Sana-sini kita selalu kantoi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sana-sini kita selalu kantoi

*SETIAP kali laporan Ketua Audit Negara dibentangkan terbongkarlah sekian banyak kepincangan dalam pentadbiran awam kita. Banyak yang tidak sedap dari yang sedap. Nampak sangatlah kita lemah dan lembap dalam segala hal.

Terkini, laporan 2013 yang dibentangkan di Parlimen awal minggu lalu mendedahkan segala macam penyakit – kurap, kayap, kudis buta, bisul, buasir, beguk, dan lain-lain – dialami oleh jabatan dan agensi awam.

Macam-macam fakta dan angka tidak masuk akal diberitahu kepada umum. Ketirisan sana, songlap sini, seleweng sana, kantoi sini, pendek kata duit rakyat RM berjuta-juta bagaikan masuk angin keluar asap.

Oleh sebab setiap tahun seribu satu macam kepincangan didedahkan, orang ramai sudah kalih, dan tidak ambil kisah lagi. Kepincangan dan penyelewengan tahun lalu pun belum diatasi, timbul pula kepincangan baru. Rakyat sudah muak.

*ADA laporan audit adalah kepincangan dan penyelewengan. Tetapi penyelesaiannya tidak ada, kalau ada pun terlalu lambat, lebih lambat dari siput babi. Perilaku tidak senonoh yang dikemukakan tahun lalu pun tidak diambil tindakan.

Contoh, dalam laporan tahun lalu telah dikenal pasti seorang pegawai kerajaan menggelapkan hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Seperti yang didedahkan sebelum ini ia melibatkan RM995,031 wang tidak dituntut yang disonglap melalui pemalsuan dokumen, dilakukan dari 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010.

Menurut Ketua Audit, dua laporan polis telah dibuat mengenai kes tersebut pada 3 dan 10 Mac 2011. Laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat pada 11 Mac 2011.

Tetapi sehingga hari ini, tambah Ketua Audit lagi, tidak ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas pegawai berkenaan. Sudah jelas hampir RM1 juta wang rakyat dikebas, pegawai berkenaan dibiarkan begitu sahaja. Habislah duit kita!

*KETIKA penyelewengan dan ketirisan pengurusan awam didedahkan oleh Ketua Audit Negara, ada pula berita seorang pegawai polis berpangkat asisten komisioner ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000.

Turut dirampas daripada pegawai yang berpejabat di Bukit Aman itu ialah sejumlah barangan kemas yang dipercayai hasil kegiatan haram termasuk perjudian.

Polis adalah orang yang diharapkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Tetapi sekiranya pegawai polis sendiri terlibat dalam kegiatan-kegiatan haram, kepada siapa lagi orang hendak mengadu.

Memang pegawai yang melakukan kerja busuk ini hanya seorang dua. Tetapi kalau didiamkan lama-lama nanti jadi barah, dan hilanglah kepercayaan umum terhadap abang polis kita. Harap-harap sekarang baru peringkat kudis buta, atau panau, masih boleh dirawat.

*JABATAN Imigresen mengumumkan akan mengadakan gerakan besar-besaran menggempur majikan yang melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) di Cameron Highlands.

Ini adalah lanjutan daripada tindakan sebelum ini memburu Pati di kawasan berkenaan yang sehari dua ini mencetuskan kontroversi dan mendapat liputan meluas media tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata, gerakan itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat dengan majikan yang bersalah akan diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman lebih berat.

“Mereka ini akan kita dakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap seorang Pati atau sebat,” katanya.

Sekiranya sejak dulu lagi pihak Imigresen peka dan bertindak tegas tentu skandal di tanah tinggi itu dapat dibendung. Beribu-ribu pendatang asing – termasuk yang haram – telah bermastautin lama di situ kerana dilindungi majikan tidak bertanggungjawab.

Setelah keadaan begitu parah, barulah Imigresen dan agensi-agensi lain terjaga dari tidur dan bertindak. Timbul pertanyaan: Kenapa selama ini mereka tidak bertindak?

*AKHIR kalam, masih mengenai Pati, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan hukuman sebat mandatori ke atas ejen haram yang membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu ia akan memberi pengajaran kepada golongan itu yang sebelum ini tidak takut dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan: “Denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah ini tidak setimpal.”

Syabas Datuk Seri! Ternyata, denda RM tidak berkesan, jadi ajar mereka dengan sebatan.
0 Komentar untuk " Sana-sini kita selalu kantoi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ