Betul ke mural Chin Peng di Ipoh? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Betul ke mural Chin Peng di Ipoh?

BANDAR raya Ipoh, ibu negeri Perak lazimnya sunyi dari mendapat limpahan perhatian. Tidak ada apa yang menarik jika mengikut laporan media massa. Ia bukanlah destinasi utama bagi pelancong yang ingin mencari ketenangan. Bukan juga sebagai pusat beli-belah seperti kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Situasi itu jauh berbeza seperti berlaku pada 2009 apabila secara tiba-tiba Ipoh mendapat perhatian Google dan Yahoo. Seluruh dunia tertumpu kepada krisis politik yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat, yang berusia 11 bulan.

Setiap hari rakyat membaca pelbagai episod panas. Lebih menarik apabila terdapat pihak sengaja melakonkan pelbagai watak bagi menarik perhatian rakyat. Ini termasuk persidangan di bawah pokok. Aspek ini tentu saja disenangi media sehingga ketika kemuncak krisis, wartawan Barat turut kelihatan.

Awal minggu ini Ipoh atau Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berdepan kontroversi yang tidak diundang. Ia gara-gara terdapat sebuah mural sebesar sebiji banglo menunjukkan seorang lelaki tua sedang minum kopi. Berdekatannya terdapat sebuah kafe yang popular dengan jenama kopi putih.

Mural ini sudah lama terpampang, hanya mendapat perhatian apabila akhbar Sinar Harian melaporkan dakwaan penduduk bandar raya bahawa potret mural itu tidak lain ialah mirip bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hwa ialah orang Perak lahir pada 21 Oktober, 1924 di Sitiawan. Justeru secara matematik terdapat orang Perak yang menganggap ia wira mereka serta apa sahaja perkara berkaitan Chin Peng diberi perhatian.

Kalau mengikut rekod Chin Peng bukan lagi warga negara kita. Malah sisa-sisa hidup dihabiskan di Thailand selesai perjanjian damai Haadyai yang dibuat pada 1989. Kira-kira 300 bekas ahli PKM hidup bersama-samanya. Mereka mendapat ihsan daripada kerajaan negara itu untuk menetap serta menjalani kehidupan baru.

Apa yang menarik ialah walaupun isu mural di Ipoh tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan pimpinan Menteri Besar Dr. Zambry Abd Kadir ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ia boleh memberi persepsi negatif seolah-olah kerajaan negeri tidak prihatin pada nasib para pejuang rakyat dan anggota keselamatan yang menjadi korban komunis.

Soal sama ada mural itu 100% wajah Chin Peng hanya pelukis itu dan orang yang membekalkan potret itu saja yang mengetahui. Yang lain boleh meneka seperti berlaku sekarang. Bagaimanapun seperti disebut tadi oleh kerana ia berkaitan Chin Peng ia seperti mengundang kontroversi.

Mungkin MBI mempunyai niat baik mengupah seorang mat salih ini melukis tujuh potret berbentuk mural di beberapa kawasan di sekitar bandar raya melalui projek Art of 0ldtown. Ia sebagai satu daya tarikan pelancong seperti puluhan mural di Pulau Pinang yang menghiasi dinding-dinding premis.

Hakikatnya ialah MBI barangkali terlepas pandang sehingga tidak ikut memantau pada ketika pelukis memilih potret atau semasa kerja-kerja lukisan. Benar artis seperti mat salih ini memerlukan privasi tetapi dia juga manusia biasa. Dia tentu tidak kenal Chin Peng, malah tidak pernah melihat pemimpin PKM itu.

Saya melihat sendiri potret yang dinafikan MBI sebagai wajah milik Chin Peng ketika melewati Jalan Tun Sambathan di Ipoh. Sebelumnya saya sempat membelek laman-laman sesawang melihat lukisan mural ini dimuat turun. Pada ketika itu terdetik juga di hati tentang pemilik wajah yang menghiasi dinding berkenaan.

Bagi orang luar dari Ipoh pelukis mural ini bernama Ernest  Zacharevic. Dia berasal dari Lithuania mula diberi kepercayaan kerajaan Pulau Pinang melalui projek Mirrors George Town pada 2012. Ia kemudian mendorong Ipoh mencontohinya.

Bukan itu saja, karya Ernest di Tanjung juga mengelirukan. Bukanlah salahnya semata-mata jika potret muralnya mengenai satu-satu etnik saja tanpa bercirikan sebuah Malaysia. Georgetown mungkin ramai dihuni bangsa Cina begitu juga pemilik bangunan yang memberi izin kepada projek berkenaan. Tetapi bukankah lebih baik jika digabung pelbagai suku bangsa sebagai lambang muhibah.

Kelihatan apa yang di Tanjung juga terdapat pada konsep di Ipoh. Juga dalam hal ini tanpa kawalan dan seliaan daripada pihak MBI untuk memastikan agar semata-mata tidak ada wajah satu-satu etnik berbentuk mural di tempat awam. Ia boleh memberi kesan negatif sehingga berlaku pendewaan.

Bagi orang luar yang berkunjung ke sini, Ipoh tidak mencerminkan sebuah bandar raya bercirikan kemajmukan masyarakat. Sedangkan hakikatnya sumbangan orang Melayu dalam semua sektor khusus semasa menentang penjajahan Inggeris pada era lama, jauh lebih signifikan. Tepatlah seperti dakwaan Ipoh bukan bandar orang Melayu.

Soalan kita pada MBI ialah apakah benar seperti mereka dakwa bahawa potret mural yang kini diselubungi kontroversi itu bukannya Chin Peng melainkan seorang pemandu kren? Jika benar mengapakah kebanyakan orang yang menyaksikan potret itu mendakwa sebaliknya.

Sementara kita menunggu reaksi rasmi dari kerajaan negeri kita cadangkan MBI lebih pro aktif dalam hal-hal berkaitan kaum. Paling tidak langkah awal ialah memadam mural itu dengan menggantikan kepada mural potret para pejuang seperti Datuk Maharajalela, Tok Sagor,
Dato Panglima Bukit Gantang dan lain-lain. Wajah Micheal Yeoh pelakon sensasi James Bond, penyanyi Jamal Abdillah atau M. Daud Kilau pun dikira wajar.

Jawapan MBI dalam hal ini sangat mengecewakan. Malah lebih mengecewakan ialah MBI gagal membaiki imej Ipoh yang tak habis-habis dikenali sebagai Cina Town.

0 Komentar untuk " Betul ke mural Chin Peng di Ipoh? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ