MAS dengan cerita orang bodoh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MAS dengan cerita orang bodoh

SEPERTI pernah disebut MAS tidak memerlukan khidmat bomoh. Malah pramugari atau pramugaranya pun tidak perlu mandi bunga dalam urusan mencari jodoh.

Yang diperlukan MAS ketika ini ialah tangan ajaib CEO atau Ketua Pegawai Eksekutifnya. Matlamat utama tentulah bagi memulihkan prestasi kewangan syarikat yang berusia 67 tahun itu.

Insan terpilih itu haruslah seseorang yang takutkan ALLAH lebih daripada segalanya. Dari segi merit, dia mestilah warak, berkemampuan dan berpengalaman luas.

Kita pasti ini bukannya cerita dongeng kerana tokoh yang dicari itu wujud dalam kalangan kita.

Kita tidak harus pergi ke luar negara untuk mencari sebutir permata. Kita harus ingat, tak semua dari Barat berguna atau bijaksana. Ini terbukti dengan sejarah di Wall Street New York. Bukankah tokoh-tokoh yang dianggap wizzard itu yang 'merompak' kekayaan syarikat sehingga kebanyakannya lingkup begitu sahaja.

Lazimnya, urusan perniagaan lebih-lebih lagi seperti MAS yang bertaraf sebuah gergasi korporat memerlukan pengurus atau CEO yang berkemampuan dan berintegriti tinggi.

Paling penting bukan mengenai segulung ijazah atau sebarang kelulusan dari mana-mana Ivy league. MAS seperti kita ketahui melalui denai-denai cabaran sejak ia diswastakan di zaman Che Det. Maklum sajalah ia mahu menjadi sebuah entiti jauh lebih besar dan gah seperti sebuah syarikat bertaraf dunia.

Cabarannya bermula apabila ia sering rugi daripada memperoleh prestasi kewangan yang positif. Contoh pada 1999, MAS mencatat kerugian berjumlah RM700 juta.

Pada tahun berikut, ia berjaya kurangkan kerugian ke separuh iaitu RM259 juta — tetap rugi. Saya percaya Che Det tentu ingat kerajaan terpaksa bail out dengan membelinya semula pada harga RM1.8 bilion. Pada September 2002, untuk suku pertama MAS mengumumkan keuntungan RM1.12 juta. Ramai lebih gembira apabila untung MAS pada 2004 diumumkan sebanyak RM461 juta.

Berita baik jarang kekal seperti mana MAS berdepan sekali lagi kerugian berjumlah jauh lebih besar, RM1.26 bilion untuk suku ketiga 2005. Sebaik Ahmad Fuad meletakan jawatan CEO, tempat itu diisikan Idris Jala.

Jika dilihat senarai pendek, sejak April 2004, MAS dipimpin oleh empat CEO dengan dibantu ahli lembaga pengarah yang berkelayakan. Ahmad Jauhari Yahya kini mempunyai kontrak tak sampai setahun.

Isu MAS kembali panas apabila  Khazanah selaku pemiliknya mengumumkan pelantikan CEO baharunya, seorang bukan rakyat Malaysia. Ini seolah-olah tokoh tempatan tak layak. Sinisnya, ada berpendapat rakyat kita bodoh-bodoh belaka sehingga memerlukan bantuan tokoh luar.

Christoph R Mueller bakal menggalas cabaran ini bermula 1 Januari depan merupakan CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan Ireland. Prestasinya di Ireland terlibat menstrukturkan semula syarikat tersebut adalah daya tarikan utamanya.

Khazanah juga mengumumkan pelantikan baru menganggotai jemaah lembaga pengarah terdiri daripada Shazalli Ramly, CEO dan Pengarah Celcom Axiata Bhd juga akan dilantik menganggotai Lembaga Pengarah MAS dan beberapa yang lain lagi. Ia juga dikritik kerana MAS patut mengambil langkah berjimat dalam membayar elaun dan gaji besar.

Dr Mahathir mengulas pelantikan CEO baharu MAS ini berkata: “Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangan, sebab itu MAS rugi... tidak hairan jika orang luar diberi kepercayaan.  

Katanya lagi: "Bila sudah rugi, orang yang buat (MAS) rugi itu sekarang ini nak buat baik balik, oklah. Bagi saya orang Malaysia tidak bodoh, waktu zaman British dahulu kita merupakan sebuah negara yang cukup kolot dan miskin, namun dapat membangun selepas merdeka dengan dipimpin oleh orang Malaysia, kita ada banyak bakat dalam negara tetapi hendak panggil konsultan dan pengarah pun panggil orang asing, ini kita bagi pengakuan kami bodoh, tolonglah kami pimpinlah kami.”

Seperti yang disebut awal tadi, di zaman Khazanah selaku pemiliknya dan Azman Mokhtar sebagai CEOnya cerita MAS seperti sebahagian daripada cerita hikayat 1001 malam.

Bagaimana golongan pegawai yang diamanahkan gagal memanfaatkan syarikat. Maka tidak hairan jika isu MAS menjadi sebahagian isu politik yang memeningkan kepala. Ia dilihat satu liabiliti buat kerajaan.

Sebagai jalan keluar PM akhirnya melaksanakan cadangan share-swap dengan AirAsia. Tetapi skim itu tidak bertahan lama. Setelah dibantahi rakyat, PM membatalkan formula itu.

Khazanah kemudian menggaji Ahmad Jauhari Yahaya, yang juga gagal membawa MAS keluar daripada permasalahan kewangan. Yang menambahkan pening apabila berhadapan pula kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh. Ironinya bukan soal pelantikan calon berbangsa Melayu, lokal atau mat saleh sebagai jalan keluar kepada kemelut ini. Kerana seperti diketahui masalah MAS adalah berpunca daripada Khazanah yang tidak bijak. Ini terbukti sejak MAS sebagai satu entitinya.

Sudah berulang kali MAS rugi. Perlukah orang macam ini diamanahkan lagi tugas untuk memulihkan MAS seolah-olah kita ketandusan tokoh berkaliber. Soalan pokok mengapa PM menyerahkan urusan MAS kepada Azman dan Khazanah sekali lagi? Seolah-olah tidak ada ide baru atau tokoh baru.

Kini kita lihat pada Mac 2013, MAS umumkan kerugian suku pertamanya berjumlah RM279 juta. Tahun kewangan sama 2014 kerugian MAS menjadi RM443.4 juta. Ini tidak termasuk kerugian tertunggak berjumlah berbilion ringgit.

Dulu Tony Fernandez dipilih memulihkan prestasi MAS tapi ramai membantah. Kini calon CEOnya mat saleh, orang luar pula. Mengambil kira kemelut ini, Khazanah perlu menjualkan atau menyerahkan sahaja saham-saham MAS kepada AirAsia yang telah membuktikan keupayaan mengurus sebuah syarikat bertaraf global.

0 Komentar untuk " MAS dengan cerita orang bodoh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ