CYBERJAYA - Universiti Islam Malaysia (UIM) bakal menawarkan pengajian pengurusan harta wakaf dari peringkat sarjana muda hingga doktor falsafah mulai 2016.
Naib Presiden 1 (Akademik) UIM, Prof Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim berkata, tawaran tersebut dibuat berikutan sambutan mengalakkan terhadap Kursus Profesional Pengurusan Harta Wakaf peringkat sijil yang ditawarkannya sekarang.
"Buat masa ini UIM masih menunggu kelulusan senat sebelum mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia," katanya.
Beliau berkata kepada media selepas majlis penutup dan penyampaian sijil Kursus Profesional Pengurusan Harta Wakaf oleh Presiden, UIM Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor hari ini.
Katanya kursus sijil tersebut yang diperkenalkan sejak September lalu bertujuan memberi pendedahan lebih meluas kepada masyarakat berkaitan pengurusan dan pembangunan harta wakaf.
Sebanyak 32 orang menerima sijil setelah mengikuti kursus selama tujuh minggu. - Bernama
0 Komentar untuk " UIM tawar PhD pengurusan harta wakaf "