Kos sara hidup tinggi punca kurang kuasa beli - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kos sara hidup tinggi punca kurang kuasa beli

BERIKUTAN kenaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit masyarakat tempatan, tidak dinafikan bahawa peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup merupakan punca utama mengapa pengguna kurang membeli.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kadar inflasi dijangka sekitar 3.2 peratus bagi 2014 dan peningkatan gaji tahunan rakyat Malaysia hanya dua hingga tiga peratus ini menyebabkan kebanyakan pendapatan boleh guna dibelanjakan ke atas keperluan asas.

"Majoriti pendapatan digunakan untuk bayaran ansuran seperti perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan ke atas barangan lain," katanya.

Menurutnya, secara teorinya benar bahawa semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli pengguna.

Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar dan keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu yang akan memberi kesan kepada kuasa beli mereka dan juga kualiti hidup secara keseluruhan.

Sementara itu, mengulas berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan pengguna lebih berhati-hati berbelanja, Fazli berkata, pengguna akan berbelanja seperti biasa terutama ke atas barang keperluan asas.

Katanya, kemungkinan besar, perbelanjaan pengguna ke atas beberapa kumpulan mengalami sedikit penurunan misalnya hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, pengangkutan, komunikasi, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan, restoran dan hotel dan
pelbagai barang dan perkhidmatan.

Fazli bersetuju kemungkinan untuk beberapa bulan atau tahun pertama GST dilaksanakan pengguna akan lebih mengambil sikap berhati-hati dalam melakukan perbelanjaan.

Mengulas berhubung aliran trafik yang mungkin memberi pengaruh signifikan untuk menarik pelanggan berkunjung ke sesuatu lokasi, Mohamad Fazli berkata, ramai pengguna tidak suka keluar membeli belah kerana mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk
mencari tempat bagi meletakkan kenderaan.

"Kesesakan aliran trafik ini dapat dikurangkan dengan penggunaan pengangkutan awam yang juga lebih murah dan menjimatkan masa," katanya.

Selain itu, kemudahan asas seperti mesin ATM, bank, pejabat pos, balai polis dan pengangkutan awam juga termasuk dalam faktor persekitaran yang kondusif.

Bukan itu sahaja, faktor harga juga turut mempengaruhi pengguna untuk berkunjung ke sesuatu lokasi.

Menurutnya, kebiasaannya kedai atau pasar raya yang menawarkan harga murah atau istimewa menjadi pilihan kebanyakan pengguna.

Oleh itu, lebih ramai yang memilih pembelian secara talian sebagai salah satu alternatif bagi mengurangkan masalah berkaitan kos minyak, tol, bayaran meletak kenderaan, kesesakan lalu lintas serta kos yang sukar dikira seperti masa dan tenaga.

0 Komentar untuk " Kos sara hidup tinggi punca kurang kuasa beli "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ