MLM: Lawak sinis SYJ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MLM: Lawak sinis SYJ

BIARPUN sudah tujuh minggu Maharaja Lawak Mega (MLM ) 2014 bersiaran, SYJ berjaya membuktikan kumpulan mereka bukan sekadar populariti semata-mata ketika program ini berlangsung di Dewan Teater Shah Alam, Jumaat lalu.

Setelah beberapa minggu kumpulan yang dianggotai Jihan Muse, Shuk dan Yassin berada di kedudukan tercorot, namun mereka berjaya memecahkan kebisuan penonton dan juri dengan lawak penuh sinis .

Bertemakan 'Lawak Bermoral' kumpulan ini menampilkan sketsa ‘pil tak ketegaq’ sekali gus menjadi satu-satunya peserta yang menerima lima bintang daripada Fazura.
Menampilkan tiga situasi berbeza, SYJ bijak mencuri perhatian penonton dengan kisah pemain No.7 Thailand, Charyl Chappuis yang menjadi viral di internet selepas perlawanan bola sepak bersama Malaysia, baru-baru ini.

Manakala situasi kedua dan ketiga, bermodalkan kisah dua juri MLM iaitu Farah Quinn dan Fazura yang mana mesej disampaikan begitu santai, namun penuh dengan maksud tersirat.

Dalam pada itu, secara spontan Shuk menyindir Farah secara tersirat agar merujuk kepada Datuk Jalaludin Hassan jika tidak memahami lawak mereka.

Sindiran tersebut dirasakan ada rasionalnya kerana Farah sering kali tidak memahami lawak yang diketengahkan para peserta lantaran perbezaan bahasa dan tidak memahami bahasa Melayu dengan baik.

Mewakili rakan-rakannya, Jihan akui dia sebenarnya tidak menyangka bahawa sketsa minggu ini menjadi, walhal perkara yang sama turut dilakukan setiap minggu.
“Saya betul-betul tak sangka dan terkejut dengan penerimaan penonton terhadap persembahan kami.

“Maklumlah, setiap minggu sambutan agak kurang berbanding peserta lain ditambah pula beberapa kali tercalon dalam kedudukan tercorot.

“Mungkin minggu ini punchline tepat pada masanya. Kalau diikutkan kami hampir putus asa untuk mencari idea-idea lawak tapi punyai mesej tersirat,” katanya.

Melihatkan persembahan SYJ yang disampaikan secara santai, namun padat dengan mesej bukan sahaja kepada juri bahkan penonton sendiri.


Impian Shake terkubur

Berbeza pula dengan nasib Shake yang dianggotai Bell Ngasri, Amir dan Hazsmi apabila terpaksa melupakan hasrat mereka untuk berada di pentas akhir MLM 2014.

Biarpun tidak bertanding pada minggu depan, namun kumpulan ini tetap bangga dengan pencapaian mereka kerana berjaya bertahan begitu lama di pentas itu berbanding dengan rakan-rakan yang lain seperti Comey, Wala, Samurai, Kepoh, Sayot dan Ekzos.  

Menurut Jalaludin, walaupun persembahan Shake tidak mendapat undian daripada penonton, namun beliau memuji tindakan ahli kumpulan itu, Amir yang bijak mengawal situasi.

Katanya, dialog Bell yang berbunyi ‘Bayi rupa macam ini sepatutnya dibuang,’ kedengaran agak keterlaluan dan tidak wajar diucapkan.

“Dialog ini agak melampau ketika itu, namun saya memuji tindakan Amir yang membalas kenyataan dengan bijak dan waras.

“Ia satu tindakan bijak, namun ingin saya ingatkan bahawa peserta harus menjaga adat ketimuran dan tidak terlalu melampau dari segi penggunaan bahasa,” katanya.

Selain itu, Farah selaku juri yang menilai persembahan mereka hanya memberikan dua bintang sahaja dan mengakui tidak faham dengan inti pati lawak kumpulan itu.

"Kami sendiri tidak menyangka sejauh ini perjalanan kumpulan Shake kerana kami tidak pernah nampak sepanduk 'Shake' diangkat dalam dewan ini.

"Itu sangat membanggakan Shake kerana mampu bertahan dan membuat penonton di audiens ketawa ketika kami berlawak pada hari ini dan minggu-minggu sebelumnya.

"Terima kasih kepada semua yang telah menyokong Shake,” kata Bell mewakili ahli kumpulan lain.

Dengan penyingkiran Shake tinggal lagi lapan peserta iaitu, Bocey, Sepahtu, Virus, SYJ, Shiro, Nabil, Jalor, dan Zero akan meneruskan perjuangan mereka di gelanggang MLM 2014.

0 Komentar untuk " MLM: Lawak sinis SYJ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ