Ada apa di sebalik harga minyak? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ada apa di sebalik harga minyak?

MULAI semalam, buat pertama kali  dalam sejarah hidup masing-masing, kita di negara ini beli minyak sepenuhnya dengan harga pasaran, tanpa subsidi.

Ini yang terbesar dan paling menarik dalam siri rasionalisasi subsidi yang kita jangka akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang. Sebelum ini, gula antara keperluan yang kita mula-mula diajar untuk beli tanpa harga subsidi.

Menyambut perubahan ini, ada yang bersorak, tidak kurang yang menempelak.

Mereka yang menempelak mengejek mereka yang bersorak kononnya kerana berseronok harga RON95 turun empat sen seliter sampai terlupa harga itu baru saja dinaikkan (ditarik subsidi) 20 sen seliter.

Dalam kita mempersembahkan reaksi yang berbeza ini, mungkin ramai yang tidak sedar apa punca harga minyak dunia semakin hari, semakin jatuh. Saya kira selepas kita ambil tahu punca itu, barulah kita boleh tentukan sama ada kita patut bersorak atau berteriak!

Mengikut laporan, harga minyak dunia kini berada di bawah paras AS$70 (RM239) setong berbanding lebih AS$100 (RM342) setong pada Jun dan kedudukan itu dijangka akan terus menurun.

Mengikut laporan The Washington Post, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) dalam mesyuaratnya Khamis lalu memutuskan untuk tidak mengurangkan pengeluaran yang akan menyebabkan 'limpahan besar' terus berlaku sekali gus menjatuhkan lagi harga komoditi itu.

Dalam masa yang sama, negara-negara pengeluar minyak yang lain termasuk Amerika Syarikat (AS) juga telah meningkatkan pengeluarannya hampir dua kali ganda sehari berbanding 2005.

Selain AS, Kanada turut menambah pengeluaran daripada hanya lebih kurang 3,300,000 tong sehari pada 2009 kepada lebih 4,000,000 tahun lalu. Rusia daripada 9,900,000 tong sehari pada 2009 kepada 10,500,000 tahun lalu.

Libya yang 'bercuti' sejak tercetus perang saudara pada 2011, juga telah menyambung semula operasi pengeluaran minyaknya.

Mengikut prinsip ekonomi, penawaran yang berlebihan akan menjatuhkan harga. Inilah yang berlaku sekarang.

Soalnya, apakah ini kebetulan, ataupun dirancang?

Satu senario yang dikesan oleh para penganalisis ialah tatkala negara-negara pengeluar minyak mengeluh kerana pendapatan mereka merosot akibat kejatuhan harga di pasaran, Iraq adalah negara yang tidak mempedulikan langsung hal itu. Ia terus mengeluarkan
stoknya secara mega sekali gus menjadi antara penyumbang utama kejatuhan harga minyak dunia.

Ramai yang tidak sedar bahawa sejak tahun lalu, Iraq sebenarnya telah muncul sebagai negara pengeluar minyak terbesar dunia.

Dengan rizab sebanyak 140 bilion tong, Iraq pasti akan jadi negara pengeluar utama sekali lagi pada tahun ini dengan purata pengeluaran lima juta tong sehari.

Apa yang dilakukan oleh Iraq menyebabkan harga minyak dunia terus menjunam dan pada masa yang sama menyebabkan negara-negara Opec jadi huru-hara.

Pembangunan dan saraan negara yang selama ini dibiayai daripada hasil pendapatan minyak terencat hingga ada yang meletakkan situasi dilalui mereka kini sebagai 'mencemaskan'.

Malaysia sebagai antara negara pengeluar minyak turut terkesan dengan situasi ini. Kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas minggu lalu menyebut bahawa sumbangan syarikat itu kepada pendapatan kerajaan pada 2015 dijangka menyusut sehingga RM25 bilion jika harga purata minyak berlegar sekitar AS$75 (RM240) setong tahun depan.

Berdasarkan harga itu katanya, Petronas hanya mampu membayar RM43 bilion kepada kerajaan dengan pecahan RM17 bilion sebagai dividen, RM17 bilion cukai dan RM9 bilion royalti berbanding RM29 bilion dividen, RM26 bilion cukai dan RM13 bilion royalti pada tahun ini.

"Kesan kejatuhan harga minyak memerlukan kami lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan termasuk dalam aspek pemberian dividen kepada kerajaan," katanya.

Petronas selama ini mengamalkan polisi pembayaran dividen sekitar 50 peratus daripada keuntungan bersihnya diagihkan kepada kerajaan. Pada 2013, syarikat itu membayar dividen sebanyak RM27 bilion dan RM28 bilion pada 2012.

Langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April 2015 juga adalah sebagai sumber pendapatan yang baharu bagi kerajaan menggantikan hasil minyak yang semakin menyusut.

Berbalik kepada persoalan, siapa dalang di sebalik kejatuhan harga minyak dan apakah ini kebetulan ataupun dirancang, kita tidak dapat elak daripada mengaitkan AS.

Percaturan AS sebagai pengguna terbesar minyak turut menyebabkan harganya jatuh.

Tadi kita membicarakan hal Iraq yang kini jadi pengeluar minyak terbesar dunia dan kita juga tahu siapa yang menguasai negara Teluk itu.

Pada ketika negara-negara Opec mengeluh akibat kerugian yang mereka tanggung disebabkan kejatuhan menjunam harga minyak, AS yang berperanan melimpahkan stok minyak di pasaran dunia sama ada daripada telaganya sendiri selain dari Iraq sebaliknya tidak menanggung kesan buruk sebagaimana yang dialami negara- negara pembekal yang lain.

Nilai matawang Dollar terus menaik mencapai paras AS$1 bersamaan RM3.42 semalam berbanding RM3.24 pada 23 September lalu.

Apa yang berlaku ini sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada Rusia. Nilai matawang Ruble jatuh mendadak daripada Ruble 1 bersamaan RM0.0953 pada 1 Julai lalu hanya sekadar berada pada paras RM0.0651 bagi tukaran Ruble 1, semalam.

Apakah ini ada kaitan dengan perseteruan yang semakin marak antara Washington dengan Kremlin kebelakangan ini. Kita dapat lihat kedua- dua Putin dan Obama seakanakan mahu kembali ke era Perang Dingin dengan apa yang berlaku ketika Sidang Kemuncak Apec di
Beijing dan Sidang Kemuncak G20 di Brisbane bulan lalu.

Jika benar ini ada kaitan dengan manipulasi dan persaingan kuasa Uncle Sam dengan Beruang Merah,harapnya ia janganlah sampai membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Kita hanya mahu harga minyak yang lebih murah, bukan sampai diberi percuma tetapi sudah
tidak berguna.

0 Komentar untuk " Ada apa di sebalik harga minyak? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ