SAYA dilanda kesibukan seminggu dua ini maka tiada kesempatan untuk membaca komen-komen dan perkembangan di Facebook atau Internet.

Namun saya difahamkan daripada beberapa kenalan bahawa terdapat orang yang keliru dengan laporan Sinar Harian yang menyiarkan kata-kata saya dalam satu artikel bertajuk ‘zakat tidak ikut mazhab Syafie kenapa tidak marah?’.

Sedangkan konteks ayat saya ada jawapannya, iaitu ‘tidak perlu marah kerana ijtihad mazhab lain memang wujud, kita iktiraf dan kita boleh diguna pakai pada waktu wujud keperluan’.

Maka di kesempatan ini ingin saya jelaskan letak duduk pendirian dan kenyataan saya yang sebenar agar orang ramai yang bertanya akan respons saya, turut mendapat kejelasan berkenaan konteks dan fokus kenyataan saya. Terima kasih bagi yang bertanya sebelum memberi komentar terhadap artikel terbabit kerana memang jelas bahawa ‘tabayyun’ itu tuntutan AlLLAH SWT sebelum membuat bantahan, kritikan dan label.

Berikut adalah fokus kenyataan saya :

1. Saya tidak setuju dengan kempen sentuh anjing dan tidak setuju juga dengan tajuk kempennya yang saya fikir sengaja dibuat sedemikian bagi kelihatan ‘catchy’ dan menarik peserta namun ia terlalu provokatif serta tidak wujud keperluan besar untuk penganjurannya dalam bentuk sedemikian. Selain itu, saya berpandangan lagi banyak isu lebih besar dan cara lebih sopan jika sasaran menyedarkan berkenaan tatacara sertu dan seumpamanya ingin disampaikan kepada awam. Apa pun, permohonan maaf daripada saudara Syed Azmi Alhabshi wajar diterima dan patut meredakan keadaan.

2. Saya juga tidak mempertahankan program terbabit sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan tetapi apa yang saya cuba sampai dan pertahankan adalah wujudnya ijtihad mazhab Maliki dan Hanafi dalam isu anjing yang perlu dihormati sebagai sebahagian dari keluasan Islam.

3. Saya turut berpegang kepada dalil-dalil dan ijtihad mazhab Syafie dan Hanbali yang menganggap kenajisan anjing dan hanya diharuskan menyentuh pada ketika perlu seperti menyelamatkannya dan lain-lain keadaan memerlukan. Saya sendiri tidak pernah memegang anjing dan tiada keperluan untuk saya berbuat demikian, malah berdasarkan pengalaman peribadi ketika di United Kingdom saya dan keluarga banyak berhadapan dengan masalah anjing yang agak liar kerana tuannya kurang bertanggungjawab. Antara pengalaman pahit itu, najis anjing yang bersepah di halaman belakang rumah, peristiwa anak saya hampir digigit anjing dan salakan yang mengganggu pada waktu malam.

4. Walaupun saya tidak bersetuju dengan program itu, khususnya pada acara ber ‘selfie’ dengan anjing yang kemudiannya dimuat naik ke media sosial seolah-olah terlalu bergembira dengannya yang akan mencipta kontroversi dalam kalangan penduduk Muslim tempatan yang rata-rata menganggap anjing sebagai najis. Ironinya, saya melihat masyarakat kita juga terlalu terbawa-bawa dan berlebihan dalam mengecam sehingga pada hemat saya, melepasi sempadan yang dituntut dalam Islam kerana isu keharaman dan kenajisan anjing masih termasuk dalam isu khilaf di kalangan ulama mazhab. Justeru, perlu difahami bahawa, saya tidak mempertahankan program tersebut atau ingin mempopularkan pandangan mazhab lain atau debat isu anjing dalam hal ini, namun saya hanya tidak setuju apabila ada yang secara agresif menolak mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah selain mazhab Syafie dianggap seperti tiada nilai, tidak Islam, Islam liberal, pasti dosa besar dan seumpamanya. Bagi saya, keadaan ini jika dibiarkan bakal menjadikan kita masyarakat yang bermasalah jiwa, berpecah, punah ukhuwah dan lemah intelektual. Tambahan pula, Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya mengajar kita menta’wil yang baik terhadap saudara seislam kita terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa menghukum dengan hukuman berat.

Selain itu, penerimaan kepada wujudnya mazhab selain Syafie dan berbincang tentangnya bukanlah ciri label wahabi sebagainya dimomokkan kepada masyarakat, malah di semua universiti seluruh dunia termasuk Malaysia, fakulti syariah dan fiqh akan membincangkan ijtihad pelbagai mazhab. Adakah semua pensyarah dan mahasiswa yang membincangkannya tiba-tiba menjadi wahabi kerana itu? Sudah tentu tidak. Jika ada yang mengatakan ya, itu jelas, suatu kepincangan dalam kefahaman.

5. Atas keinginan memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya orang awam yang kurang terdedah dengan isu khilafiyyah ini, maka saya secara spontan membawakan contoh ringkas menunjukkan wujudnya mazhab lain selain Syafie yang diterima pakai oleh ilmuwan dan pihak berkuasa agama di dalam negara dan negeri. Maka contoh zakat menggunakan nilai menurut mazhab Hanafi dan bukan beras (iaitu mazhab Syafie). Saya turut menyebut contoh lain seperti ‘urbun’ (deposit boleh hangus), bai bi ta’ati (ijab qabul tanpa lafaz ketika beli barang mahal), Mudarib yudarib, Kafalah bil ujr (beri jaminan dengan upah), bernyanyi dengan alatan musik bertali dan banyak lagi (diharamkan oleh mazhab Syafie, termasuk Imam Nawawi kecuali Imam Ghazzali) dan beberapa lagi. (Mungkin jika ada individu yang telah sudi masa mengulas isu kenapa zakat beralih ke mazhab Hanafi, juga boleh melanjutkan ulasan terhadap semua contoh yang saya sebut di atas dalam artikel mereka).

Hakikatnya, ini semua hanyalah antara contoh Malaysia beralih ke mazhab lain, ya benar dengan wujud keperluan tapi fokus saya adalah wujud mazhab lain dalam Islam bukan bab keperluan kerana penganjur program terbabit mungkin boleh berhujah (jika mereka ingin), pada hemat mereka telah wujud keperluan. Namun wartawan tidak dapat menangkap contoh-contoh lain yang saya berikan lalu hanya disiar contoh zakat dan batal wuduk sewaktu haji.

6. Ingin diingatkan sekali lagi, saya tidak menjadikan isu zakat dan semua yang saya sebutkan di atas sebagai isu utama tetapi fokusnya adalah kepada wujud mazhab lain dalam dunia Islam dan mereka juga adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beralihnya seseorang ke ijtihad mazhab Syafie sama ada wujud keperluan dan hajat atau keyakinan individu berkelayakan terhadap dalil-dalil mazhab lain adalah perlu dihormati, serta mesti juga hormat kepada ijtihad ulama besar mazhab-mazhab lain selain mazhab Syafie di dunia Islam. Ini perlu dijelaskan kerana isu anjing tersebut mendapat perhatian ramai bukan Islam (yang menjadi mad’u kita) dan muallaf yang sebahagian besar mereka kelihatan bimbang dan tidak tahu menahu tentang hal ini.

7. Saya juga sangat setuju dengan tindakan Majlis Fatwa yang mengambil mazhab Hanafi mengeluarkan zakat dalam nilai dan bukan beras dalam hal zakat fitrah. Malah saya turut bersetuju dengan wujudnya zakat pendapatan, zakat wang simpanan dan turut khilaf di kalangan ulama.

8. Saya suka mengingatkan sekali lagi bahawa contoh-contoh yang saya utarakan tersebut adalah supaya wartawan dan masyarakat awam yang tidak pernah atau kurang arif hal agama tetapi turut bersemangat memberi komentar dalam kes isu anjing agar berpada-pada dalam kritikan serta memahami WUJUDNYA mazhab lain dan adakalanya kita boleh berpindah ke mazhab tersebut dalam situasi tertentu. Dan apabila itu berlaku, mereka itu masih Islam dan tidak perlu dimarahi sebegitu teruk sehingga seolah-olah sudah terkeluar Islam atau layak dibunuh dan disakiti.

Apa yang sangat pasti, filem tahyul dan hantu di TV, berpeluk cium bukan mahram, tidak menutup aurat dan berkempen siaran hiburan, iklan kempen riba, konsert lagha, rasuah, kos hadiah pegawai penguatkuasa daripada mangsa dan sebagainya. Semuanya haram lebih besar dari isu anjing dan tiada mazhab menyebut kehalalannya. Lebih wajar mendapat kritikan berterusan dari semua kita.

Akhirnya saya memohon keampunan ALLAH SWT sekiranya kupasan wartawan hasil kefahaman mereka terhadap penjelasan ringkas saya membawa kekeliruan kepada masyarakat. Ada benarnya mungkin saya tersilap memberi penjelasan. Apa pun, artikel terbabit sudah dipadamkan. Bagi mereka yang berlebihan mengutuk pula, semoga dapat sama-sama diperingatkan diri kita agar tiada yang bakal menjadi muflis di akhirat kelak akibat kata-kata kita sendiri. Wallahu ‘alam.

Salam Jumaat buat semua dan sama-sama berdoa sewaktu waktu paling mustajab iaitu imam duduk antara dua khutbah dan selepas asar.

Terima kasih kerana membaca dengan tenang dan sehingga habis. Moga diberkati waktu kita semua dengan yang bermanfaat untuk iman dan Islam kita.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Jumaat 31 Oktober 2014 = 7 Muharram 1436 H