Melayu berjiwa kecil - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Melayu berjiwa kecil

BERITA akhbar bahasa Inggeris 25 November bertajuk “Rosmah: Jangan layan mereka yang guna nama saya untuk dapatkan projek” menarik perhatian ramai. Ia lebih mendapat perhatian kerana disiarkan tidak berapa minggu selepas media mendedahkan peristiwa “surat kuning” yang dikatakan dikeluarkan istana menjadi punca pencerobohan tanah di Cameron Highlands.

“Surat kuning” menjadi isu hangat apabila dilaporkan penceroboh penanam sayur warga asing berleluasa menggunakannya mengambil kesempatan mengaut untung besar, kemudian merosak alam sekitar menyebabkan banjir dan keruntuhan tanah hingga mengakibatkan kematian.


Apabila Melayu kecil jiwa

Pada saya, kedua-dua isu berhubung kait, kerana terdapat satu persamaan faktor latar belakang. Persamaan yang saya maksudkan ialah respons atau tindakan pegawai tinggi kerajaan yang terlalu mudah memberi laluan istimewa apabila menerima “surat kuning”, termasuk surat kuning palsu seperti berlaku di Cameron Highlands; juga, seperti dalam kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, apabila didatangi individu menggunakan nama VIP untuk mempengaruhi keputusan.

Persoalannya: Kenapa semudah itu pegawai tinggi kerajaan dan agensi, tanpa siasat dan periksa, mematuhi permintaan hingga memangkinkan orang yang tidak berhak menyalahgunakan nama pembesar, termasuk isteri Perdana Menteri? Apakah mereka, sama seperti ramai rakyat jelata warga Malaysia, terlampau taat dan takut, atau terlalu kecil jiwa hinggakan surat kuning palsu dapat digunakan sewenang-wenangnya untuk mencerobohi tanah, merampas hak milik negara?

Profesor Hamka dalam karya besarnya “Tafsir Al-Azhar” mendefinisikan orang kecil jiwa sebagai orang yang “…berjiwa budak (hamba), bertuhankan manusia … takut segala orang yang berpangkat …” Malangnya diperhatikan ramai orang kecil jiwa hari ini, yang jika pun tidak takut, melampau tunduk bukan sahaja kepada orang berkuasa malahan juga kepada orang berharta.

Apakah kerana melampau takut kepada semua orang berkuasa dan berharta, atau tunduk kerana termakan budi, kurniaan pingat, darjat dan pangkat, pegawai tinggi kerajaan harus biarkan sahaja andainya pemimpin dan penguasa melakukan sesuatu mengikut sekehendak hati dan nafsu, termasuk yang jelas bertentangan undang-undang, melanggar perlembagaan membelakangkan hukum syarak? Apakah wajar kedaulatan undang-undang, perlembagaan dan rule of law, salah satu teras Rukun Negara, semudah itu dibiar diketepikan? Ke mana perginya maruah, martabat, keyakinan jati diri serta semangat kebesaran jiwa anak bangsa yang dipupuk Wawasan 2020?


Sampai sanggup menggadaikan semua?

Dalam buku “Membujur Lalu… Satu pengalaman orang Melayu dalam pengurusan” (1996), saya nyatakan pemerhatian terhadap tiga corak budaya warisan Melayu yang banyak melemah dan menjejaskan prestasi organisasi, sama ada jabatan atau agensi kerajaan, GLC mahu pun universiti, juga syarikat korporat swasta, yang anggota majoritinya Melayu. Tiga corak budaya terbabit saya labelkan sebagai Budaya Melukut, Budaya Feudal dan Budaya Penjajahan.

Secara ringkasnya, Budaya Melukut (berakar kepada pepatah Melayu: “Seperti melukut di tepi gantang”) membuat ramai Melayu “menganggap diri terlalu kecil, tidak penting dan langsung tidak berupaya membawa apa-apa kesan atau pengaruh kepada suasana dan persekitaran.” Budaya feudal merujuk kepada apa yang Pendita Za’aba (pemikir Melayu awal 1900an) sifatkan sebagai “perangai-perangai pusaka” orang Melayu yang diwarisi dari “zaman azab sengsara … beratus-ratus tahun lamanya mereka telah kena mengabdikan diri dan kena picit dan perah dan ramas di tangan … pemerintah-pemerintah dari bangsa mereka sendiri.”

Budaya pengurusan penjajahan pula “lebih menonjolkan satu ideologi yang jelas bertujuan mengekalkan kepentingan penjajah …  Corak penjajahan British di Tanah Melayu adalah secara tidak langsung, halus dan disalur melalui pendekatan yang mengekalkan takhta raja-raja Melayu. Ini menyebabkan banyak terdapat persamaan dan pertindihan antara amalan budaya organisasi penjajahan dengan budaya feudal.”

Impak daripada ketiga-tiga warisan pengalaman yang dibudayakan sangat mendalam. Sehingga ke hari ini “… anggota pekerja biasa terus di‘melukutkan’ sebagai ‘kakitangan’ yang tidak digalakkan berfikir…” Sebagai kakitangan, semua penjawat kerajaan, swasta, institusi termasuk universiti, disifatkan seumpama manusia yang bukan sahaja tidak berkepala, malahan tanpa muka untuk berjati diri. Lebih mendalam kesannya: Mereka juga seolah-olah tidak mempunyai dada dan hati, lalu tiada ruang dalam diri untuk mengisi iman memupuk semangat juang tinggi.

Kesannya, ramai Melayu, termasuk yang berpangkat dan berjawatan tinggi melampau kecil jiwa, takut kepada semua orang dianggap lebih mulia. Sekalipun lebih setengah abad merdeka, masih terlalu ramai ‘kakitangan’ kerajaan Melayu dilihat tidak berani bangun menegakkan kebenaran, mempertahankan hak dan kepentingan bangsa, terutama hak dan kepentingan generasi depan. Tidak hairan jika tidak ramai sanggup bangun bertindak menegakkan amar makruf, nahi mungkar.

Sesungguhnya, selagi Melayu kecil jiwa dan terus di’kakitangankan’ oleh bangsanya sendiri, selagi itulah tanah air akan terus dicerobohi dan hak serta kepentingan bangsa berulang kali dijual dan digadai.

Malangnya, semua ini masih berleluasa, bukan sahaja di Cameron Highlands, malah hampir seluruh pelosok negara, termasuk di pesisiran pantai sempadan antara Johor-Singapura.

Mencari “khalifah, sultan dan imam”

Menerusi kolum Khalifah Bisnes pada November 2013 saya pernah berkongsi pengalaman paling mencabar kerjaya sebagai CEO JCorp. Sewaktu mula memegang jawatan CEO pada 1981, saya terpaksa berhadapan dengan titah almarhum Sultan Iskandar Johor supaya JCorp menutup dan memberhentikan operasi Hospital Pakar Johor (HPJ), hospital pakar pertama milik Kumpulan Perubatan Johor Sdn Bhd (yang kemudiannya ditukar nama kepada KPJ Healthcare Bhd - KPJ).

Sultan Iskandar dimaklumkan terdapat penyelewengan dan korupsi ketika HPJ ditubuhkan dan saya dipanggil menghadap beberapa kali memperjelaskan situasi. Sesungguhnya, saya sangat mengagumi kehebatan dan ketulusan peribadi Sultan Iskandar kerana baginda telah menyiasat dan menyelidik dengan rapi dan teliti, membabitkan pemeriksaan audit, BPR dan polis. Setelah tidak terdapat bukti penyelewengan, atas sifat besar jiwa, baginda langsung menaungi KPJ dan JCorp, merangsang dan memotivasi memangkin kumpulan JCorp mencapai prestasi cemerlang.

Lebih terkesan kepada JCorp, naungan kuasa Sultan Iskandar yang terkenal dengan personaliti hebat luar biasa dihormati dan digeruni ramai, melindungi JCorp daripada campur tangan dan kompromi politik melemahkan dan kerenah politik murahan.

Perlindungan dan naungan ini lebih bermakna kerana baginda tidak pernah ada agenda peribadi mengambil saham, mencampuri urusan bisnes, memaksa sumbangan atau memungut ‘royalti’ walau sesen pun daripada JCorp.

Kesimpulannya, tidak kira sama ada berpusat di istana atau pada teraju parti politik pilihan demokrasi, kebijaksanaan menggunakan kuasa faktor paling penting memupuk kebesaran jiwa semua warga jabatan, agensi atau GLC, juga korporat dan universiti, supaya Melayu dapat bertindak cekal dan berani melindungi kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara.

Pada akhirnya, dalam penggunaan kuasa politik (sama ada pada istana atau pemimpin pilihan rakyat), kita perlu mengingatkan erti dan fungsi raja (atau pemimpin politik berkuasa) dari perspektif Melayu dan Islam. Dr Siddiq Fadzil dalam bukunya “Islam dan Melayu - Martabat umat dan daulat rakyat” merujuk kepada peringatan Raja Ali Haji dalam penulisannya “Thamarat al- Mahammah” yang menegaskan makna raja (juga, pada saya, pemimpin politik berkuasa hari ini) difahami mengikut pengertian tiga istilah politik Islam, iaitu khalifah, sultan dan imam.

Raja atau pemimpin politik berkuasa dalam pengertian khalifah dimaknai sebagai pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadith dan al-ijmak. Raja dalam pengertian sultan dimaknai sebagai penguat kuasa keadilan hukum yang bersumberkan ajaran ALLAH dan rasul-Nya. Raja dalam pengertian imam pula dimaknai sebagai pemimpin dan ikutan.”

0 Komentar untuk " Melayu berjiwa kecil "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ