PAS cadang model baharu hubungan dalam Pakatan, elak polemik berterusan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PAS cadang model baharu hubungan dalam Pakatan, elak polemik berterusan

Model baharu perlu dibentuk untuk mengekalkan Pakatan Rakyat, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 November, 2014.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan satu model baharu dibentuk agar kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) boleh kekal dan kurang berlaku polemik sebagaimana sekarang.

"Sekarang saya fikir, mungkin kita perlu susun balik kerjasama dalam PR dengan model baru.

"Jika model lama ada polemik, model baharu itu pula kita kena fikirkan supaya gabungan itu lebih longgar, tidak sebagaimana gabungan hari ini," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan akhbar Harakah, lidah rasmi parti itu.

Melalui model baru itu, beliau mencadangkan satu parti saja bertanding bagi pihak PR dalam satu kerusi namun soal dasar di negeri masing-masing akan ditentukan parti yang memerintahnya.
"Kita perlu fikirkan model baharu untuk bertanding dalam pilihan raya hanya satu parti daripada PR yang lawan satu parti daripada BN.

"Soal dasar di negeri yang dimenangi DAP dan PAS (atau PKR) boleh ditentukan sendiri oleh parti itu, sejajar dengan dasar parti masing-masing, selagi dasar itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara dan tidak menyentuh perkara sensitif," katanya dalam wawancara itu.

Cadangan Tuan Ibrahim ini dibuat ketika parti komponen dalam PR sentiasa bertelagah tentang apa yang hendak dibuat di negeri masing-masing.

DAP mempertikaikan usaha PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud di negeri yang diperintahnya iaitu Kelantan manakala PAS pula mempertikaikan dasar tanah di Pulau Pinang yang diperintah DAP.

Melalui model baharu kerjasama ini beliau berharap perkara itu tidak akan berlaku lagi kerana masing-masing mendapat mandat daripada pengundi.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Sarawak juga boleh diselesaikan jika model ini dipersetujui.

Katanya, keputusan untuk keluar daripada kerjasama dengan PAS dan PKR itu dibuat Pemuda DAP di negeri itu.

"Puncanya kerana isu hudud di Kelantan. Padahal perkara itu tidak ada kena mengena dengan Sarawak. Malah, isu hudud di Kelantan itu muncul sebelum PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama PR," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta DAP Pusat mengambil inisiatif bagi menyelesaikan perkara ini.

"PAS tidak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikannya sebab PAS tidak boleh campur tangan dalam parti lain dalam PR. Usaha itu perlu dilakukan di peringkat pusat dan kita serahkan kepada DAP Pusat bagi menyelesaikan masalah pemudanya di Sarawak," katanya.

Katanya, PAS akan berusaha untuk tidak berlawan dengan DAP dalam konteks pilihan raya di Sarawak nanti.

"Sepatutnya kita tidak berlawan sama sendiri. Jadi PAS akan berusaha supaya tidak berlawan dengan DAP di Sarawak. PAS akan bertanding di DUN yang dipersetujui. Kita akan cuba minimakan pertembungan sesama sendiri," katanya. – 27 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-cadang-model-baharu-hubungan-dalam-pakatan-elak-polemik-berterusan#sthash.QTs19Z4I.dpuf
0 Komentar untuk " PAS cadang model baharu hubungan dalam Pakatan, elak polemik berterusan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ