjaya sekiranya dilaksanakan dalam kerangka yang telah sedia wujud dan bersifat multi-bidang, iaitu penghakupayaan belia. Dengan syarat ia dijalankan secara holistik dan tulen.

Penghakupayaan belia didefinisikan sebagai “membenarkan belia berfikir dan bertindak sendiri atas perkara-perkara yang melibatkan dirinya, sekelilingnya dan masa depannya”.

Kerangka ini akan wujud sekiranya kita mempunyai pandangan alam yang tepat terhadap belia. Iaitu, 'mendukung', bukannya 'mengongkong' belia.

Pandangan alam yang mengongkong berbicara soal-soal: belia sekadar sebagai penerima manfaat pembangunan; masalah-masalah belia; belia belum bersedia; dan belia suka menentang, memberontak, mudah dimanipulasi.

Manakala pandangan alam yang mendukung berbicara soal-soal: peranan belia dalam pembangunan; semua golongan ada masalah; belia banyak menyumbang terhadap dasar negara, teknologi baharu dan keusahawanan; dan belia sebagai rakan-kepemimpinan.

Semua ini memungkinkan penghakupayaan belia dilaksana secara sebenar dan sentiasa. Bukannya kerana pihak lain buat lebih daripada kita, atau semasa berhadapan pilihan raya, atau kerana ada individu tertentu yang menggerakkannya.

Ia dilaksanakan kerana secara sedar, belia dan semua pihak telah terdidik dan tersedia sejak awal. Belia telah dipersiapkan, contohnya, dengan rukun perjuangannya (idealisme, aktivisme dan intelektualisme) yang terhasil melalui perkaderan yang sistematik. Manakala pihak-pihak lain telah dipersiapkan untuk menerima belia dengan seadanya.

Penghakupayaan perlu difahami sepenuhnya. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan, contohnya:

- Memberikan tugasan pihak atasan kepada belia. Ini dumping.
- Melantik belia sebagai wakil pihak atasan. Ini delegasi.
- Menyerahkan kuasa pihak atasan kepada belia tanpa had atau tanggungjawab. Ini anarki.
- Mengundang belia membantu membuat keputusan pihak atasan. Ini pengurusan partisipatif.
- Pihak atasan menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa belia mengetahui apa yang disertainya. Ini manipulasi.
- Belia terlibat dalam sesuatu program tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang penglibatannya. Ini tokenism.
- Belia dilibatkan untuk mewajarkan sesuatu program itu digelar program belia. Ini kosmetik.

Penghakupayaan perlu disertai dengan kefahaman terhadap 'permintaan belia', iaitu: belia mahu suaranya didengar; peranannya diiktiraf; dan isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi-belia; serta kedudukan 'belia sebagai pemimpin hari ini', iaitu: pemimpin bagi yang lebih muda daripadanya; pemimpin generasinya; dan rakan-kepemimpinan bersama-sama pihak berkuasa hari ini. Kedua-dua perkara ini penting dalam konteks penghakupayaan belia dalam membuat keputusan.

Dalam membuat keputusan, paradigma penghakupayaan perlu berjalan serentak dengan tiga konsep lain, iaitu 'perwakilan' (belia, bukannya pihak lain, menentukan wakilnya ke sesuatu program/mesyuarat); 'partisipasi' (belia punya agenda/masa dalam proses membuat keputusan); dan 'impak' (input belia diambil kira dalam keputusan).

Maka, benarlah maksud Najib dan Khairy – bahawa peremajaan UMNO bukannya sekadar atau semata-mata soal jawatan dan calon.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan aktif bertwitter (@saifuddinabd).

0 Komentar untuk " Penghakupayaan belia mesti tulen "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ