'Ribut moral' cabaran pendakwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

'Ribut moral' cabaran pendakwah

DI Malaysia wacana dakwah Islamiyah bermula dengan penulisan umum oleh angkatan golongan tua yang berpusat di institusi pondok, madrasah dan masjid. Tidak ketinggalan, golongan muda yang mendapat inspirasi daripada gerakan perubahan Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha di Mesir.

Gabungan golongan tua dan muda menyemarakkan lagi gerakan dakwah yang menjalar di seluruh tanah Melayu untuk membina tamadun Melayu Islam. Namun hari ini, menyampaikan dakwah dalam era keruntuhan tamadun dunia moden semakin mencabar.

Keruntuhan tamadun dunia bermula sejak kejatuhan kerajaan Islam dan tamadun Barat mengambil alih corak hidup masyarakat dunia atas nama menuju dunia moden. Bagaimanapun, kemajuan yang diharapkan mulai runtuh bersama jenama Barat yang ternyata songsang dengan fitrah manusia.

Keruntuhan tamadun dunia moden

Prof Tan Sri Dr Kamal Hasan berkata, keruntuhan tamadun dunia moden berlaku dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan moral. Runtuhnya integriti dalam tata kelola pengurusan bernegara disebabkan rasuah, fitnah memfitnah, penipuan dan hipokrasi politik terbesar dalam abad ini.

"Ini turut berlaku pada peringkat antarabangsa dengan pelbagai strategi jahat menukar pemerintah yang tidak disenangi oleh kuasa besar atas nama pertukaran rejim, merestui tindakan ketenteraan kepada rakyat atas nama demokrasi serta pembelaan terhadap golongan Islam 'Moderat', Islam liberal dan pelampau agama untuk melemahkan pengaruh kekuatan Islam arus perdana yang bersifat holistik dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk 'Dakwah dalam Era Keruntuhan Dunia Moden: Cabaran dan Peluang' sempena Multaqa Pendakwah Negara dan Serantau 2014 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.

Multaqa anjuran JAKIM yang dulunya dikenali sebagai Konvensyen Pendakwah Negara menghimpunkan pendakwah bagi membincangkan isu semasa serta mendapat penjelasan isu bagi memperkemaskan lagi agenda dakwah.

Acara tahunan itu kali ini diluaskan dengan pembabitan wakil anggota Negara MABIMS (Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura) yang berkongsi pengalaman mereka dalam menggerakkan usaha dakwah di negara masing-masing.

Keruntuhan dunia juga berlaku dalam ekonomi apabila berleluasanya amalan penipuan, perjudian, korupsi, ketiadaan integriti dan sistem riba dalam perniagaan. Ini lebih parah apabila jurang antara golongan berada dan miskin semakin melebar serta skandal kewangan global berpunca daripada sistem kapatalisme.

Prof Dr Kamal yang juga Profesor Ulung di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), berkata kemuncak segala keruntuhan dunia moden ialah berleluasanya gejala sosial yang merisaukan, menakutkan dan memalukan.

Pembesaran golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT) yang semakin mendapat ruang kebebasan dan perlindungan undang-undang di negara Barat dan semakin menular ke negara Islam serta pupusnya perhubungan sesama manusia dengan adab, hormat dan kasihan belas sesama manusia.

Tanggungjawab pendakwah semakin berat dan hebat kerana harus menjadi ejen penyelesaian masalah masyarakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Pendakwah perlu berpaut pada dahan yang kuat dalam menghadapi ribut moral dengan kefahaman dan ketakwaan untuk berdepan peperangan ideologi oleh dunia barat.

Peranan pendakwah selesai masalah masyarakat

Prof Dr Kamal menggariskan beberapa peranan pendakwah yang harus diperkasakan iaitu menyelesaikan masalah masyarakat dengan tauhid, memperhebatkan gerakan amar maaruf nahi mungkar, menjadi umat wasatiyyah dan menjadi alat transformasi masyarakat.

Pendakwah juga dikenali sebagai jururawat masyarakat berpenyakit moral, jurubicara rakyat yang tertindas, penasihat buat pemimpin, jurupandu generasi muda, jurutangkis serangan idea bahaya dari luar serta jurubina tamadun menghubungkan Pencipta dan manusia.

Dalam membawa Malaysia maju pada zaman 2020 dan 2050 memerlukan keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi, kebendaan dan kerohanian. Rakyat mengharapkan sebuah negara yang bertamadun, bukan meminjam identiti barat atau timur.

Oleh itu, dengan berinspirasikan kebijaksanaan wahyu Ilahi, dakwah menjadi penyuluh yang membawa mesej kesejahteraan dunia dan akhirat.

Pada multaqa kali ini beberapa kertas kerja dibentangkan antaranya wakil Singapura, Izal Mustafa dari Majlis Ugama Islam Singapura membicarakan tajuk 'Pemerkasaan Dakwah dalam Masyarakat Majmuk: Cabaran dan Halangan.

Wakil Brunei, Abd Aziz Abd Kahar membentangkan tajuk 'Pemerkasaan Dakwah di Negara MABIMS' sementara Dr H Fahrurrozi dari Indonesia berkongsi maklumat dalam tajuk 'Peluang dan Cabaran Dakwah di Tengah Masyarakat Plural dan Global'.

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Related Post

0 Komentar untuk " 'Ribut moral' cabaran pendakwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ