TABUNG Haji (TH) tidak pernah meminggirkan mana-mana pemegang akaunnya walaupun jumlah simpanan mereka kecil, kata Anggota Lembaga Pengarahnya Tan Sri Badaruddin Amiruldin.

Malah, beliau berkata, agensi itu memberi layanan sama rata selaras dengan prinsip utama TH yang menghargai setiap pelanggannya tanpa mengira siapa pun mereka.
  
"Penyimpan-penyimpan inilah yang memakmurkan nilai harta Tabung Haji yang telah sekian lama beroperasi," katanya selepas mengunjungi keluarga jemaah haji, Allahyarham Mansor Taib, 69, yang meninggal dunia di Makkah, di Kampung Dingin, Karangan dekat sini hari ini.
  
Mansor meninggal dunia akibat sakit jantung setelah selesai mengerjakan ibadat haji pada 12 Oktober lepas dan dikebumikan di Makkah.

Badaruddin turut menyampaikan bantuan wang tunai RM1,500 bersama cenderahati buah kurma serta air zamzam kepada isteri Mansor, Munah Muhammad, 61.

Beliau berkata, seramai 24 jemaah yang mengerjakan ibadat haji melalui TH meninggal dunia di Makkah, tahun ini. - Bernama