Memeta hala tuju Gen Y - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Memeta hala tuju Gen Y

OLEH NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Beberapa anak muda yang menjadi penyokong Anwar Ibrahim bertindakn memecahkan pintu pagar utama Universiti Malaya, di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Utusan

GENERASI Y perlu bersikap proaktif dengan tidak mudah mengaku kalah dan berani bersaing bagi merealisasikan setiap cita-cita serta inspirasi.
Itu mesej ringkas yang cukup padat dan signifikan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada generasi muda ketika berucap merasmikan Karnival Genexter 2014 anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) baru-baru ini.

Persoalannya berapa ramai dalam kalangan generasi Y ini benar-benar memahami hasrat pihak kerajaan yang meletakkan harapan yang cukup besar kepada mereka sebagai penyambung warisan dan legasi kecemerlangan negara kita?

Hakikatnya, formula untuk berjaya mahupun untuk menggapai cita-cita yang diidamkan ialah menggunakan akal fikiran secara waras dan matang yang boleh membangunkan daya saing serta memiliki semangat jati diri yang cekal yang membolehkan kita tidak mudah mengaku kalah serta berani menghadapi apa jua rintangan dan cabaran yang mendatang.

Maka sekali lagi persoalannya apakah generasi Y hari ini memiliki ciri-ciri tersebut?

Tidak keterlaluan untuk kita merumuskan bahawa pada hari ini generasi Y di negara kita sedang berhadapan dengan krisis identiti dan jati diri yang cukup merisaukan.

Misalnya, memang benar generasi ini dilihat cukup proaktif, berani mencuba perkara baharu serta tidak mudah putus asa tetapi dalam konteks yang cukup bercelaru dan merisaukan.

Misalnya, keberanian yang cuba ditonjolkan lebih berkisar di alam maya.

Generasi Y dilihat cukup menonjol dan menzahirkan sifat keberanian sebagai keyboard warrior yang boleh ditafsirkan sebagai individu dalam masyarakat yang cuba menjadi pakar dengan menyampaikan sesuatu pandangan yang dirasakan sahih baginya tetapi hanya berani ‘menyorok’ di sebalik skrin komputer.

Kehadiran mereka dirasai oleh seluruh pengguna laman sosial apabila berlaku sesuatu isu. Mereka lebih berani meluahkan pandangan yang sering bersalutkan kemarahan dan emosi terhadap sesuatu isu seperti peningkatan kos sara hidup, rasionalisasi subsidi mahupun GST dengan cara tidak langsung atau sembunyi di sebalik skrin.

Golongan ini tidak mampu meluahkannya secara langsung dengan berani dan lantang bersandarkan fakta dan hujah yang sahih dan konkrit. Mereka hanya berani berdebat di alam maya walaupun jelas menegakkan benang yang basah.

Malah ramai yang suka ‘baling batu, sembunyi tangan’ serta suka mencetuskan pelbagai provokasi yang mengancam keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Apakah keberanian ini yang kita cari dan mahukan dari generasi Y negara ini?

Dalam konteks yang berbeza pula mereka juga dilihat berani tetapi berani yang tidak bertempat misalnya cuba kita teliti beberapa kes buli yang dilaporkan mutakhir ini di mana semuanya melibatkan generasi Y yang menjadi harapan kita dan ada pula yang suka mencuba perkara baharu seperti merempit dan mula bergelumang dalam najis dadah.

Jelas tatkala kita berharap agar generasi ini menggunakan akal fikiran untuk mencipta inovasi yang baru mereka masih tercari-cari rentak untuk menentukan halatuju yang betul.

Pada masa sama, ada juga kelompok generasi Y yang dilihat cukup proaktif tetapi dalam konteks mencetuskan pelbagai spekulasi dalam masyarakat.

Perbuatan suka menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak sahih serta begitu aktif mengulas dan memberikan pandangan berdasarkan fakta yang tidak betul dilihat sudah menjadi trend dan budaya kurang sihat dalam kalangan generasi Y pada hari ini.

Lihat saja segala komen dan pandangan yang diutarakan dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter yang sering dipengaruhi oleh emosi dan begitu mudah hilang pertimbangan yang waras. Kalau ini ditakrifkan sebagai sifat proaktif yang ada pada generasi Y maka ia cukup merisaukan masa depan negara kita.

Apa yang pasti kita tidak mahu melahirkan sebuah generasi yang hanya mampu berani dan proaktif dalam alam maya semata-mata apatah lagi yang hanya bersandarkan pemikiran yang sangat cetek.

Ringkasnya, generasi Y yang ada pada hari ini dilihat masih tercari-cari identiti dan nilai jati diri yang perlu mereka miliki untuk memikul amanah memacu kecemerlangan negara kita.

Hala tuju mereka masih kurang jelas. Misalnya mereka juga tidak peduli andai Jalur Gemilang ditukar, sanggup turun ke jalanan untuk membuat demonstrasi yang mengancam keselamatan negara, berani mencabar undang-undang negara serta mempersoalkan dan mempertikaikan Perlembagaan Negara.

Maka timbul persoalan apa kayu ukur tahap keberanian dan proaktif generasi Y sekarang?

Andai keberanian mereka dalam alam maya serta keberanian turun berdemonstrasi sehingga boleh merempuh dan menjahanamkan pintu pagar sebuah universiti dianggap sebagai wajar dan hebat maka jelas kita berhadapan dengan sebuah generasi yang belum cukup matang dan berani dalam erti kata yang sebenarnya.

Kerajaan mahu melahirkan generasi Y yang bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara iaitu sebuah generasi yang boleh memikul harapan kita semua.

Kita mahukan sebuah generasi yang mampu mencipta kegemilangan baharu dalam menuju impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Justeru apa yang kita harapkan ialah generasi Y pada hari ini perlu segera muhasabah diri.

Jangan sesekali kita melupakan sejarah negara dan bangsa kita. Bertindaklah dengan penuh waras, matang dan berhemah. Negara ini meletakkan harapan yang tinggi pada anda dan jangan sesekali menghampakan dan menghancurkan harapan tersebut.

Sedarlah bahawa kita mahu maju dengan cara dan acuan kita sendiri. Untuk itu semangat kenegaraan dan jati diri generasi Y perlu kental. Jangan mudah terpengaruh dengan budaya liberalisme dan kebebasan yang ditonjolkan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan dengan agenda yang tersembunyi.

Mereka hanya mahukan sokongan dan perhatian anda untuk kepentingan politik dan peribadi sahaja.

Maka jangan biarkan diri kita dijadikan alat untuk membantu mencapai cita-cita jahat mereka. Masa depan negara ini tanggungjawab kita bersama.

Buktikan bahawa negara memiliki generasi Y yang cukup matang, berani mempertahankan kemerdekaan, agama, bangsa dan negara serta sentiasa proaktif mencipta pembaharuan demi kemajuan masyarakat dan negara bangsa.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM)


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/memeta-hala-tuju-gen-y-1.23293#sthash.livJy6rH.dpuf
0 Komentar untuk " Memeta hala tuju Gen Y "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ