15 ikon wakaf JAWHAR - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

15 ikon wakaf JAWHAR

MAJLIS penyerahan projek ikon wakaf di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Projek ekonomi, kebajikan kembang syiar, tamadun Islam

Wakaf satu instrumen kewangan dan institusi penting dalam membangunkan umat Islam bukan saja dari sudut keagamaan dan sosial, malah pembangunan sumber ekonomi. Islam menuntut umatnya membina kekuatan ekonomi bagi memperkembangkan syiar dan tamadun Islam sejagat.

Amalan sunnah ini dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, menyemai perasaan kasih sayang sesama manusia serta mendidik jiwa sedia berkorban bagi menyumbang harta demi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Manfaatnya bukan sekadar diperoleh pewakaf, malah turut dinikmati oleh ummah. Justeru, instrumen wakaf adalah satu wasilah yang boleh membina kemakmuran masyarakat dan ummah dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kejayaan siap 15 projek ikon wakaf

Kejayaan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) menyiapkan 15 projek ikon wakaf telah membuka mata banyak pihak terhadap potensi wakaf sebagai satu instrumen untuk kerajaan memberi kemakmuran dan mensejahterakan ummah.

Ini seperti yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW ketika membangunkan kota Madinah. Ketika itu, ramai sahabat mewakafkan sebahagian harta mereka membantu pemerintahan Islam yang dipimpin Rasulullah SAW. Konsep wakaf pada zaman Rasulullah SAW diceritakan dalam riwayat Muslim.

Daripada Ibn ‘Umar, katanya: “Ayahandaku, ‘Umar al Khatab telah mendapat anugerah sebidang tanah (kebun) di daerah Khaybar, beliau kemudian bergegas menemui Rasulullah SAW memohon nasihat mengenai tanah itu. Sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu bersetuju, sebaik-baiknya kamu kekalkan hartanya, kemudian kamu sedekahkan segala hasil pengeluarannya.
Kata Ibn Umar: Ayahku menyedekahkan semua hasil mahsul sepanjang masa. Tanah itu tidak dijual, tidak diperniagakan, tidak dijadikan pusaka (tidak diwarisi) dan tidak dipindah milik kepada orang lain (hibah). Kata Ibn Umar lagi: Semua hasil tanah (kebun) itu diagih-agihkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, hamba abdi, orang yang berada di jalan Allah (fi sabililah), ibnussabil dan pembiayaan kepada tetamu. Tidak menjadi kesalahan (berdosa) bagi pemegang amanah tanah wakaf (pengurus) untuk mengambil hasil tanah wakaf secara berpatutan bagi menampung sara hidup atau untuk meraikan tetamu, asalkan tidak dijadikan milik persendirian mereka.”

JAWHAR telah membangunkan 15 ikon wakaf berskala besar di 11 negeri membabitkan beberapa fokus utama seperti ekonomi, kesihatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan. Pembinaan ikon wakaf ini mula memberi impak dan perubahan kepada sosio-ekonomi masyarakat apabila manfaatnya mula dinikmati pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Antara ikon itu ialah unit ruang niaga di Ulu Kinta, Tambun, Perak. Rumah Kedai di Utan Aji, Perlis, dan sebuah kompleks pendidikan dilengkapi asrama ‘Maahad Al-Mashoor’ di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pusat dialisis RM8 juta

Pusat dialisis berharga RM8 juta di Batu Pahat, Johor, yang menyediakan rawatan dialisis kepada 78 pesakit buah pinggang dan boleh ditingkatkan ke tahap maksimum seramai 222 sebulan dengan mengenakan kadar harga yang rendah.

Sebuah pusat perlindungan wanita di Taman Perling, Johor, yang boleh menampung 24 penghuni dan tiga hotel bertaraf tiga bintang di Tanjung Keling, Melaka; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Taiping Perak. Terbaru, hotel wakaf di Kuala Terengganu setaraf hotel tiga bintang.

Menerusi pembangunan itu, sebahagian projek berbentuk ekonomi telah menghasilkan pendapatan kepada MAIN dan dana wakaf digunakan bagi tujuan pembangunan dan pengembangan wakaf yang lain.

Manakala bagi pewakaf pula, hasrat suci mereka mewakafkan harta akan dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (wakaf) atau ilmu yang dimanfaatkannya atau anak yang soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Model pelaksanaan pembangunan tanah wakaf di Malaysia menggunakan konsep perkongsian pintar di bawah strategi Lautan Biru antara JAWHAR agensi mewakili kerajaan sebagai penyedia dana dengan MAIN yang menyediakan tanah wakaf yang strategik.

Kejayaan pengurusan wakaf di Malaysia mendapat pujian dan pengiktirafan pakar pengurusan wakaf luar negara seperti Dr Hisham Dafterdar dari Bahrain ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Towards The Establishment of Awqaf Bank, A Review.

Beliau menyifatkan Malaysia mempunyai pengurusan wakaf yang tersusun dan berinovasi. Begitu juga dengan pandangan beberapa pengurus wakaf di Singapura, Brunei dan Indonesia yang memberikan pendapat sama semasa persidangan Seminar Wakaf Serantau pada 2012.

Kejayaan ini sebenarnya bukan mudah dicapai tetapi usaha gigih semua pihak serta keikhlasan dalam melaksanakannya menjadi resipi kejayaan pembangunan wakaf di negara ini yang matlamat utama adalah untuk kemaslahatan ummah.

INFO:
Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) memperkukuhkan institusi wakaf dengan membangunkan 15 ikon wakaf berskala besar di 11 negeri.

Lapan unit ruang niaga bernilai RM1.6 juta untuk usahawan muslim di Ulu Kinta, Perak.

Enam belas unit rumah kedai bernilai RM4.24 juta untuk usahawan muslim di Utan Aji, Perlis.

Sebuah kompleks pendidikan bernilai RM41 juta dilengkapi asrama pelajar serta kemudahan pembelajaran yang kondusif memuatkan 1000 pelajar dikenali ‘Maahad Al-Mashoor’ di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran berharga RM2.08 juta di Mukim Derga, Kedah yang boleh menempatkan 50 pelajar anak yatim perempuan.

Sebuah blok asrama anak yatim dan pentadbiran berharga RM1.5 juta untuk anak yatim lelaki di Machang, Kelantan.

Sebuah Pusat Saudara Baru yang di kenali Kompleks Darul Sa’adah di Seremban dilengkapi asrama dan kelas pengajian bertujuan memperkukuhkan pemahaman Islam kepada saudara baru.

Sebuah pusat dialisis di Batu Pahat Johor yang menyediakan rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang dengan kadar bayaran yang rendah.

Sebuah pusat perlindungan wanita di Taman Perling, Johor, berserta kemudahan bilik penginapan, dewan, bilik kaunseling, bilik latihan dan ruang makan kepada wanita teraniaya.

Empat hotel bertaraf tiga bintang di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

Sebuah asrama pelajar di Besut yang mempunyai dua2 blok asrama lelaki dan perempuan untuk menampung seramai 200 pelajar.

Menubuhkan entiti wakaf peringkat kebangsaan dikenali Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan sumbangan dana sebanyak RM4.5 juta untuk melaksanakan usaha pengembangan wakaf.

Menyediakan kemudahan peralatan tercanggih untuk dewan besar Kompleks Islam Kuching, Sarawak.



Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR)

0 Komentar untuk " 15 ikon wakaf JAWHAR "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ