Menjadi otai yang berbisa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menjadi otai yang berbisa

SEMALAM , saya menghadiri majlis sidang akhbar filem Tombiruo. Filem ini adalah adaptasi daripada novel Tombiruo atau Semangat Hutan karya novelis Ramlee Awang Murshid. Dalam usianya yang baharu 47 tahun, Ramlee sudah menulis 27 buah novel. Akhir-akhir ini beliau dapat menulis dua buah novel dalam setahun. Dengan usia dan tahap prolifiknya, Ramlee boleh dianggap sebagai seorang otai, atau old timer jika dibandingkan dengan ratusan lagi novelis popular yang jauh lebih muda daripadanya.

Filem Tombiruo pula bakal diarahkan oleh Nasir Jani,  pengarah yang  ada imej rebellious ketika usia mudanya. Di antara filem yang mendapat sentuhan beliau ialah Kembara Seniman Jalanan yang turut dibintangi oleh Datuk M Nasir. Setelah lama meninggalkan dunia pengarahan dan bekerja di belakang tabir, Nasir bersetuju membuat comeback setelah 27 tahun  menyepi. Pengacara majlis menggelarnya sebagai otai. Walaupun sudah berusia 60 tahun, perawakannya seperti orang berusia 40-an.

Turut hadir di majlis itu ialah mereka dalam bidang seni persembahan seperti Pyanhabib, Ito Blues Gang dan juga Datuk M. Nasir. Saya lihat sebahagian besar para hadirin begitu teruja dengan kehadiran mereka ini walaupun lebih dua pertiga daripada mereka adalah daripada golongan muda. Ramai yang ingin berselfie dengan mereka untuk kenangan dan kebanggaan. ‘Mengapa, ya?’ Fikir saya. ‘Oh, mereka adalah otai; otai yang berbisa!’

Otai adalah slanga yang membawa konotasi seseorang yang telah berusia tetapi masih punyai energi. Mereka bertenaga daripada segi idea dan juga fizikal. Oleh kerana mereka sentiasa membaca, menelaah, berfikir, menulis mahupun berkarya, maka minda mereka sentiasa segar dengan idea, rumusan dan saranan yang baharu. Amalan sentiasa mengasah fikiran dengan santapan minda inilah yang juga mentrampilkan mereka dengan personaliti fizikal yang segak seperti orang muda.

Jika kita sudah berusia, apakah kita boleh kategorikan diri kita sebagai seorang otai? Andainya kita masih muda, apakah kita boleh menjadi seorang otai apabila sudah berusia kelak? Segala-galanya bergantung kepada cara kita melihat dan menangani apa isu, masalah mahupun peluang yang mendatang.

The wise old man, mengikut istilah seorang pakar psikologi terkenal Carl Jung, adalah seorang tua yang bestari yang memahami makna atau falsafah apa yang berlaku di sekelilingnya. Dengan memahami maksud kejadian, dia boleh membuat kesimpulan dan keputusan yang bijak.

Kita lihat ramai juga insan-insan yang walaupun sudah lanjut usianya, tetapi fikiran dan pandangan yang mereka zahirkan ini masih semasa dan tidak ketinggalan zaman. Dalam kehidupan yang semakin pantas berubah ini, kita juga mesti dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan apa jua perkembangan. Orang muda, mahupun yang sudah berusia tidak boleh ketinggalan, apatah lagi menolak segala perubahan yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Perkembangan dan perubahan teknologi pada hari ini berlaku begitu pantas. Jika kita ingin ikuti setiap perkembangan itu, kita akan kepenatan mengejarnya. Sebaliknya jika kita menolaknya, kita akan jauh ketinggalan. Ini akan menjadikan kita letih dan akhirnya tidak mahu berubah. Kita tercicir juga. Pada asasnya, seseorang otai perlu pandai menggunakan kemudahan teknologi semasa seperti aplikasi telefon pintar, televisyen, pengangkutan, perbankan dan juga sistem di tempat awam.

Segala kemudahan yang ada itu sebenarnya hanyalah perhiasan bagi seseorang otai kerana ia menjadikan seseorang otai itu up-to-date dengan teknologi agar dia tidak tercangak-cangak dengan segala perubahan itu. Namun, prinsip bagi segala kemudahan itu ialah untuk memudahkan dan bukannya untuk menyusahkan. Mesti menjadi pengendali dan bukan hamba kepada teknologi. Ramai orang yang misalnya, mati kutu sebaik sahaja telefonnya habis bateri. Dia tidak boleh lagi bersembang panjang kerana siang malam hanya menulis entri yang pendek-pendek.
Untuk menjadi otai adalah menjadi seorang manusia yang mesra dengan manusia di sekelilingnya kerana dia hidup di alam manusia. Dia mesra dengan alam kerana dia hidup di dunia dan tubuhnya terjadi daripada unsur-unsur alam itu sendiri. Apabila dia memahami manusia dan mengerti prinsip-prinsip alam, dia tahu segala kejadian yang datang itu berputar dan berulang-ulang. Zahirnya sahaja ada perbezaan namun prinsipnya serupa.

Kerana itu, dia sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi esok hanya berdasarkan pengalaman semalam. Dia boleh mentafsir bahawa esok dia akan tersenyum kerana semalam dia sudah puas menangis. Dia mampu menelah kesudahan sesuatu itu sebelum dia memulakan langkah.

Semua pandangan hasil renungannya ini dikongsi dan disebarkan kepada semua manusia di sekelilingnya. Mereka digelar otai yang berbisa ~ sudah tua tetapi masih tangkas dalam menangani apa yang mendatang. Padahal, kita juga boleh jadi otai seperti mereka jika kita fahami pola kehidupan itu sebenarnya berputar dan berulang-ulang seperti seluruh galaksi di cakerawala.

0 Komentar untuk " Menjadi otai yang berbisa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ