TIRAI 2014 dilabuhkan dengan dua suasana berbeza. Di Kuala Lumpur, pohon-pohon Krismas menghiasi gedung-gedung utama membeli-belah, menceria dan merancakkan suasana Jualan Hujung Tahun yang kononnya menawarkan potongan harga hingga 70 peratus.
Warga kota – termasuk orang Melayu – mengasak kompleks jualan untuk sama-sama berebut membeli sempena musim perayaan penganut Kristian. Memang sudah resam kota, Melayu menjadi penyerbu mana-mana jualan tanpa mengira perayaan – Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai, Krismas, Deepavali, hatta Hari Ponggal.
Pendek kata, di KL neon warna-warni pada pohon-pohon Krismas – juga Santa Claus tiruan – menjadi ikon membeli-belah yang menarik beribu-ribu orang, dan pasti menjana RM ratusan juta, mungkin RM bilion, untuk tauke gedung.
Di Pantai Timur tiada pohon Krismas, juga tiada Santa Claus. Sana-sini baik di Pahang, Terengganu dan Kelantan, semua cerita duka. Tengkujuh tahun ini adalah yang terburuk dalam masa 30 tahun. Setakat rencana ini ditulis, semalam, hampir 50,000 berada di pusat-pusat pemindahan.
Keadaan lebih buruk dijangka berlaku berikutan hujan tidak henti-henti. Air di mana-mana, jalan raya dan lebuh raya terputus, bekalan elektrik juga tidak ada sebab sesetengah stesen jana kuasa terendam dalam air.
Antara yang dikhuatiri pada musim banjir ialah merebaknya penyakit bawaan air, lebih-lebih lagi pada ketika kemudahan dan prasarana kesihatan – hospital, klinik dan sebagainya – terpaksa ditutup sebab ditenggelami banjir.
Seperti diakui Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya 46 fasiliti kesihatan terutama klinik kesihatan dan klinik desa di lapan buah daerah di Kelantan tidak berfungsi sebab dinaiki air atau terputus hubungan kerana penutupan laluan.
Mujur setakat ini tiada mangsa penyakit bawaan air. Pasukan perubatan yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan mengesan 625 kes penyakit berjangkit, tetapi bukan bawaan air.
Ada suatu yang pelik. Di negeri banjir air bukan satu ancaman kesihatan. Sebaliknya di negeri tidak banjir pula air dikatakan lebih tidak selamat dan berbahaya. Ambil contoh Selangor – negeri paling maju – di mana air bersih sentiasa menjadi isu. Punca masalah ialah semakin banyak sungai tercemar dan airnya tidak boleh digunakan.
Seperti yang dilaporkan media dua hari lalu, lebih 40 peratus sungai di Selangor airnya sudah tercemar hingga ke peringkat yang tidak boleh dirawat. Beberapa loji rawatan air terpaksa ditutup sebab tidak ada air sungai yang boleh diproses.
Sebenarnya tidak sahaja di Selangor, banyak sungai-sungai penting di seluruh negara kini telah disahkan sebagai ‘sungai mati’ kerana airnya sudah tidak selamat diminum. Hidupan di dalamnya – ikan, udang dan lain-lain – pun pupus.
Sungai yang dulu-dulu menjadi sumber utama kehidupan sudah teruk tercemar. Kerajaan telah membelanjakan RM beratus juta untuk program pemuliharaan sungai, tetapi tidak berkesan. Pihak berkuasa tidak bertindak tegas ke atas penyangak yang mencemar sungai.
Kilang-kilang haram melimpahkan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Projek pembangunan yang tidak dikawal di bahagian hulu telah mengotorkan sungai dengan lumpur dan seribu satu sisa projek.
Tambahan pula masyarakat yang tidak prihatin telah menjadikan sungai sebagai tong sampah. Mereka membuang apa sahaja– kertas, plastik, kaca, besi buruk, perabot, kulit pisang, kulit durian, seluar dalam, tuala wanita, bangkai kucing, hatta bayi – ke dalam sungai.
Kalaulah lelehan kekotoran dan kumbahan dari setiap rumah di seluruh negara – jumlahnya lebih 5 juta metrik tan setiap hari! – dilimpahkan ke sungai begitu sahaja, pasti banyak lagi sungai tercemar; mungkin kita tidak ada lagi sumber air minuman.
Mujur kekotoran dan kebusukan dari tangki septik di rumah dan bangunan hanya dilepaskan ke sungai setelah melalui proses pembersihan oleh syarikat pembetungan. Kerja-kerja busuk yang dilakukan oleh Indah Water Konsortium @ IWK membantu menyelamatkan sungai kita.
Tetapi jangan bergantung hanya kepada IWK, sebab mengekalkan sungai sebagai sumber minuman, dan memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab setiap orang. Memasuki tahun baharu 2015 marilah kita berazam untuk mewujudkan persekitaran yang bersih lagi nyaman.
Sama seperti ikan dan lain-lain hidupan air, kita pun mahu terus hidup!

0 Komentar untuk " Ada perayaan, ada kedukaan... "