Pendekatan hasilkan model Islami - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pendekatan hasilkan model Islami

DARI JENDELA TOK KI


MENELITI temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Mohammed Al Otai, Ketua Pengarang The National sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Dubai baru-baru ini amat menarik untuk dianalisis.

Ada dua perkara disentuh oleh Perdana Menteri iaitu pertama bagaimana pada tahun lalu ia berlangsung di London, tahun ini di Dubai dan pada tahun depan di Kuala Lumpur. London adalah daerah strategik bagi Eropah, Dubai amat relevan dengan Asia Barat dan Kuala Lumpur amat penting bagi Asia Tenggara.

Perdana Menteri telah menyentuh mengenai peluang yang sedang berkembang dalam ekonomi Islam dan melihat faktor pendidikan adalah tunggak. Kita kurang kepakaran yang berkemahiran tinggi dalam kewangan Islam dan perbankan Islam. Malaysia dianggap pemimpin kerana bukan saja kita dapat menghasilkan produk Islam yang banyak tetapi juga mempunyai institusi yang menyediakan latihan.

INCIEF (Pusat Pendidikan Kewangan Islam), institusi latihan yang diiktiraf di peringkat global yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia menyediakan peluang untuk melatih kepakaran dalam kewangan Islam.

Asas keseimbangan yang terjadi di Malaysia mempunyai falsafah memberi dan menerima. Dasar yang bersifat inklusif itu kata Perdana Menteri dianggap cukup adil bagi semua kaum. Kuncinya adalah untuk memastikan keseimbangan yang betul. Keseimbangan antara kaum, keseimbangan antara bandar dan luar bandar, keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar.

Jelas Najib lagi, amalan Islam di Malaysia tidak banyak dihubungkan dengan ekstremis dan tidak juga dengan kekerasan. Apabila Islam datang ke dunia kami, penukaran agama berlaku dengan aman.

Islam sebagai agama yang aman telah mampu membangunkan Malaysia dengan pendekatan wasatiyyah (sederhana/berimbang) dan menyokong kecemerlangan.

Manhaj atau pendekatan berimbang ini menjadi landasan yang menjadikan Malaysia seperti yang kita lihat pencapaiannya kini. Malaysia tidak memilih jalan revolusi atau radikal yang ekstrem hingga menyebabkan negara berada dalam keadaan huru-hara dan kacau-bilau.

Pendekatan politik di Malaysia berasaskan muafakat, keterbukaan untuk berbincang dan menghargai perubahan melalui proses demokratik. Pendekatan ekonomi yang sifatnya menyantuni kepatuhan syariah tidak saja disertai oleh orang Islam tetapi juga bukan Islam.

Pada 1983 hanya sebuah bank Islam didirikan. Hari ini ratusan cawangan bank Islam terbina dengan wujudnya kaunter Islami dalam bank-bank konvensional dengan penyertaan orang Bukan Islam yang semakin bertambah.

Industri halal di Malaysia tidak saja disertai pengusaha Islam tetapi majoritinya pengusaha bukan Islam. Ia adalah gambaran unik bagaimana perubahan dalam kegiatan ekonomi terjadi berasaskan kepatuhan syariah. Tidak mustahil suatu ketika nanti ekonomi di Malaysia berasaskan syariah.

Apa yang sedang berlaku di Mesir, Syria, Iraq, Libya dan lain-lain lagi adalah gambaran kegagalan dan perpecahan yang parah kerana proses mengurus perubahan tidak berlaku secara berimbang (wasatiyyah).

Perubahan hanya boleh berlaku sekiranya fokus utama kita ialah terhadap pembangunan modal insan. Di samping institusi pengajian tinggi yang sifatnya konvensional kerajaan Malaysia juga tidak lupa memperkasa integrasi dan Islamisasi ilmu di institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan banyak lagi supaya tradisi keilmuan yang bersifat naqliah (wahyu) dapat menyantuni tradisi keilmuan yang bersifat akliah (pemikiran).

Tradisi Ululalbab yang diperkenalkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adalah suatu permulaan yang baik bagaimana tradisi hafazan al-Quran diikuti dengan penguasaan ilmu akademik, sains dan teknologi supaya masa depan Malaysia diperkukuhkan dengan jenis modal insan holistik sifatnya.

Justeru manhaj atau pendekatan wasatiyyah yang memberikan landasan berimbang amat sesuai dalam realiti masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Tanpa wujudnya ciri inklusif, tolak ansur, kesediaan berkorban dan komitmen patriotisme yang tinggi Malaysia tidak akan mampu mengorak langkah sebagai negara model yang terserlah proses Islamisasinya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/pendekatan-hasilkan-model-islami-1.23291#sthash.K8bJ82lg.dpuf
0 Komentar untuk " Pendekatan hasilkan model Islami "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ