Jaminan Kafalah usahawan PUNB - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jaminan Kafalah usahawan PUNB

BANK Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)  menjalin pakatan strategik dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)  yang membolehkan bank itu menawarkan skim pembiayaan untuk usahawan bumiputera  berjumlah RM30 juta.

Menerusi skim tersebut,  PUNB akan menjamin sehingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan.

Kemudahan pembiayaan perniagaan itu adalah dalam bentuk produk Jaminan Kafalah  yang akan memberi kemudahan kepada syarikat perniagaan usahawan PUNB dalam urusan pembiayaan perdagangan.

Pengerusi BMMB, Tan Sri Dr Mohd Munir Abd Majid berkata, skim jaminan usahawan PUNB itu untuk menyediakan pelbagai kemudahan kewangan Islam kepada usahawan bumiputera serta bantuan kewangan Islam yang lain.

“Melalui skim ini, Bank Muamalat akan memproses, meluluskan dan menyediakan kemudahan pembiayaan berdasarkan prosedur dan polisi ditetapkan. Manakala PUNB akan memproses permohonan jaminan bagi setiap permohonan yang diluluskan, satu surat jaminan atau kafalah akan dikeluarkan PUNB kepada Bank Muamalat,’ katanya ketika berucap di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Shah Alam, semalam.

Sementara itu  Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata,  dalam jangka masa panjang PUNB berharap kemudahan dari Bank Muamalat ini dapat membantu para usahawan PUNB mempertingkat daya saing perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi dan seterusnya membentuk rantaian bekalan Bumiputera melalui prasarana itu.

“Secara peribadi, saya saran para usahawan agar guna kemudahan ‘kafalah guarantee’ ini secara bertanggungjawab  untuk membina 'track record' yang baik dengan bank komersil tanpa perlu jaminan  PUNB pada masa akan datang.

“Buat masa ini PUNB sedang meneliti sekurang-kurangnya lima syarikat berpotensi dalam bidang pemborongan dan pengedaran untuk kemudahan ini,” katanya.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada 1992,  PUNB berjaya membangunkan lebih daripada 5,400 syarikat melibatkan lebih daripada 7,700 usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor seperti peruncintan, pemborongan dan pengedaran serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah keseluruhan kelulusan pembiayaan sebanyak RM2.055 bilion setakat 31 Oktober lalu.

Tambahnya, setakat tempoh yang sama juga,  PUNB telah meluluskan pembiayaan kepada 621 perniagaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM228 juta.

Antara ciri skim jaminan usawahan PUNB itu menetapkan jumlah minimum  boleh dibiaya ialah RM50,000 dan maksimum RM5juta.

0 Komentar untuk " Jaminan Kafalah usahawan PUNB "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ