Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain

DAP dalam Konvensyen Tahunan DAP Selangor baru-baru ini minta Selangor mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk pilih wakil dalam Pihak Berkuasa Tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Disember, 2014.

Keputusan DAP untuk tetap menuntut jawatan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah tewas menerusi undian baru-baru ini menimbulkan isu baharu dalam hubungan antara parti Pakatan Rakyat (PR).

Bukan saja para penyokong PAS yang tidak senang dengan sikap DAP itu bahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) juga mengambil kesempatan untuk menyerang kerabat PR itu.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Shamsudin Lias mengambil kesempatan menyerang DAP dengan berkata, jawatan itu hanya sia-sia dan membazirkan wang rakyat apabila DAP menuntut diwujudkan jawatan timbalan speaker II selepas gagal mendapat jawatan timbalan speaker.

Bukan setakat itu saja, Umno pergi lebih jauh lagi dengan mendakwa DAP tamak kuasa.
"Kesimpulannya saya nyatakan DAPtamak kuasa, sudah ada speaker daripada DAP hendak pula timbalan speaker," kata Shamsudin kepada pemberita di luar sidang DUN Selangor.

Tuntutan DAP terhadap kerusi timbalan speaker II ini menjadi lebih buruk lagi apabila orang yang banyak bercakap mengenainya adalah calon jawatan berkenaan sendiri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim yang juga timbalan setiausaha DAP Selangor.

Ng berkata permintaan itu wajar kerana DAP mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR yang hanya ada 12.

Ng turut mengakui wujud perjanjian selepas tamatnya kemelut menteri besar apabila pemimpin PR bersetuju melantik satu lagi timbalan speaker.

"Persoalan sekarang kenapa PKR boleh ada menteri besar, tambah (kerusi) exco? Itu persoalan yang timbul," katanya.

"Saya difahamkan, ia dipersetujui pemimpin PR," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Ng terpaksa diperbetulkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang menjelaskan PR tidak pernah bersetuju dengan jawatan timbalan speaker II itu.

"Tidak benar. Pemimpin PR tidak pernah bersetuju untuk memberi kita timbalan speaker II itu.

"Kami (DAP) yang memintanya," kata Pua kepada satu laman berita.

Ketika pemimpin DAP terpaksa mempertahankan permintaannya untuk mendapat jawatan itu, pemimpin PAS mempersoalkan tujuan DAP membuat tuntutan itu.

"Apa tujuan DAP sebenarnya. Apakah mereka bertujuan menekan PAS agar keluar PR atau ada tujuan lain," soal seorang pemimpin kanan PAS yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata, isu itu terlalu remeh untuk diperjuangkan DAP setelah speaker DUN dipegang DAP iaitu Hannah Yeoh.

"Saya bimbang DAP mempunyai agenda lain," katanya.

Selain timbalan spaker II, DAP juga memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor yang dituntut DAP Selangor melalui Pua agar ia diadakan pada penggal ini.

Ia menimbulkan kemarahan sesetengah pihak dalam PAS. Para penyokong kumpulan ulama dalam PAS mengambil kesempatan menyerang DAP sekeras-kerasnya ekoran isu ini.

"Sudah terang lagi bersuluh DAP Selangor memang tamak dan haloba, tujuan pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk menguasai pentadbiran PBT melalui wakilnya sebab mereka tahu mereka tidak dapat meguasai negeri kerana adanya Sultan yang berkuasa melantik menteri besar," tulis Setiausaha PAS Wilayah Persekutuan Khairul Anuar Abdul Manap melalui Facebooknya ketika mengulas berita yang disiarkan The Malaysian Insider semalam.

"Mereka juga lahapkan jawatan timbalan speaker meskipun majoriti mengundi untuk wakil PAS. Tujuan DAP adalah membalas dendam kerana matlamat mereka mengangkat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar selepas itu memperkudakan beliau tidak kesampaian," tulisnya.

DAP pada September 2001 pernah meninggalkan rakannya dalam Barisan Alternatif (BA) apabila tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan negara Islam oleh PAS.

Sebuah laman web melaporkan, DAP berkemungkinan akan mengulangi sejarahnya dengan meninggalkan gabungan PR, sama seperti yang pernah dilakukan ketika bersama BA, kata bekas Naib Pengerusi DAP Zulkifli Mohd Noor.

Zulkifli berkata perkara itu tidak mustahil akan berlaku memandangkan DAP dan salah satu rakan komponennya dalam BA dan PR, iaitu PAS, tidak mempunyai haluan perjuangan yang sama.

“Situasi sekarang ini bukan retak menanti belah, malah sudah terbelah pun.. hanya menanti pengiktirafan saja. Pengiktirafan mereka (PR) ini tidak pernah bercantum, tidak pernah bekerjasama,” katanya kepada sebuah laman web.

Ketika membuat keputusan itu pada 2001, DAP sedang mempersiapkan dirinya untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Kini, pilihan raya negeri Sarawak bakal menjelang lagi.

Pada 18 Oktober lalu, DAP Sarawak menyatakan ia menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam PR.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata jawatankuasa negeri parti itu mengambil keputusan memisahkan diri daripada kegiatan bersama PAS dan PKR sehinggalah dua parti itu menjelaskan pendirian mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, beliau berkata DAP Sarawak akan meninggalkan PR jika kumpulan ulama PAS, yang memperjuangkan hukum hudud, menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

"Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar," katanya.

Apakah DAP akan mengulangi tindakan meninggalkan PAS dengan cara keluar PR menjelang pilihan raya Sarawak ini, sama-samalah kita tunggu. – 3 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/apakah-dap-benar-benar-mahukan-timbalan-speaker-ii-atau-ada-agenda-lain#sthash.Zf8w8iRd.dpuf
0 Komentar untuk " Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ