PERLIS berpotensi menarik pelanggan dari negara jirannya, Thailand untuk berbelanja di pasar raya besar yang akan beroperasi di negeri itu tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Menurutnya, pembukaan pasar raya besar di kawasan strategik dijangka bukan sahaja menarik penduduk negara itu yang berjiran dengan Perlis di Padang Besar, Wang Kelian dan Setol, malah penduduk Changlun dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

"Justeru, kerajaan negeri akan menggalakkan lebih banyak pengendali pasar raya besar membuka perniagaan di Perlis," kata Azlan selepas melakukan pecah tanah pasar raya Giant Kangar, semalam.

Dalam ucapannya, Azlan berkata, pembukaan pasar raya itu yang dijangka beroperasi September tahun depan, tidak menjejaskan perniagaan peniaga kecil tempatan, malah menyuburkan ekonomi rakyat dan negeri.

“Saya mahu pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) di Perlis ambil peluang ini untuk memasarkan produk mereka melalui rangkaian Giant ke seluruh negara.

“Bagaimanapun untuk produk diterima memasuki Gaint, pengusaha PKS hendaklah berdisiplin dan beri komitmen menghasilkan produk berkualiti supaya diterima pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Malaysia Sdn Bhd (GCH), operator Giant, Tim Ashdown berkata,  GCH melabur RM48.65 juta untuk membuka Giant Kangar bagi memenuhi keperluan pengguna moden di Perlis.

“GCH berharap terus jadi pemangkin pertumbuhan keusahawanan dan perniagaan negara dan kami komited membantu kerajaan meningkatkan perdagangan runcit tempatan.

“Sehingga saat ini kami sentiasa menyokong kuat usaha mempromosi produk-produk tempatan, termasuk membantu PKS mengetengahkan produk mereka yang dilakukan melalui kerjasama strategik dan usaha sama dengan agensi kerajaan di bawah
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya.

Sempena majlis itu, Giant memberi sumbangan RM5,000 kepada beberapa sekolah di bawah program ‘Love My School’ Giant iaitu program Tanggungjawab Sosial Korporat Giant. - Bernama