Berbakti kepada alam semula jadi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Berbakti kepada alam semula jadi

BAGI Gajah Asia yang tidak beribu bapa di Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah, peluang untuk kembali kepada kehidupan liar adalah sangat berharga.

Disatukan semangat untuk berbakti kepada alam semula jadi, 39 anak yatim dari Yayasan Ilham Pinggir TTDI mengumpul sejumlah RM4,000 untuk mendekatkan lagi haiwan gergasi yang lemah-lembut ini kepada kebebasan dalam persekitaran semula jadinya.

Program bina semangat yang dianjurkan di pusat perlindungan gajah oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd untuk penghuni rumah perlindungan budak lelaki Yayasan Ilham Pinggir TTDI membolehkan kanak-kanak berumur antara 9 hingga 17 tahun itu bekerjasama dalam beberapa pasukan dan melaksanakan pelbagai cabaran yang bertujuan memupuk semangat setia kawan.

Ganjaran tunai diberikan bagi setiap tugas yang disempurnakan, dan 'pendapatan' mereka didermakan semula kepada gajah.

“Program ini sangat bermakna bukan sahaja bagi F&N tetapi lebih penting lagi bagi kanak-kanak yang terlibat. Sama seperti inisiatif bina semangat kami pada masa lepas, kami berhasrat untuk memperkasakan anak ini agar mereka dapat melangkaui batas keupayaan mereka dan mencapai sepenuhnya potensi dalam diri masing-masing.

Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan, mereka masih tetap boleh membawa perubahan besar ke dalam masyarakat,” kata Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages, Cariessa Goh.

Menerusi aktiviti yang disusun, kanak-kanak boleh belajar tentang usaha memulihara dan melindungi haiwan yang terancam, serta menyahut cabaran untuk membantu usaha murni – iaitu pemeliharaan dan perlindungan habitat gajah untuk jangka panjang.

“Kanak-kanak ini tahu pentingnya mempunyai tempat yang dianggap sebagai rumah dan mereka mahu memberikan peluang sama kepada gajah itu menerusi sumbangan mereka.

Ini adalah juga peluang untuk mereka belajar tentang pemeliharaan binatang yang terancam seperti Gajah Asia dan paling penting sekali, belajar untuk memberi dan semangat berpasukan,” tambahnya.

Kelibat haiwan besar

Program bermula dengan aktiviti menjejaki denai gajah yang membawa mereka ke dalam hutan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Sepanjang laluan ini, mereka diperkenalkan kepada pelbagai spesies tumbuhan, yang sesetengahnya menjadi makanan kegemaran gajah.

Mereka seronok dan kagum apabila ternampak kelibat haiwan besar ini semasa menyusuri hutan. Mereka kemudiannya menyertai siri permainan yang membabitkan pelbagai aspek kerjasama dan semangat berpasukan.

Di setiap stesen permainan, peserta mendapat markah apabila berjaya menyelesaikan teka-teki berpandukan klu yang diberikan. Pada akhir permainan, markah setiap kumpulan dijumlahkan dan kemudian ditukar kepada wang tunai yang kemudian disumbangkan untuk membantu usaha pemulihan dan pemindahan semula gajah.

Setiap kumpulan dengan bangganya menyampaikan sumbangan mereka kepada wakil pusat pemuliharaan di Pusat Perlindungan itu, Rostam Yusof. Sejumlah RM4,000 berjaya dikumpul dan didermakan pada hari tersebut.

Selepas bekerja keras sepanjang pagi, peserta menikmati makanan tengah hari dan berpeluang menghabiskan masa meninjau kawasan persekitaran pusat perlindungan.

Mereka turut memandikan gajah. Ia merupakan pengalaman yang sukar dilupakan. Suasana itu bertambah gamat apabila sang gajah menyedut air sungai dengan belalai, menyembur mereka sehingga basah kuyup.

“Bukan mudah untuk bekerja dalam satu pasukan kerana masing-masing berlainan pandangan dan perwatakan, tetapi dengan kerjasama antara satu sama jadilain, mereka ini menyedari banyak yang boleh dicapai.

F&N Beverages telah menjadikan Yayasan Ilham Pinggir TTDI sebagai organisasi yang mendapat manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporatnya sejak tahun 2008.

Ini termasuk Sudut Iqra; satu inisiatif untuk menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak dengan menubuhkan perpustakaan dan menyediakan buku untuk beberapa sekolah di kawasan luar bandar.

0 Komentar untuk " Berbakti kepada alam semula jadi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ