Dilema PAS: Sokong persempadanan semula kawasan pilihan raya atau bersama Pakatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dilema PAS: Sokong persempadanan semula kawasan pilihan raya atau bersama Pakatan

Jika PAS bekerjasama dengan Umno menyokong pindaan Perlembagaan untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya bermakna PAS mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Disember, 2014.

PAS kini dalam dilema sama ada menyokong pindaan Perlembagaan bagi membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat dan mendapat manafaat daripada pertambahan kerusi di kawasan parti itu bertanding atau kehilangan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut sumber parti Islam itu, PAS sangat berharap pertambahan kerusi di kawasan Melayu khasnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dibuat kerana keempat-empat negeri ini tidak mendapat sebarang pertambahan kerusi ketika persempadanan dibuat pada 2003 dahulu.

Bagi PAS, tindakan pada 2003 adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh PAS selepas parti itu menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

"Namun kini PAS dalam dilema. Ditelan mati emak, diluah mati bapa," kata seorang pemimpin kanan PAS.
Menurutnya, jika PAS bekerjasama dengan Umno menyokong pindaan itu dan bermakna PAS mengkhianati rakan-rakannya dalam PR iaitu PKR dan DAP yang tidak bersetuju persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat oleh Suruhanaya Pilihan Raya (SPR).

Peluang PAS menyokong Umno meluluskan persempadanan itu kini tinggi ekoran hubungan suram dalam PR berhubung isu hudud.

DAP menyifatkan cadangan kerajaan Kelantan mahu melaksanakan hudud di negeri itu akan melambatkan PR ke Putrajaya dan sekaligus mengkhianati semangat kerjasama dalam pakatan.

Pemimpin PAS pula bertegas melaksanakannya dengan alasan ia sudah menjadi usaha PAS sejak sebelum PR terbentuk lagi.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pula dilaporkan berkata kertas tahaluf siyasi PAS dengan DAP sudah koyak apabila DAP berterusan menentang hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu, media melaporkan rancangan SPR mengeluarkan notis dan mempamerkan cadangan awal tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya bulan ini terganggu akibat banjir.


Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), pihaknya akan hanya mengumumkan perkara tersebut apabila keadaan bertambah pulih dan teratur.

“Kenyataan media akan dikeluarkan oleh SPR berhubung persempadanan semula itu.

“Banjir yang bertambah buruk di beberapa negeri menjadi salah satu sebab menentukan tarikh notis dan warta persempadanan semula khasnya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Tanah Melayu (Semenanjung) serta Sabah umum¬nya,” kata beliau sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Aziz sebelum ini memberitahu, SPR merancang mengeluarkan notis, pewartaan serta mempamerkan cadangan awal tentangnya pada bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kerja-kerja daripada Jabatan Ukur dan Jabatan Perangkaan untuk membantu membuat peta bahagian pilihan raya baharu berhubung cadangan tersebut.

Enggan mengulas lanjut butirannya, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan persempadanan itu melibatkan “banyak peta yang perlu dibentuk”.

Kata beliau, kajian menyeluruh akan melibatkan semua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak boleh dibuat secara bersama kerana tempoh persempadanan itu melepasi lapan tahun.

Isu persempadanan semula kawasan pilihan raya menjadi kontroversi ekoran kegagalan SPR berbuat demikian lebih 10 tahun lalu iaitu pada 2003.

Mengikut Perlembagaan, SPR boleh membuat persempadanan semula selepas lapan tahun namun sehingga kini ia tidak dibuat yang didakwa kerana Barisan Nasional (BN) yang memerintah tidak mempunyai kuasa 2/3 dalam Parlimen.

Sokongan 2/3 diperlukan untuk meminda Perlembagaan termasuk menambahkan bilangan kepada kerusi Parlimen.

BN khasnya Umno dikatakan sedang memujuk PAS agar bersetuju dengan persempadanan baru ini bagi membolehkan ia diluluskan. – 22 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dilema-pas-sokong-persempadanan-semula-kawasan-pilihan-raya-atau-bersama-pa#sthash.SmVizdlx.dpuf
0 Komentar untuk " Dilema PAS: Sokong persempadanan semula kawasan pilihan raya atau bersama Pakatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ